Ibu yang baru lepas bersalin memerlukan tenaga yang mencukupi bukan sahaja untuk menjaga bayi yang baru lahir, tetapi juga untuk memulihkan badan yang telah penat melalui proses bersalin.
Selain daripada makanan utama, Ibu digalakkan untuk memakan snek berkhasiat untuk menambah tenaga sepanjang hari.
Jenis-jenis snek untuk ibu berpantang perlulah berkhasiat dan tidak mempunyai kandungan gula dan garam yang tinggi. Salah satu kategori snek yang digemari ialah roti untuk ibu berpantang.
Terdapat pelbagai jenis roti yang sesuai dimakan ketika Ibu sedang berpantang untuk menambah tenaga dan juga sebagai pemanis mulut, lagi-lagi kalau Ibu memang teringin sangat makan roti! Iyelah, roti memang sudah menjadi makanan ruji untuk ramai orang, kan?
Roti memang popular sebagai sarapan pagi yang mengeyangkan. Sama ada dalam bentuk sandwich, di bakar, atau disapu mentega, roti rasa terbaik dalam semua bentuk.
Menurut Pakar Perunding Pemakanan, Dr Rupali Datta,
“Roti membawa nilai pemakanan bijirin yang terdapat di dalamnya. Sebagai contoh, roti oat akan mempunyai kebaikan oat di dalamnya yang merangkumi serat, antioksidan, fosforus berserta bijirin penuh yang terdapat dalam roti.”
“Karbohidrat kompleks yang ditemui dalam roti pula merupakan sumber tenaga yang bagus. Kita disarankan untuk memakan roti yang lebih berkualiti dan diperbuat bukan sahaja menggunakan bijirin yang ditapis tetapi juga beberapa jenis bijirin penuh.”
Jom tengok beberapa jenis roti yang Ibu boleh makan semasa mengamati tempoh berpantang.
5 Jenis Roti Untuk Ibu Berpantang Yang Boleh Dimakan
1. Roti Gandum Penuh
Ibu selalu sering dengar tentang roti gandum penuh kan? Apa sebenarnya gandum penuh tu? Kalau Ibu nak tahu, roti gandum penuh diperbuat daripada semua komponen bijirin, iaitu dedak, kuman, dan endosperma, manakala roti putih diperbuat daripada tepung yang ditapis dan hanya mengekalkan endosperma.
Sebab itu dikatakan roti gandum penuh adalah lebih berkhasiat daripada roti putih yang telah diproses. Roti gandum penuh pun sesuai untuk digunakan untuk membuat sandwich seperti menggunakan roti putih. Sama sedapnya tetapi lebih berkhasiat!
Roti gandum penuh juga mengandungi lebih banyak serat, mempunyai nilai pemakanan yang lebih tinggi, dan mungkin mempunyai lebih sedikit kalori.
2. Roti ‘Sourdough‘
Sourdough adalah sejenis roti yang ditapai secara perlahan. Ia adalah unik kerana ia tidak memerlukan yis komersial untuk menaikkan dohnya. Sebaliknya, ia dibuat dengan kultur hidup yang ditapai yang bertindak sebagai agen penaik semula jadi.
Roti sourdough bukan sahaja sedap, malah mengandungi khasiat yang cukup banyak. Asid semulajadi dan penapaian yang lama membantu memecahkan gluten, menjadikannya lebih mudah untuk dihadam dan mudah diserap oleh badan.
Berbanding dengan banyak jenis roti lain, roti sourdough ditapai dengan cara yang menghilangkan kanji buruk di dalamnya. Ini bermakna ia tidak akan menyebabkan gula darah Ibu meningkat secara drastik apabila memakannya.
Sourdough terkenal dengan rasa masamnya, tekstur kenyal dan keraknya yang rangup. Sedap dimakan dengan ikan salmon yang boleh dimakan sewaktu berpantang sebagai sandwich!
3. Roti Oat
Roti yang diperbuat daripada oat dan dilengkapi dengan madu dianggap sebagai jenis roti yang paling berkhasiat secara keseluruhannya. Ia membekalkan kebaikan vitamin B dan fosforus.
Oat juga mengandungi kandungan serat yang tinggi yang boleh membuatkan Ibu berasa kenyang lebih lama dan menghalang daripada memakan berlebihan. Kalau Ibu menyusu badan, memang senang untuk berasa lapar, jadi roti oat dapat membantu!
Selain itu, kandungan serat dalam oat dapat membantu mengelakkan masalah perut seperti sembelit dan kembung perut. Jika Ibu ingin mengelakkan kebarangkalian untuk senak, pilihlah roti oat yang sangat berkhasiat ini.
4. Roti Rye
Roti ‘rye‘ ini diperbuat menggunakan tepung rye yang dikatakan mempunyai banyak khasiat dan manfaat kesihatan. Ia adalah salah satu daripada tiga bijirin gluten selain daripada barli dan gandum.
Roti rye mengandungi protein yang dipanggil secalin yang membantu dalam mengurangkan nafsu makan dan membuatkan Ibu berasa kenyang untuk tempoh yang lebih lama. Roti rye dikatakan mempunyai indeks glisemik yang rendah, tidak seperti roti lain, yang boleh dianggap baik dan selamat untuk pesakit kencing manis.
Selain itu, ia mengandungi serat yang boleh mengelakkan masalah perut. Roti rye sedap dimakan dengan pelbagai jenis keju sejuk atau dimakan begitu sahaja.
5. Roti Pita
Roti pita amat popular dan sering dipesan di restoran-restoran Asia Selatan dan Mediterania. Roti yang lembap, ringan dan leper ini diperbuat daripada tepung gandum yang ditapis dan juga gandum penuh.
Selain daripada bersifat rendah kalori, roti pita juga merupakan sumber protein dan karbohidrat yang kaya dan mengandungi jumlah vitamin B, selenium dan mangan yang mencukupi. Sumber-sumber nutrisi ini berfungsi bersama sebagai antioksidan yang kuat.
Rasa roti pita paling sedap apabila digandingkan dengan makanan lain seperti hummus.
Kalau roti menjadi pilihan utama snek Ibu sewaktu berpantang, jika boleh, pastikan Ibu memilih roti yang diperbuat daripada tepung gandum penuh.
Kalau tidak, pastikan pengambilan roti yang telah diproses tidak melebihi hidangan yang sepatutnya kerana kadang-kala roti yang diproses boleh membuatkan Ibu berasa kenyang buat sementara waktu sahaja.
Yang pasti, pemakanan yang seimbang adalah penting untuk kesihatan dan pemulihan badan wanita selepas bersalin, jadi selain roti, Ibu perlu juga mendapat sumber nutrisi seperti protein dari jenis-jenis makanan lain.
Semoga bermanfaat.