Hidangan makanan memang membawa kebahagiaan. Makanan boleh memperelokkan mood kita dan memberi tenaga dan khasiat untuk badan.
Tambah-tambah resepi makanan dari Thailand. Jarang-jarang lah mengecewakan resepi dari negara seberang ni.
Jom, kali ini kita cuba resepi ayam masak Thai yang pastinya akan meletup-letup dalam mulut!
Resepi Ayam Masak Thai
Resepi oleh: Che Nom
Bahan-Bahan
Bahan untuk kisar halus
- 4 biji bawang merah kecil
- 6 ulas bawang putih
- Seketul kunyit hidup
- 4-5 biji cili merah besar
- 1-2 cili hijau besar
- 7-8 biji cili padi
- Sedikit air
Bahan lain
- ½ ekor ayam
- Sesudu kecil garam
- Sesudu kecil serbuk kunyit
- Minyak secukupnya
- 3 batang serai yang dititik
- 7-8 helai daun limau purut
- 2 sudu besar sos cili
- 1 ½ sudu besar sos tiram
- Air secukupnya untuk kuah
- Sedikit gula melaka
- Garam secukup rasa
- ½ biji bawang Holland bersaiz besar yang dipotong bulat
- Perahan jus limau nipis 1 biji kecil
Cara-Cara
1. Kisarkan halus kesemua bahan untuk kisar halus.
2. Kemudian gaulkan rata ayam bersama kunyit dan garam.
3. Panaskan minyak dan gorengkan sehingga ayam separuh masak.
4. Ketepikan ayam dan keluarkan minyak separuh.
5. Kemudian tumiskan serai.
6. Bila dah naik bau, masukkan pula bahan kisar halus. Sambung tumis sehingga pecah minyak ya.
7. Bila dah agak kering, tuangkan sedikit air dan sambung tumis. Buat macam ni beberapa kali ya supaya cili tu betul-betul masak.
8. Seterusnya, taburkan daun limau purut.
9. Masukkan pula ayam tadi, sos cili, sos tiram dan sedikit air untuk kuah. Kacaukan sebati dan tutup kuali sekejap supaya ayam masak elok.
10. Kemudian perasakan dengan gula melaka, garam dan sedikit air lagi.
11. Kacau-kacau dan taburkan hirisan bawang Holland. Sambung kacau.
12. Bila bawang dah layu, tutup api dan masukkan air perahan asam limau. Siap!
Tips Memasak Ayam Masak Thai
- Bila dah tutup api, barulah boleh perahkan jus limau nipis. Kalau perahkan awal, lain rasanya nanti.
- Pastikan kunyit dan cili Mommy segar ya. Barulah naik rasa kuah ayam Thai ni.
Jom cuba pelbagai resepi menarik yang lain dengan klik SINI.