Salah satu keistimewaan utama resepi ketam telur masin adalah gabungan rasa yang memukau antara isi ketam yang lembut dan manis dengan rasa sedap telur masin. Hidangan yang dimasak dengan sempurna ini menghasilkan hidangan yang lazat dan mampu menggoda selera penggemar makanan laut.
Selain rasanya yang sedap, menu ini juga sering menjadi pilihan kerana ia tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Bagi Mommy yang belum pernah menyediakan hidangan ini, boleh ikuti perkongsian di bawah untuk mencubanya!
Resepi Ketam Telur Masin Pekat Melekat
Bahan-bahan:
- 10 ekor ketam
- 5 biji telur masin (nak guna telur masin serbuk pun boleh)
- 3 sudu besar mentega/marjerin
- 10 ulas bawang putih (di cincang)
- 2 sudu tepung jagung
- 1/2 cawan susu cair (boleh juga gunakan susu segar)
- 12 biji cili padi (dihiris nipis)
- Daun kari
- Garam secukup rasa
Cara-cara masak:
#1. Mula-mula sekali, Mommy perlu kukus ketam selama beberapa minit supaya daging ketam masak. Kemudian, keluarkan ketam toskan.
#2. Kalau Mommy tak suka kukus, boleh juga menggoreng ketam menggunakan tepung jagung. Ini akan memberikan ketam lapisan luar yang rangup. Kalau tak ada tepung jagung, Mommy boleh goreng seperti biasa.
#3. Langkah seterusnya, kisar atau hancurkan telur masin sebelum dimasukkan ke dalam masakan. Gunakan 5 biji telur masin untuk 10 ekor ketam. Ketam pula Mommy potong separuh.
Setelah itu, Mommy cairkan setengah cawan mentega/marjerin dalam kuali.
#4. Tumis bawang putih dan cili api hingga naik bau. Pastikan bawang putih dan cili dicincang sebelum ditumis.
#5. Masukkan telur masin yang telah dihancurkan tadi, dan daun kari ke dalam kuali. Tak perlu tambah garam sebab telur masin tu dah ada rasa masin. Namun, jika rasa perlu tambah garam, bolehlah mengikut citarasa masing-masing.
#6. Kemudian, Mommy masukkan susu cair ke dalam kuali bersama dengan ketam yang telah disediakan tadi. Gaul semua bahan hingga sebati.
Siap untuk dihidang.
Diharapkan dengan mengikuti langkah-langkah di atas, Mommy semua akan dapat memasak Ketam Telur Masin yang lazat dan penuh rasa. Semoga berjaya!
Tips Memilih Ketam & Ketika Menyediakan Resepi Ketam Telur Masin
Berikut ialah tiga petua mudah untuk memilih ketam segar:
- Mommy perlu perhatikan pergerakan ketam. Pilih ketam yang aktif dan tangkas dan elakkan ketam yang lambat atau tidak bergerak, kerana ia mungkin mati atau tidak segar.
- Pilih ketam dengan cangkerang kuat dan tiada tanda-tanda kerosakan. Elakkan ketam dengan lendir berlebihan atau reput, kerana itu adalah tanda bahawa ia tidak segar.
- Ketam segar tidak berbau busuk atau hanyir. Baunya seakan bau laut yang segar dan ringan. Jika baunya tidak menyenangkan atau kuat, ketam itu mungkin tidak segar.
Selain itu, adalah lebih baik jika Mommy beli ketam daripada sumber yang boleh dipercayai dan simpan dengan betul selepas pembelian untuk memastikan ia kekal segar.
Selamat mencuba!
Jom cuba resepi yang lain di SINI.