Siapa yang tak suka kan kalau dapat makan resepi ikan bakar sambal yang sangat lazat, manis serta lengkap dengan pelbagai rasa yang unik? Tambah-tambah lagi buat Mommy dan Daddy yang suka berkelah, pasti masakan bakar ini merupakan menu wajib yang perlu ada!
Seperti di bawah ini, terdapat dua versi resepi bakar yang telah kami kongsikan untuk Mommy cuba. Sangat enak dan lazat, resepi ini pasti akan menjadi kegemaran Mommy sekeluarga. Jom lihat!
Resepi Ikan Bakar Sambal Versi I: Ikan Bakar Sambal Portugis
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan siakap (dicuci bersih dan dibelah di bahagian belakang)
- 2 biji bawang besar*
- 5 ulas bawang putih*
- 1 inci halia*
- 1 mangkuk kecil cili kering*
- 1 inci kunyit hidup*
- 2 batang serai*
- 4 batang bendi
- 3 biji limau nipis
- 1 sdb pes asam jawa
- 1 sdk garam
- 1 sdk gula
- 1 sdb sos tiram
- 1 sdb sos ikan
- 1/2 cawan air
- Minyak untuk menumis
Cara-cara masak:
#1. Kisarkan kesemua bahan yang bertanda * hingga ia hancur dan halus. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang telah dikisar sebentar tadi sehingga ia menjadi garing. Masukkan pes asam jawa, air, sos tiram dan sos ikan lalu kacau sebati. Kemudian perasakan dengan garam dan gula, masak sehingga sambal menjadi agak pekat dan tutup api.
#2. Setelah sambal siap dimasak, Mommy alaskan bekas atau loyang dengan daun pisang dan letakkan ikan di atasnya. Kemudian, tuangkan semua sambal tadi di atas ikan tersebut dan lumurkannya di seluruh ikan. Susun bendi yang telah dihiris di atasnya.
#3. Panaskan oven dengan suhu 190 darjah celcius. Bakar ikan tersebut selama 1 jam. Apabila ikan sudah masak, Mommy perahkan limau nipis di atasnya semasa hendak menghidang nanti.
Resepi Ikan Bakar Sambal Versi II: Ikan Pari Bakar
Bahan-bahan:
- 3 ekor ikan pari sedang (dipotong dua)
- 2 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 10 batang cili kering (buang biji dan direbus)
- 3 batang cili besar
- 4 batang cili padi
- garam
- gula
- serbuk perasa
- asam keping
- daun limau purut (dimayang halus)
- daun kunyit (dimayang halus dan dibuang urat tengah)
- daun pisang
- aluminium foil
Cara-cara masak:
#1. Mula-mula Mommy cuci bersih ikan pari. Kemudian kisar bawang besar, bawang putih, cili kering, cili besar dan cili padi. Panaskan minyak dan tumis kesemua bahan kisar sehingga garing.
Kemudian, Mommy masukkan pula asam keping, garam, gula, serbuk perasa. Kacau sebati. Setelah itu, masukkan daun limau purut dan daun kunyit. Siap.
#2. Mommy ambil aluminium foil dan lapikkannya dengan daun pisang.
Letakkan sedikit sambal yang telah dimasak tadi di atasnya, kemudian letakkan ikan di atas sambal tersebut. Mommy tuangkan lagi sambal di atas ikan tersebut dan balutnya dengan kemas.
#3. Bakar ikan tersebut di atas pemanggang ajaib. Kalau Mommy nak guna oven pun boleh, ikut keselesaan diri.
Tips/Petua Memasak Resepi Ikan Bakar Sambal:
- Lebihan sambal yang dibakar tadi, jangan dibuang kerana boleh dituangkan semula ke atas ikan semasa menghidang.
Selamat mencuba!
Untuk pelbagai resepi bakar yang lain, Mommy boleh klik SINI.