Orang kita memang suka masakan Thai kan? Pedas, masam, manis, masin; masakan Thai ni ada kesemuanya.
Rasanya macam roller-coster dalam mulut ni. Antara yang sering menjadi pilihan orang Malaysia adalah, masakan paprik.
Kali ini, Motherhood nak buat paprik ayam inspirasi daripada Che Nom. Jom, cari-cari bahan dulu?
Resepi Paprik Ayam
Resepi oleh: Che Nom
Bahan-Bahan
- Sedikit minyak
- 3 ulas bawang putih yang diketuk
- Seinci halia yang dihiris nipis
- Sebatang serai yang diketuk
- Sesudu besar cili kisar
- 2 keping isi ayam bahagian dada yang dipotong kecil
- 3-4 sudu besar sos cili
- Sesudu besar pes tomyam
- Sesudu besar sos tiram
- Sesudu besar kicap manis
- Sedikit sos ikan
- Sedikit air
- Daun limau purut yang dibuang uratnya
- Lobak merah
- 2 batang kacang panjang
- Bunga kubis
- Jagung muda
- Sedikit air
- Capsicum merah yang dipotong kecil
- Cili api yang dibelah di tengah
- Bawang Holland yang dipotong wedges
- Sedikit gula
Cara-Cara
1. Mula-mula, panaskan sedikit minyak masak dan tumiskan bawang putih, halia dan serai.
2. Kemudian, masukkan pula cili kisar dan sambung tumis.
3. Bila dah nampak masak cilinya dan mula pecah minyak, masukkan isi dada ayam. Kacau-kacau sehingga separuh masak dan agak kering airnya.
4. Selepas itu, masukkan sos cili.
5. Diikuti pes tomyam.
6. Masukkan juga terus sos tiram, kicap manis, sos ikan, sedikit air dan daun limau purut. Kacaukan sebati.
7. Kuahnya dah siap, sekarang kita masukkan sayur. Masukkan dahulu lobak merah dan kacau-kacau biar lembut sedikit.
8. Kemudian, kacang panjang, bunga kubis dan jagung muda. Kacaukan sebati sekejap je.
9. Masukkan pula cili api dan capsicum.
10. Diikuti bawang Holland.
11. Gaulkan dan perasakan dengan gula dan garam jika perlu. Siap!
Tips Menyediakan Resepi Paprik Ayam
- Semua sayur kena potong nipis dan pendek ya Mommy. Sebab buat paprik ni kejap je, tak boleh tebal lah sayurnya.
- Sos ikan dah agak masin, pandai-pandai lah agak kalau nak tambah garam ya?
Cuba juga resepi tomyam yang terangkat ni. Buat banyak-banyak untuk keluarga, barulah puas hati makan nanti!
Jom cuba resepi-resepi lain yang dikongsikan di SINI.