Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Soto Ayam Super Sedap Dengan Gabungan Rasa Yang Lengkap!

resepi soto ayam

Kredit gambar www.listikel.com

Tak tahu nak masak apa jika kawan atau saudara berkunjung ke rumah? Jom tukar selera dengan menyediakan resepi soto ayam ini untuk mereka. Soto ayam adalah sejenis sup ayam berempah yang dimakan dengan nasi impit, bihun dan mee.

Kebiasaannya soto ayam ini akan lengkap sempurna kalau dimakan bersama begedil kentang dan sambal kicap, ditambah pula dengan kacang, tauge mentah, suhun goreng, daun sup dan bawang goreng memang sangat lazat.

Soto ayam makanan khas masyarakat jawa, hidangan ini bukan sahaja popular di Indonesia, tetapi juga di Malaysia dan Singapura. Malah, soto ayam merupakan antara menu pilihan istimewa ketika hari perayaan dan jamuan di majlis keraian.

Soto ayam boleh dimakan bila-bila masa baik sarapan pagi, makan tengahari, ketika minum petang atau makan malam. Dapat hirup kuah soto panas-panas memang sedap dan nikmat, apatah lagi kalau dinikmati ketika cuaca hujan sesuai untuk menghangatkan badan.

Ikuti perkongsian resepi di bawah ini untuk mengetahui cara penyediaannya.

Resepi Soto Ayam

Highlighted


Bahan-bahan

Bahan untuk rempah tumis kuah soto:

  • 3 biji bunga lawang
  • 2 batang kayu manis
  • 4 kuntum cengkih
  • 6 biji buah pelaga
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk lada putih atau lada sulah

Bahan kisar halus:

  • 5 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 1 inci halia
  • 1 ketul kunyit hidup

Bahan kuah:

  • 1/2 senduk minyak masak
  • 1 ekor ayam
  • 1 mangkuk santan pekat
  • 1 jug air

Bahan Iringan:

  • 4 bungkus nasi impit, rebus sehingga masak dan potong dadu besar
  • 500 gram taugeh
  • bawang goreng
  • suhun, goreng hingga garing
  • isi ayam goreng yang dicarik
  • daun sup (dihiris kecil)
  • daun bawang (dihiris kecil)
  • cili merah, (dihiris nipis)
  • kacang tanah (digoreng)
  • begedil

Bahan untuk kuah kicap cili:

  • 1 mangkuk kecil kicap manis
  • 10-15 biji cili padi
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 biji limau kasturi

Cara-cara:

#1. Mula-mula Mommy panaskan minyak masak di dalam kuali, masukkan bahan tumis dan kacau sehingga naik bau seterusnya tuang bahan kisar.

Kredit gambar: Facebook@MAHN

Mommy masak sehingga rempah garing.

#2. Kemudian Mommy masukkan ayam dan masak lebih kurang dua minit.

Kredit gambar: Facebook@MAHN

Seterusnya tuangkan air, kiub ayam dan rebus sup sehingga mendidih.

#3. Selepas itu Mommy masukkan pula santan pekat dan masak sehingga ayam empuk.

Kredit gambar: Facebook@MAHN

Masukkan garam dan gula mengikut citarasa Mommy.

#4. Mommy angkat ketulan ayam dan goreng sampai luarnya sedikit garing. Kemudian Mommy carik-carikkan isi ayam tadi.

Kredit gambar: Facebook@MAHN

Untuk menikmatinya Mommy masukkan nasi impit, isi ayam, taugeh, daun sup, cili merah, begedil, bawang goreng, suhun goreng dan kacang tanah. Kemudian Mommy tuang kuah secukupnya.

Cara Membuat Sambal Cili Kicap:

#1. Mommy kisar cili dan bawang putih yang telah digoreng sehingga halus.

Kredit gambar: Facebook@MAHN

Kemudian, Mommy tuang ke dalam mangkuk dan perahkan jus limau kasturi, gaul sehingga sebati untuk membangkitkan rasa.

Tips/Petua Menyediakan Resepi Soto Ayam

  • Untuk rasa yang lebih sedap dan menambah selera para tetamu, Mommy boleh sediakan bergedil dan semestinya sambal kicap.

Selamat menjamu selera!


Dapatkan pelbagai resepi menarik DI SINI.