Telur masin sering digunakan dalam masakan sejak zaman nenek moyang kita. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak resepi baru yang telah diolah menggunakan telur masin. Salah satunya ialah resepi sotong telur masin.
Bagi yang tak pernah rasa hidangan telur masin selain daripada telur masin yang selalu dimakan secara langsung dengan juadah lain, tentu anda curious dan teruja dengan rasa kombinasi telur masin dan sotong ini.
Cara untuk membuatnya pun mudah, hanya menggunakan bahan-bahan asas yang selalunya sudah ada di dapur.
Jom tengok cara-cara untuk memasak resepi sotong telur masin yang mudah dan menyelerakan ini:
Bahan-bahan:
- 4 ekor sotong (dibersihkan dan dipotong bulat)
- 5 sudu tepung gandum
- 5 sudu tepung jagung
- 1 sudu kecil lada putih
- 1 biji telur
Bahan-bahan Sos:
- 4 biji telur masin rebus (dikupas dan diambil bahagian kuning)
- 3 ulas bawang putihg (dicincang halus)
- 3 sudu mentega / marjerin
- 3 tangkai cili padi
- 3 tangkai daun kari
- garam
- gula
Cara-cara Memasak Resepi Sotong Telur Masin
1. Sediakan adunan basah dan adunan kering: telur, garam, serbuk perasa, dan lada putih; tepung gandum dan tepung jagung.
2. Celupkan sotong ke dalam adunan telur dan terus bedakkan ia di dalam adunan tepung.
3. Panaskan minyak masak dan goreng sotong tadi sehingga warnanya berubah keperang-perangan. Anggaran masanya adalah dalam 3 hingga 4 minit.
4. Kemudian, angkat sotong dan toskan minyaknya.
5. Untuk sos telur masin, lenyekkan kuning telur masin dengan sedikit air masak dan ketepikan.
6. Dalam pan atau kuali, panaskan mentega atau marjerin dan tumis bawang putih, cili dan daun kari sehingga mengeluarkan bau wangi.
7. Masukkan adunan telur masin tadi dan kacau rata.
8. Akhir sekali, masukkan sotong yang telah digoreng tadi dan gaul rata dengan sosnya, menyelaputi kesemua bahagian sotong.
9. Tutup api dan hidangkan.
Tips-tips Lain
- Jangan goreng sotong terlalu lama kerana boleh membuatkan tekstur sotong lebih liat.
- Untuk kuah yang lebih cair, Mommy boleh masukkan air lebih sedikit ataupun, susu segar untuk sos yang lebih berlemak.
- Untuk mengelakkan sotong daripada meletup-letup semasa digoreng, letakkan sedikit cuka masakan selepas dibasuh untuk membantu menyerap lebihan air sotong.
Cubalah resepi yang mudah ini dan lihat bagaimana ia akan menjadi salah satu menu kegemaran anak-anak Mommy.
Psst. Dekat rumah saya sekarang sampai jadi menu wajib lah setiap bulan!
Sumber resepi: Resepi Bonda/Limau Nipis