Ayam goreng KFC merupakan makanan yang paling digemari oleh ramai orang terutamanya bagi golongan kanak-kanak. Tambah-tambah lagi jika ianya digoreng sama seperti ayam goreng KFC. Selain rasanya yang enak dan rangup, ayam goreng ini juga senang dimasak dan mudah disediakan.
Kalau hendak bawa anak-anak makan di restoran harganya sangat mahal, bagi anda yang tidak mempunyai anak yang ramai mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi bagi Mommy dan Daddy yang mempunyai ramai anak, mungkin sedikit terbeban dengan bajet kewangan yang ada.
Namun kini, segala keinginan anak-anak yang sangat menyukai ayam goreng KFC Mommy boleh je dipenuhi. Malah menu ini juga seakan sama namun dibuat secara homemade. Ianya lebih jimat dan lebih puas dinikmati bersama seisi keluarga.
Jadi untuk anda yang gemarkan ayam goreng KFC, boleh cuba memasaknya sendiri di rumah. Jangan risau, resepi ini sangat senang dan menjimatkan. Jika sekali buat tidak menjadi seperti ayam goreng KFC restoran segera tu, boleh dicuba lagi sehingga menjadi.
Resepi Ayam Goreng KFC
Bahan-bahan perapan ayam:
- 1 ekor ayam
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 sudu besar serbuk ketumbar
- sudu kecil serbuk lada hitam
- 1 sudu kecil serbuk kari
- 1 sudu kecil serbuk paprika
- 1 sudu besar serbuk seasoning
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil serbuk lada putih
- 1 cawan air
Bahan-bahan untuk tepung goreng:
- 3 cawan tepung gandum
- 1 cawan tepung jagung
- 1 sudu besar serbuk kari
- 1 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu kecil garam halus
- 1 sudu besar serbuk seasoning
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam
- 1 sudu kecil serbuk lada putih
- 1 sudu besar serbuk ketumbar
- 1 sudu kecil serbuk soda bikarbonat
Bahan-bahan untuk coleslaw:
- 1 mangkuk besar hirisan kubis
- 1 batang lobak merah
- 4 sudu besar mayonis
- Sedikit jus lemon
- Secubit garam
- Sedikit gula
- 2 sudu besar susu full cream
Bahan-bahan untuk kentang putar:
- 4 ketul ubi kentang
- Air untuk rebusan
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil mentega
- Secubit garam
- Sedikit susu full cream
Bahan-bahan untuk sos perang:
- 2 sudu besar mentega
- 1 sudu besar tepung gandum
- 1 kiub pati lembu atau ayam
- 2 cawan air
- Sedikit kicap (untuk warna)
- sudu kecil serbuk lada hitam
Cara-cara untuk perap ayam:
#1. Di dalam sebuah mangkuk yang besar Mommy masukkan ayam danĀ semua bahan perapan ayam di dalamnya.
Tuangkan air dan gaul satu ke dua minit agar semua bahan dan ayam menjadi sebati dan sekata. Perap ayam tersebut di dalam peti sejuk.
Cara-cara untuk membuat coleslaw:
#1. Potong lemon, racik kubis dan lobak merah menjadi halus. Campurkan semua bahan dan perah lemon biar sebati.
Kemudian tambahkan susu full cream untuk memberi rasa lemak dan memekatkan lagi coleslaw. Selesai menggaul terus simpan di dalam peti sejuk.
Cara-cara untuk membuat mashed potato:
#1. Kentang tadi Mommy potong kecil kemudian rebus dalam air dan campur sedikit garam.
Setelah empuk, tapis air dan kupas kulit kentang.
#2. Kemudian Mommy lenyek kentang sampai halus.
Seterusnya Mommy masukkan mentega, garam dan gaul lagi sehingga sebati dan campurkan susu full cream dan gaul lagi supaya susu menyerap ke dalam ubi dengan sekata.
Cara-cara menyediakan sos perang:
Di dalam periuk kecil Mommy cairkan mentega. Setelah mentega cair Mommy masukkan tepung gandum dan kacau perlahan sehingga ia keperangan.
Kemudian Mommy perasakan dengan kiub ayam (kiub lembu lebih bagus sebab warna akan jadi lebih gelap) dan tambah air secukupnya. Akhir sekali, masukkan serbuk lada hitam, kicap (boleh ganti dengan sos Worcestershire). Setelah kuah mendidih dan menjadi agak pekat matikan api.
Cara-cara untuk membuat tepung salutan:
#1. Untuk menyalut ayam yang sudah Mommy perap tadi, satukan semua bahan ke dalam satu bekas.
#2. Kemudian Mommy masukkan ayam perap ke dalam tepung dan gaul sekata (masukkan 3-4 ketul sekali gaul).
Angkat dan celup dalam air (sekali sahaja) kemudian masukkan semula ke dalam tepung dan gaul lagi sekali. Balik-balikkan ayam tersebut.
#3. Selepas itu goreng ayam di dalam minyak yang banyak dan panas sehingga warna kuning keemasan atau keperangan.
Setelah ayam masak Mommy angkat dan toskan telebih dahulu sebelum dihidang bersama coleslaw, mashed potato dan sos perang. Resepi ayam goreng KFC dah siap!
Tip/Petua Memasak Resepi Ayam Goreng KFC
- Jika menggunakan peha ayam, kelar sedikit isinya atau cucuk-cucuk supaya cepat masak.
- Guna garfu untuk mencucuk ubi kentang yang direbus, sekiranya lembut bermakna kentang telah empuk.
- Setiap kali hendak mengulang proses menggaul tepung, tapis terlebih dahulu ketulan tepung.
- Setelah ayam masak, rehatkan ayam atas jaring atau penapis besi supaya ada ruang untuk wap panas keluar. Jangan letak di atas tisu kerana wap panas bahagian bawah ayam akan teperangkap dan meruap, ayam akan jadi lembik di bahagian bawah.
Semoga Mommy sekeluarga menyukai menu ayam goreng ini. Sekiranya Mommy ingin cuba resepi ayam yang lebih sihat, Mommy boleh cuba resepi ayam stim halia yang penuh nurisi ini.
Selamat mencuba!