Memang sedap dan mengenyangkan makan nasi dengan lauk-pauk kan? Tapi kadang-kadang tu memang tak sempat nak masak lauk banyak-banyak sebenarnya.
Terutamanya buat Mommy yang berkerja. Memang penat dan kesuntukan masa. Jadi bubur nasi lah jadi penyelamat.
Selain daripada mudah, bubur nasi ni memang sedap dan kanak-kanak pun suka. Cepat, sedap dan mengenyangkan; jom cuba buat resepi bubur nasi ayam ni?
Resepi Bubur Nasi Ayam
Resepi oleh: cookpad
Bahan-Bahan
- Secawan beras
- 6 cawan air
- 300 gram isi dada ayam
- Sebiji bawang merah yang dikisar
- 1/2 inci halia yang dikisar
- Sebatang lobak merah yang dipotong dadu
- Sedikit daun bawang yang dipotong
- 2 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil lada sulah
Cara-Cara
1. Bersihkan beras dan rendamkannya selama sejam atau lebih. Sambil-sambil ni, bolehlah sediakan bahan-bahan lain ya.
2. Kemudian, toskan beras dan masukkan ke dalam periuk bersama dengan 6 cawan air.
3. Teruskan dengan memasukkan bahan-bahan lain seperti isi ayam, bawang, halia dan lobak. Boleh juga nak masukkan terus garam dan lada sulah. Lagi senang sekali gus je. Masak kesemuanya dengan api sederhana.
4. Bila dah makin kering, masukkan potongan daun bawang dan teruskan masak hingga nasi hancur.
5. Kacau-kacau dan bubur nasi siap untuk dihidang dan dinikmati!
Tips Memasak Bubur Nasi Ayam
- Kalau nak cepat, Mommy boleh je kisarkan beras yang dah dibasuh bersih separa hancur. Kalau tak ada masa nak rendam beras, boleh buat macam ni juga. Lagi cepat beras masak menjadi bubur nanti.
- Bahan-bahan mestilah dipotong kecil ya supaya cepat masak.
- Jika sukakan halia, boleh je kalau tak nak kisar tapi potong panjang halus-halus.
- Selain lada sulah, sesuai juga masukkan lada hitam kalau nak.
- Biasanya,daun bawang dah cukup. Tapi kalau Mommy nak taburkan daun sup dan bawang goreng pun sedap juga tau!
- Bubur ni boleh makan macam tu je dan sesuai juga makan bersama lauk tambahan macam serunding ke.
Resepi Bubur Nasi Ayam
Senang je kan buat bubur nasi ayam ni? Jimat masa, tenaga dan sedap pula tu. Jangan lupa untuk cuba ya Mommy? Nak padankan dengan sup ayam ala Thai ni pun best. Pelbagai rasa gitu!