Seni masakan adalah sesuatu yang digemari ramai orang. Berlainan dengan seni ‘baking‘ di mana bereksperimen adalah lebih sukar kerana memerlukan bahan-bahan dan sukatan terperinci, teknik memasak adalah lebih bebas. Tersilap langkah sedikit, Mommy masih lagi boleh perbetulkan atau improvise.
Tidak hairan jugalah jika pelbagai jenis hidangan sering berkembang dan resepi baru sesuatu hidangan sering dikeluarkan. Kami tidak tahu dari mana asalnya resepi sotong sumbat yang pertama sekali, tapi pelbagai variasi telah muncul sejak hidangan ini diperkenalkan pada zaman dahulu.
Kali ini kami ingin berkongsi resepi sotong sumbat yang senang sangat untuk dimasak. Resepi ini hanya memerlukan sedikit sahaja bahan-bahan yang sudah tentu ada di dapur Mommy. Antara bahan-bahan tersebut selain sotong ialah telur, bawang, dan mayonis.
Resepi Sotong Sumbat
Bahan-Bahan:
- 20 ekor sotong (saiz sederhana)
- 3 biji telur
- 1/3 batang lobak merah dicincang halus
- 1 biji bawang besar dicincang halus
- 2 ulas bawang putihg dicincang halus
- sedikit isi udang dicincang halus
- sedikit daun sup dicincang halus
- sedikit daun bawang dicincang halus
- 1/2 biji cili merah dicincang halus
- 1 sudu besar mayonis
- 1/4 sudu teh garam
- 1/4 sudu teh lada sulah
- 1 sudu besar minyak masak
Bahan-Bahan Sos/Sambal:
- 10 sudu besar cili kisar/cili boh
- 3 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar sos tiram
- sedikit air asam
- 1 biji bawang besar (dipotong bulat-bulat)
- 1/4 sudu teh garam
- 1/4 sudu teh gula
- 1/4 sudu teh lada sulah
- 2 sudu besar minyak masak
Cara-Cara Membuat Sotong Sumbat
1. Campurkan semua bahan-bahan inti dan goreng sehingga telur hancur. Ketepikan.
2. Bersihkan dan potong kepala sotong.
3. Sediakan bahan-bahan untuk membuat sos/sambal dan panaskan minyak.
4. Sumbat inti telur ke dalam sotong yang telah dipotong. Tutup semula dengan kepala sotong dan cucuk dengan lidi pendek atau pencungkil gigi bersih. Mommy boleh tambah apa-apa bahan lain yang digemari seperti stik ketam atau apa-apa sayuran lain.
5. Tumis cili kisar/cili boh sehingga garing dan pecah minyak.
6. Masukkan sos cili, sos tiram, gula, garam, dan asam jawa secukup rasa.
7. Masukkan sotong yang telah disumbat dan masak sehingga sambal mendidih.
8. Masukkan bawang besar yang telah dipotong bulat-bulat.
Cuba Tips Ini
Untuk memastikan Mommy berjaya memasak resepi sotong sumbat ini dengan mudah, Mommy boleh cuba tips-tips berikut:
- Pastikan sotong betul-betul kering sebelum menggoreng untuk mengelakkan sambal daripada meletup atau memercik.
- Mommy boleh bereksperimen dengan bahan-bahan lain untuk dibuat sebagai inti selain apa yang disebutkan di atas tadi.
- Gantikan sedikit cili boh dengan pes tomato jika tidak mahu terlalu pedas.
Selamat mencuba!
Sumber resepi: Rohiza Abdullah Sani