Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Pilihan Resepi Ayam Yang Menyelerakan Sebagai Penyelamat Hidangan

Krisis pandemik Covid-19 masih belum menemui jalan penyelesaiannya. Banyak restoran dan kedai makan terpaksa ditutup atau menawarkan perkhidmatan terhad disebabkan masalah kesihatan sejagat ini. 

Secara tidak langsung, para ibu dan isteri di rumah sana tiada banyak pilihan selain daripada menyediakan makanan untuk dimakan dengan air tangan sendiri.

Bagi yang gemar dan memang mahir memasak, tiada bezanya memasak semasa musim Covid-19 atau hari-hari biasa. Tetapi, bagi sesetengah yang lain, memasak bukanlah sesuatu yang senang untuk dilakukan. 

Sebenarnya, memasak itu mudah jika kena menu dan caranya. Apa kata anda cuba 10 resepi ayam yang kami sediakan lengkap dengan cara memasak yang betul sepanjang anda ‘bereksperimen’ di dapur rumah itu.  

#1 Resepi Ayam Masak Kicap 

Highlighted

Kredit mStar

Bahan-bahan:

  • 500g ayam
  • 1 biji bawang besar
  • 2 biji bawang putih 
  • Bunga lawang, cengkih, kayu manis, buah pelaga
  • Kicap

Cara penyediaan:

  1. Gaulkan ayam dengan kunyit, kemudian goreng separuh masak dan asingkan.
  2. Selepas itu, tumis bawang putih, cengkih, bunga lawang, kayu manis, pelaga sehingga naik bau. 
  3. Masukkan bawang dan gaul rata dengan bahan tumisan. 
  4. Kemudian masukkan kicap, ikut citarasa Puan Chef. 
  5. Masukkan air untuk jadikan masakan berkuah.
  6. Letakkan garam secukup rasa
  7. Akhir sekali, masukkan ayam yang sudah digoreng separuh masak tadi dan gaul sebati.

*Kalau nak pedas sikit, bolehlah tambah cili semasa menumis dengan bahan-bahan tumisan.  

#2 Resepi Ayam Goreng Kunyit

Kredit Explor Rasa

Bahan-bahan:

  • 250g Isi ayam (dipotong kecil, dilumur garam dan serbuk kunyit)
  • Kacang panjang 
  • Lobak merah
  • 1 biji bawang besar kuning (dihiris)
  • 1 batang cili merah (dihiris)
  • 2 ulas bawang putih (diketuk)
  • Gula, garam
  • Sedikit minyak

Cara penyediaan:

  1. Goreng ayam yang diperap garam kunyit dengan menggunakan api yang besar dan asingkannya.
  2. Panaskan minyak, tumis bawang putih. 
  3. Masukkan lobak merah dan gaulkan dengan bawang putih, kemudian masukkan sayur kacang panjang, bawang besar dan cili merah. Masak sehingga sayuran lembut.
  4. Masukkan sedikit gula dan garam mengikut citarasa.
  5. Masukkan semula ayam yang sudah digorengkan dan sebatikan dengan semua bahan tadi sebelum dihidang dan siap untuk dimakan. 

#3 Resepi Ayam Paprik

Bahan-bahan:

  • 250g isi ayam, dihiris kecil
  • 2 ulas bawang putih, dicincang halus
  • 1 biji bawang besar, dihiris bulat kasar
  • 1 biji cili merah, dihiris serong
  • 5-10 biji cili api, mengikut citarasa
  • 2 helai daun limau purut
  • Bunga kobis
  • Putik jagung
  • Lobak merah
  • Kacang panjang
  • 2 sudu makan cili kering kisar
  • 2 sudu makan cili sos
  • 2 sudu makan tomato sos
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Garam
  • Air

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak kedalam kuali dan tumis bawang ke sehingga naik bau. 
  2. Tumis cili kisar hingga pecah minyak.
  3. Masukkan semua sos.
  4. Masukkan isi ayam, kaca rata.
  5. Masukkan sedikit air sedikit. 
  6. Tambah garam dan sedikit serbuk perasa.
  7. Masukkan semua bahan-bahan yang telah dihiris. Masak hingga sayur empuk.   

