Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Lepak Suka Ria Hujung Minggu Dengan Hidangan Lazat Ayam Perap BBQ Ini!

resepi ayam perap

Sumber Blog Arisa

Sudah lama rasanya tidak berkumpul beramai-ramai, mesti rindu kan suasana kemeriahannya? Jadi apa kata Mommy sediakan resepi ayam perap BBQ pada hujung minggu ini dan ajak kawan-kawan atau pun saudara-mara berkunjung ke rumah!

Selain dapat menikmati hidangan yang lazat, kasih sayang yang terjalin pun bertambah erat. Menu ayam perap ini sangat sesuai untuk sajian buat keluarga, berkelah, majlis hari jadi dan sebagainya.

Bahan yang digunakan juga sangat mudah didapati, dan Mommy boleh sediakannya lebih awal sebabnya lagi lama ayam ini diperap, lagi bertambah sedap rasanya.

Kalau Mommy nak tahu, bahan yang digunakan dalam perapan sangat penting untuk mendapatkan rasa yang sedap dan lazat. Oleh itu, dalam perkongsian kali ini kami akan sediakan panduan resepi untuk dijadikan rujukan Mommy tika memasak nanti.

Resepi Ayam Perap BBQ

Bahan-Bahan:

  • 1 ekor ayam
  • 1 labu bawang besar
  • 10 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas
  • 2 batang serai
  • 1 botol sos BBQ
  • 3 sudu besar madu
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • sedikit jintan manis
  • sedikit jintan putih
  • 3 sudu besar mentega atau minyak
  • 1/2 cawan kicap pekat manis
  • 2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • garam secukup rasa

Cara-cara masak:

#1. Mula-mula Mommy potong ayam kepada beberapa bahagian, kemudian kelar pada setiap bahagian atas isinya, cuci ayam sehingga bersih dan toskan airnya.

Highlighted

Sumber Facebook@MAHN

#2. Sementara menunggu ayam sejat, Mommy kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan serai sehingga lumat.

Sumber Facebook@MAHN

Kemudian Mommy campurkan kesemua bahan yang Mommy kisar tadi dengan semua bahan lain dan gaul sehingga ia menjadi sebati.

#3. Seterusnya, masukkan ayam kedalam bahan tadi dan Mommy perap sekurang-kurangnya 3 jam pada suhu bilik. Jika mommy perap lebih lama rasanya akan menjadi lebih sedap.

Sumber Facebook@MAHN

#4. Akhir sekali, bakar ayam yang diperap menggunakan pemanggang ajaib atau oven sehingga ayam masak sepenuhnya.

Sumber Facebook@MAHN

Mommy renjiskan baki bahan perapan ke atas ayam berulang kali menggunakan serai yang diketuk bagi mengelakkan ayam cepat kering dan membangkitkan lagi aroma ayam bakar BBQ Mommy.

Tips/Petua:

  • Mommy boleh simpan baki perapan ayam di dalam peti sejuk, untuk kegunaan masa hadapan.
  • Mommy boleh menyediakann ayam perap BBQ ini lebih awal dan simpan di dalam peti sejuk.
  • Apabila hendak masak, Mommy keluarkan ia lebih awal. Ini akan menjimatkan masa Mommy di dapur.
  • Jika Mommy bakar menggunakan bara api atau kayu arang, ayam akan lebih sedap.

Selamat mencuba!


Jom cuba pelbagai resepi yang lain di SINI.