Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Satay Ayam Original dan Madu Yang Memikat Rasa & Menyelerakan

resepi satay ayam

Sumber : LamboPlace

Resepi satay ayam antara menu paling popular dan paling disukai oleh ramai rakyat Malaysia. Pasti Mommy sekeluarga juga turut menyukainya kan? Selain nasi tomato, resepi ini juga merupakan antara menu wajib untuk apa pun jenis majlis keraian dan satay ayam ini juga mudah dijual di merata tempat terutamanya pasar malam.

Tapi mesti bosan kan kalau asyik beli luar je? Apa kata untuk kali ini, Mommy buat resepi ini sendiri di rumah bersama-sama dengan keluarga tersayang. Terdapat dua versi Resepi Satay Ayam yang boleh Mommy pilih; iaitu resepi satay ayam original dan satay ayam madu.

Resepi Satay Ayam Biasa/Original  

Highlighted

Kredit gambar: LamboPlace

Bahan-Bahan:

  • 1 kg daging ayam
  • Lidi satay
  • 3 sudu besar madu atau gula merah

Bahan Kisar:

  • 3 cm lengkuas 4 cm halia
  • 5 ulas bawang putih
  • 8 ulas bawang merah
  • 3 cm kunyit hidup
  • 3 batang serai

Bahan Sangai:

  • 3 sudu besar biji ketumbar (ditumbuk halus)
  • 2 sudu besar biji jintan putih (ditimbuk halus)
  • 2 sudu besar biji jintan manis (tumbuk halus)
  • garam dan gula
  • 2 sudu besar minyak masak

Bahan minyak untuk disapukan semasa membakar:

  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar air
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 1 biji buah keras (ditumbuk)

Cara-cara Masak

  1. Mula-mula, Mommy hiris daging ayam berbentuk dadu, cuci dan toskan airnya.
Kredit gambar: Aisyah Mohd Nor

2. Kemudian Mommy masukkan daging ayam ke dalam bekas gaulkan dengan madu sampai sekata. Seterusnya Mommy tuang bahan kisar dan bahan sangai dan perasakan dengan gula dan garam.

Kredit gambar: Aisyah Mohd Noor

Mommy gaul hingga sebati. Mommy perap ayam lebih kurang 3 jam di dalam freezer. Lagi lama Mommy perap lagi sedap.

3. Selepas itu Mommy cucuk pada lidi. Mommy picit-picit daging ayam sedikit menggunakan jari telunjuk dan ibu jari. Mommy jangan buang baki air perapan kerana ia boleh digunakan untuk membuat kuah satay.

Kredit gambar: Aisyah Mohd Noor

4. Seterusnya Mommy bakar satay dan gunakan minyak renjis untuk disapukan ke seluruh bahagian daging ayam supaya ia lambat kering semasa dibakar dan lebih beraroma.

Mommy balik-balikkan satay 3 ke 4 kali agar masak dengan sekata.

Resepi Satay Ayam Madu 

Kredit gambar: Lazada

Bahan-Bahan:

  • 1 kg dada ayam
  • 3 sudu besar madu / gula merah.
  • lidi satay

Bahan-Bahan Perap:

  • 8 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 cm lengkuas
  • 3 batang serai dihiris- ambil bahagian putih
  • 4 cm halia
  • 3 cm kunyit hidup

Bahan Sangai:

  • 2 sudu besar biji jintan manis (ditumbuk halus)
  • 2 sudu besar biji jintan putih (ditumbuk halus)
  • 250gm kacang tanah (digoreng dan dikisar)
  • 2 sudu besar minyak masak
  • garam dan gula

Cara-cara Masak

  1. Mommy hiris isi ayam menjadi bentuk kiub, basuh dan tos airnya. Kemudian Mommy lumur isi ayam dengan madu.
  2. Mommy gaulkan dengan kacang tanah, halia, lengkuas, serai, bawang, bawang putih, dan kunyit yang telah Mommy kisar.
Kredit gambar: Aisyah Mohd Nor

3. Gaul sebati bersama jintan manis, jintan putih dan ketumbar, dan 2 sudu minyak masak. Perap selama 2 jam atau lebih lama di dalam peti sejuk.

Kredit gambar: Aisyah Mohd Noor

4. Selepas itu Mommy picit-picit sedikit isi ayam tersebut menggunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk meleperkan sedikit isi ayam supaya cepat masak.

Kredit gambar: Aisyah Mohd Nor

5. Balik-balikkan satay beberapa kali untuk dapatkan warna dan ayam masak dengan sempurna.

Resepi Kuah Kacang

Kredit gambar: Aisyah Mohd Noor

Bahan-Bahan

  • 600 gm kacang tanah (digoreng)
  • 5 sudu besar cili giling
  • 1 cawan gula Melaka
  • 1/2 cawan minyak
  • 1/2 cawan santan
  • 1 btg serai diketuk
  • 40 gm asam jawa
  • Garam dan Gula pasir

Bahan-Bahan Kisar

  • 4 biji buah keras
  • 1 sudu kecil jintan putih biji (disangai dan dikisar kering)
  • 1 sudu besar ketumbar biji (disangai dan dikisar kering)
  • 20 gm udang kering (disangai sehingga wangi)
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 btg serai di hiris
  • 3 cm lengkuas
  • 1/2 inci belacan

Cara Memasak

  1. Mommy larutkan 1 cawan gula melaka dengan 500ml air asam jawa.
  2. Kemudian, Mommy masukkan serai ke dalam minyak yang sudah panas, tumis bahan kisar, dan cili giling sampai pecah minyak.
  3. Seterusnya Mommy tuang bancuhan gula dan air asam jawa tadi sedikit demi sedikit, diselang-selikan dengan kacang kisar sampai habis.
  4. Mommy masak di atas api sederhana sehingga kacang masak sempurna, Mommy masukkan santan.
  5. Mommy masak lagi sehingga minyak pecah minyak. Jika kuah terlampau pekat, tambahkan baki air perapan.
  6. Akhir sekali, Mommy perasakan dengan garam dan gula secukupnya.

Tips/Petua

  1. Air perapan jangan dibuang, Mommy boleh simpan untuk masak kuah satay nanti.
  2. Oleh kerana isi ayam cepat kering semasa proses membakar, Mommy sapu pada beberapa batang serai yang telah diketuk pangkalnya dan diikat.
  3. Untuk minyak sapuan Mommy boleh gunakan sebiji buah keras yang ditumbuk halus, satu sudu besar gula, satu sudu besar air dan satu sudu besar minyak masak. Sebatikan dalam bekas untuk disapu pada daging satay.

Selain lebih puas untuk dinikmati kerana air tangan sendiri, Mommy juga dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan apabila dapat membakarnya satay ini bersama-sama. Tentunya menyeronokkan.

Resepi Oleh: Muhammad Roslan