#4 Resepi Ayam Halia

Kredit Daily Makan

Bahan-bahan:

  • 500 gram ayam, dipotong kecil
  • 4 ulas bawang putih, dihiris 
  • 2 cm halia, dihiris memanjang
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 biji bawang besar, dihiris 
  • 1 biji cili merah, hiris 
  • 1 tangkai daun bawang, 
  • 1 1/2 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
  • sedikit lada sulah 
  • garam dan gula, secukup rasa

Cara penyediaan:

  1. Gaulkan ayam bersama garam dan kunyit kemudian goreng separuh masak di dalam minyak panas. Angkat dan ketepikan.
  2. Ambil sedikit minyak dari baki gorengan ayam tadi, dan tumiskan bawang putih bersama halia sehingga naik bau.
  3. Campurkan semula ayam yang digoreng separuh masak tadi.
  4. Masukkan pula sos tiram, kicap cair, dan sedikit taburan lada putih. Kacau seketika.
  5. Masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga kuah menjadi sebati dan pekat. Tambah sedikit lagi air jika hendakkan masakan lebih berkuah.
  6. Taburkan cili merah dan bawang besar dan kacau selama 2-3 minit sebelum diangkat. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. 

#5 Ayam Masak Kurma

Bahan-bahan:

  • 1kg ayam
  • 5 ulas bawang merah dihiris
  • 4 ulas bawang putih dihiris
  • 1 biji bawang besar dibelah 4 
  • 2 biji ubi kentang
  • 1 biji buah tomato
  • Rempah penumis: bunga lawang, kayu manis, buah pelaga
  • 3 sudu besar rempah kurma
  • 1 kotak santan kotak (campurkan air secukupnya)
  • Garam, gula, serbuk perasa
  • Asam keping
  • Bahan kisar: 4 ulas bawang merah dan 1 inci halia

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis rempah penumis dan bawang merah serta bawang putih yang dihiris sehingga kekuningan.
  2. Masukkan bawang merah dan halia yang dikisar. Kacau rata sehingga wangi.
  3. Masukkan rempah kurma. Tumiskan sehingga rempah kurma terbit minyak. 
  4. Masukkan ayam, bawang besar dan ubi kentang. Kacau rata dan biarkan sehingga ayam kecut dan naik minyak.
  5. Masukkan santan dan air secukupnya dan biarkan masak sehingga kuah pecah minyak.
  6. Masukkan garam, gula, dan asam keping.
  7. Akhir sekali, masukkan buah tomato. Setelah kuah naik minyak cantik, bolehlah ditutup api.

#6 Sup Ayam 

Bahan-bahan:

  • 600g ayam 
  • 1 paket Rempah Sup Adabi
  • 2 biji ubi kentang
  • lobak merah
  • 2 batang saderi
  • 1/2 sudu besar garam atau secukup rasa
  • Air
  • Sedikit minyak
  • Bahan Ditumbuk : 3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1 inci halia

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga wangi dan kekuningan.
  2. Masukkan air secukupnya.
  3. Masukkan ubi kentang dan masakkan seketika sebelum dimasukkan lobak merah. Masak sehingga ubi kentang empuk.
  4. Masukkan ayam dan rempah sup yang dibancuh dengan segelas air.  
  5. Setelah ayam hampir masak, masukkan batang saderi.
  6. Akhir sekali, masukkan garam dan sebelum dihidangkan, bolehlah hiaskan dengan bawang goreng dan daun sup.

#7 Ayam Masak Kari

Kredit Sinar Harian

Bahan-bahan:

  • 1kg ayam
  • 2 biji kentang 
  • 1 1/2 labu bawang besar saiz besar dihiris
  • 6 ulas bawang putih dihiris
  • 3 inci halia dihiris
  • 1 asam keping
  • 1 kotak santan kotak
  • Air secukupnya
  • 10 sudu besar rempah kari 
  • Rempah penumis: Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
  • Daun kari
  • Gula, garam secukupnya

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis rempah penumis bersama bawang putih, bawang merah dan halia sehingga kekuningan.
  2. Kemudian masukkan rempah kari dan kacau seketika sebelum dimasukkan air untuk mencairkan rempah.
  3. Masak dengan menggunakan api perlahan sambil terus dikacau sehingga rempah sedikit garing dan terbit minyak.
  4. Kemudian masukkan daun kari dan kentang.
  5. Selepas itu, masukkan pula ayam dan masak sehingga ayam kecut sebelum tambah sedikit lagi air dan biarkan mendidih.
  6. Masukkan santan dan terus masak dengan api perlahan. Setelah kentang empuk, masukkan asam keping, gula dan garam.
  7. Renihkan sehingga pecah minyak. Sesuaikan kepekatan kuah yang disukai. Jika terlebih pekat, tambah air panas dan masak lagi.

