Dalam masyarakat Malaysia, resepi bihun sup ayam sangat terkenal dan menjadi salah satu menu kegemaran ramai orang. Terutama bagi anda yang sedang mengalami demam selesema, pastinya masakan jenis sup menjadi pilihan utama.
Bukan sahaja berkhasiat, hirupan kuah sup yang masih panas-panas mampu melegakan tekak dan menambah tenaga di dalam tubuh serta membuat badan mengeluarkan peluh dengan lebih efisien.
Malah bahan-bahan untuk memasak sup juga mudah didapati dan ianya senang dimasak. Anda juga tidak memerlukan masa yang lama untuk menyediakannya. Menu ini juga selain dihidangkan semasa hari perayaan dan majlis kenduri, ianya juga turut disajikan ketika minum petang.
Jadi, melalui perkongsian kali ini kami akan kongsikan kepada anda menu bihun sup ayam yang sangat menyelerakan. Jom sama-sama pelajarinya!
Resepi Bihun Sup Ayam
Bahan-bahan untuk bihun:
- 1 pek bihun kering
- 1-2 sudu kecil serbuk kunyit
air, untuk rendam bihun
Bahan-bahan untuk ditumbuk halus:
- 5 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 2 inci halia
Bahan-bahan untuk kuah sup ayam:
- 1 ekor ayam
- Sedikit minyak
- 1 pek rempah sup bunjut tulang Adabi
- 2 batang serai, dititik
- Air secukupnya
- 2 pokok daun sup, ambil batang sahaja
- 1/2 sudu besar lada hitam, tumbuk kasar
- 1/2 sudu besar serbuk lada sulah
- 1 ketul kiub pati ayam
- garam
Bahan-bahan untuk sambal merah:
- 1 senduk minyak
- 4 sudu besar serbuk cili
- 1 mangkuk kecil cili kisar
- 1/2 mangkuk air asam jawa
- sedikit sos cili
- gula putih dan gula melaka
- garam secukup rasa
Bahan-bahan untuk hiasan:
- daun sup
- daun bawang
- bawang goreng
- lobak masin (direbus sekejap)
- limau nipis
Cara-cara
#1. Mommy rendam bihun hingga tenggelam. Taburkan kunyit dan kacau biar sekata warnanya.
Apabila bihun sudah tidak keras, Mommy didihkan air dan rebus bihun sehingga menjadi lembut, kemudian Mommy toskan bihun.
#2. Mommy tuangkan minyak ke dalam kuali dan panaskan ia.
Apabila minyak sudah panas tuang kesemua bahan kisar, rempah sup bunjut tulang adabi, dan serai. Mommy tumis sehingga warnanya keperangan dan berbau wangi.
#3. Selepas itu, Mommy masukkan ayam yang sudah dibersihkan dan kacau seketika.
Tambahkan air, batang daun sup, serbuk lada hitam, serbuk lada sulah dan kiub ayam. Masak sehingga ia mendidih dan ayam empuk. Akhir sekali Mommy masukkan garam secukup rasa.
Cara masak sambal merah:
#1. Mommy tuangkan bancuhan serbuk cili dan cili kisar ke dalam minyak yang sudah panas dan masak sehingga ia pecah minyak.
Mommy masukkan air asam jawa, sos cili, gula putih, gula melaka dan sedikit garam.
#2. Mommy biarkan ia hingga menggelegak kemudian tambahkan sedikit air dan ulang proses tersebut beberapa kali sehingga warna sambal bertukar menjadi sedikit gelap dan teksturnya bergentel.
Tips/Petua Menyediakan Resepi Bihun Sup
- Jangan rebus bihun terlalu lama kerana ia akan lembik.
- Tambahkan 1 batang kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 4 biji buah pelaga dan beberapa tangkai bunga cengkih untuk menghasilkan sup lebih sedap dan kuat aromanya.
- Lobak masin harus direbus atau celur sekejap bagi mengurangkan rasa masin.
- Mommy boleh kisar bawang besar dan masukkan ke dalam sambal merah jika suka.
Selamat menikmati!
Mommy juga boleh mencuba pelbagai resepi lain di SINI.