Antara menu wajib bagi penggemar masakan ikan, sudah tentulah resepi ikan cencaru sumbat. Resepi Ikan Cencaru Sumbat ini pula selain mudah disediakan, ianya juga boleh dimasak dengan dua versi masakan iaitu digoreng atau pun dibakar. Dan yang pasti, versi bakar lebih sedap dan lebih manis rasanya!
Bagi Mommy yang sibuk dan kejar masa nak masak, boleh terus goreng ikan cencaru tersebut. Lagi pun semua bahan yang digunakan tak remeh dan mudah prosesnya. Jom kita lihat resepi dekat bawah ini bagaimana cara nak memasak ikan cencaru sumbat yang simple ini!
Cara Penyediaan Resepi Ikan Cencaru Sumbat
Bahan-bahan tumbuk/kisar:
- Bawang besar 1 ulas
- Cili padi 5 batang
- Serai 1 batang
- Kelapa parut 1 cawan
- Jintan manis 1sdk
- Kunyit hidup 1inci
- 3 biji belimbing buluh
- Garam
- Daun pandan (untuk ikat ikan nanti)
Cara-cara masak:
#1. Mula-mula Mommy tumbuk semua bahan yang dinyatakan di atas sehingga lumat.
#2. Kemudian, masukkan belimbing buluh dan tumbuk lagi sampai sebati.
Kalau Mommy nak tukar belimbing buluh dan gunakan asam jawa pun boleh. Ikut cita rasa hati.
#3. Perasakan supaya lengkap semua rasa pedas, masam, manis dan juga lemak masin.
#4. Ikan cencaru pula, Mommy cuci bersih dan belah bahagian sebelah ikan untuk sumbat sambal yang ditumbuk tadi. Bahagian luar ikan sapu garam dan juga kunyit.
#5. Layukan dulu daun pandan di atas api dapur.
Tujuannya untuk mudahkan proses mengikat nanti dan tidak cepat putus. Bila daun pandan sudah layu, Mommy koyakkannya seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas.
#6. Sumbat sambal ke dalam ikan tadi.
#7. Setelah siap masukkan sambal, panaskan minyak dan goreng ikan sampai masak. Siap untuk dihidang.
Tips Semasa Mencuba Resepi Ikan Cencaru Sumbat
- Lebih sedap kalau dibakar, aroma wangian bahan akan lebih berbau kuat dan menyelerakan.
- Boleh juga gantikan dengan ikan lain seperti ikan kembung.
- Kalau tak sukakan cili padi, boleh je Mommy tukarkannya kepada cili kering. Tapi sebelum tumbuk, Mommy rebus dulu cili kering sebentar untuk melembutkannya. Lebih mudah untuk ditumbuk nanti.
- Jika Mommy ingin cepat siapkan hidangan, boleh kisar semua bahan tapi rasanya kurang sedap berbanding jika ditumbuk.
Kalau nak hidang resepi ni bersama pajeri nanas ni pun sedap sangat! Mesti bertambah nasi tu.