#8 Resepi Ayam Bakar

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam
  • Garam dan gula @ madu secukupnya
  • Sedikit sos tiram, sos cili, kicap
  • Bahan Kisar : 1 batang serai,  4 ulas bawang putih, 5 ulas bawang kecil, 5-10 tangkai cili padi (ikut citarasa), 1 inci halia, 1 inci kunyit hidup
  • 1 biji kiub ayam
  • Sedikit minyak 

Cara penyediaan:

  1. Campurkan bahan kisar dengan sos tiram, sos cili, kicap, garam dan gula @ madu.
  2. Sapu pada keseluruhan ayam dan perap sehingga 1 jam atau semalaman.
  3. Bakar dalam ketuhar dengan menggunakan api atas bawah. Tetapkan suhu 200C selama 45 minit atau 1 jam, mengikut kuasa ketuhar dan saiz ayam. Jangan terlalu lama, takut nanti terlalu kering.

#9 Rendang Ayam Style Nyonya

Bahan-bahan:

  • 600g ayam
  • 5 helai daun limau purut
  • 2 helai daun kunyit, dihiris halus
  • 1 keping asam gelugor
  • 1 liter pati santan
  • 3 camca besar kerisik
  • Garam secukup rasa
  • 1 camca besar penuh gula melaka
  • 5 camca besar cili kisar
  • 2 camca besar rempah kari daging 
  • Bahan Kisar: 15 biji bawang merah, 3 ulas bawang putih, 1 inci halia, 1 inci lengkuas, 3/4 inci kunyit hidup, 
  • 3 biji buah keras
  • 5 batang serai, hiris halus
  • Secubit belacan

Cara penyediaan:

  1. Bancuh rempah kari bersama bahan kisar halus. Panaskan minyak dalam kuali, tumis cili kisar hingga garing, masukkan bahan kisar halus dan rempah kari tadi dan kacau hingga rempah garing dan terbit minyak.
  2. Masukkan ayam dan gaul rata. Biar ayam kecut sedikit. Masukkan santan, kacau dan bila mendidih, masukkan daun limau purut dan asam gelugor. 
  3. Masak hingga pekat, tambah kerisik dan perasakan dengan garam secukupnya.
  4. Tambah gula melaka dan kacau perlahan. Masak dengan api kecil hingga rendang pekat, terpulang samada anda nak kering atau berkuah sedikit. 
  5. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit, gaul rata, rasa hidangkan.

#10 Ayam Masak Merah 

Bahan-bahan:

  • 600g ayam
  • Sedikit garam dan kunyit
  • Bahan kisar: 4-5 biji cili kering, 1 cm halia,  2 ulas bawang putih, 1 labu bawang besar
  • 1 biji tomato dipotong dadu
  • 1/2 cawan sos tomato

Cara penyediaan:

  1. Bersihkan ayam dan potong kecil-kecil serta gaul dengan garam kunyit. Goreng sehingga 2/3 masak.
  2. Tumiskan bahan kisar sehingga naik bau. 
  3. Kemudian masukkan sos tomato  dan buah tomato. Tumis sehingga naik minyak.
  4. Masukkan ayam. Biar kuah jadi pekat.
  5. Bila kuah sudah pekat, bolehlah padamkan api.

 

#BONUS Ayam Masak Halia

 

Resepi-resepi ayam yang dikongsi ini semua boleh disediakan dengan segera tanpa komplikasi. Sesuai untuk para isteri dan para ibu yang sedang mula hendak berjinak-jinak dengan dapur yang indah tersergam itu.

Untuk menambahkan lagi selera seisi keluarga, anda juga boleh menambah salah satu menu resepi sotong ini. Mesti terliur anak-anak makan nanti! Apa lagi, cubalah hari ini.