Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Persoalan Tentang Ruam Panas Pada Bayi Kini Terjawab

ruam panas bayi

Hati mama mana yang tak gusar bila bayi yang sentiasa ceria resah-gelisah dan menangis tak henti tidak selesa.

Bila tengok ada bintik-bintik merah seperti digigit nyamuk dalam kuantiti yang banyak, bertambah risaulah mama dan papa dibuatnya.

Tenang mama. Mungkin ia tidak seteruk yang disangka. Mungkin si manja hanya mendapat penyakit ruam panas.

Apakah Itu Ruam Panas?

Ruam panas adalah bintik-bintik kecil kemerahan, terang yang timbul pada kulit bayi terutamanya di sekitar dahi, leher, bawah lengan, tepi lampin atau seluar dalam.

Highlighted

Kredit: kelabmama.com.my

Ia bukanlah suatu penyakit yang serius, tetapi ianya harus diberi perhatian bagi mengelakkan gejala lain pada kulit bayi.

Ruam panas kebiasaannya terjadi kerana faktor cuaca yang panas dan lembap seperti di Malaysia.

Kulit bayi yang halus dan sensitif tentunya mudah terdedah kepada gejala ruam panas ini.

Kebiasaannya ruam panas ini terjadi dalam sela masa yang singkat – dua ke tiga hari dan akan hilang dengan sendirinya.

Namun begitu, ia juga berpotensi untuk menjangkiti bayi anda kembali. 

Jenis-jenis Ruam Panas

Berdasarkan portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, berikut merupakan jenis-jenis ruam panas yang sering berlaku pada kulit bayi: 

  1. Jernih (miliaria kristalina)
  2. Putih/kuning (miliaria pustulosa)
  3. Merah (miliaria rubra)
  4. Dalam (miliaria profunda)

Apakah yang Menyebabkan Ruam Panas Berlaku Pada Bayi?

Kelenjar peluh bayi dan kanak-kanak belum matang sepenuhnya.

  • Peluh

Perpeluhan yang terjadi akibat cuaca panas menyebabkan pori kulit tersumbat, dan peluh tidak akan dapat keluar sepenuhnya ke permukaan kulit, dan menimbulkan ruam panas pada permukaan kulit.

Pemakaian baju bayi yang tebal atau ketat juga boleh menyebabkan takungan peluh yang berlebihan pada kulit bayi, seterusnya menyebabkan iritasi kulit lebih teruk.

  • Penyusuan

Penyusuan bayi yang kurang sempurna, yang menyebabkan lelehan susu keluar dari mulut bayi mengalir ke bahagian bawah dagu dan leher juga boleh menyebabkan timbulnya ruam panas akibat susu yang bertakung pada permukaan kulit, jika dibiarkan lembap dan tidak dibersihkan.

Tanda-tanda Bayi Mengalami Ruam Panas

Bayi yang mengalami ruam biasanya tidak menunjukkan simptom atau tanda-tanda yang ketara.

Perubahan yang paling terserlah, adalah timbulnya bintik-bintik ruam kemerahan, saiznya amat kecil dan memenuhi sekitar kawasa kulit seperti di bawah leher, belakang badan, dahi atau celahan paha.

Kredit: Facebook @klinikavicennajitra

Ada kalanya ibu-ibu muda agak keliru dengan ruam panas dan alergik atau alahan yang timbul pada permukaan kulit.

Alahan biasanya menunjukkan tanda kemerahan pada kulit dengan tompokan yang agak besar dan agak timbul pada permukaan kulit.

Punca alahan juga berbeza dari ruam – kebanyakannya berpunca dari pemakanan atau pengambilan ubat-ubatan yang menimbulkan reaksi alahan pada system darah bayi yang dapat dikesan melalui tompokan merah pada kulit.

Berbeza dengan ruam panas, apabila menyentuh  permukaan kulit bayi, dapat dirasakan ianya agak ‘menggerutu’ dengan saiz yang sangat kecil.

Bayi biasanya akan merasa tidak selesa dengan keadaan ruam panas yang timbul pada kulitnya.

Kadangkala bayi akan merengek dan kita dapat merasakan kawasan yang ditumbuhi ruam itu lembap kerana terjadinya perpeluhan pada kulit bayi.

Perlu juga diperiksa suhu badan bayi, untuk memastikan bayi tidak demam.

Kerana demam biasanya adalah berkemungkinan simptom penyakit yang lain kepada bayi.

Bagaimanakah Cara Mengatasi Ruam Panas?

Beberapa cara berikut boleh mengurangkan terjadinya ruam pada bayi:

  • Pakaian dan fabrik

Pilihlah pakaian yang sesuai mengikut kesesuaian cuaca pada sesuatu masa tertentu.

Pakaian daripada fabrik kapas yang menyerap peluh adalah satu pilihan yang baik bagi mengelakkan badan bayi menyerap haba yang banyak.

Selain pakaian, kelengkapan bayi  juga perlu juga dipilih dari fabrik yang sesuai, juga bagi mengelakkan perangkap haba yang menyebabkan bayi berasa panas seterusnya menyebabkan perpeluhan yang berlebihan.

Antaranya adalah selimut, sarung bantal dan cadar untuk tilam bayi.

Kredit: Baby Aima Comel
  • Keringkan kulit bayi dengan sempurna

Pastikan kulit bayi benar-benar kering selepas dimandikan atau menukar lampin, bagi mengelakkan kelembapan air yang tersimpan pada bahagian tertentu seperti celahan paha dan pelipat lengan yang menjadi penyebab ruam.

  • Penggunaan bedak atau losyen

Petua orang-orang lama, bedak sejuk biasanya akan menolong mengurangkan ruam yang timbul pada kulit bayi.

Selain mengeringkan kawasan ruam dari kelembapan peluh, sifat bedak sejuk itu menyejukkan kulit bayi seterusnya mengelakkan gejala ruam dari berterusan.

Dalam perubatan moden, losyen ‘calamine’ biasanya dibekalkan sekiranya bayi dibawa berjumpa doktor.

Losyen ini juga berfungsi seperti bedak sejuk untuk mengering dan menyejukkan – dimana bahannya adalah campuran air dan sebatian ‘calamine’.

Cara pemakaiannya juga sama seperti bedak sejuk – disapu pada bahagian ruam pada permukaan kulit bayi.

  • Pengudaraan yang baik

Ruangan penjagaan dan persekitaran bayi perlulah mempunyai pengudaraan yang baik.

Pastikan ia tidak tertutup hingga boleh memerangkap haba yang menjadi penyebab kepada kepanasan.

Tidak semestinya perlu memasang pendingin hawa, memadai dengan  kipas dengan kelajuan bersesuaian yang mampu memastikan peredaran udara persekitaran adalah baik.

Bagaimana saya harus merawat ruam panas bayi saya?

Walaupun ruam panas pada bayi bukanlah satu penyakit yang serius dan tidak memerlukan rawatan yang khusus, para ibu haruslah perlu peka akan keadaan bayi yang mengalami ruam.

Kredit: media.xtra.com.my

Sekiranya keadaan ruam berlarutan dan tidak hilang selepas tiga hingga empat hari, atau ruam menjadi lebih teruk, seperti ruam berair atau mempunyai nanah, bayi perlulah dibawa berjumpa doktor dengan segera bagi mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

Ia juga untuk mengenal pasti apakah ianya adalah ruam panas yang biasa, atau mungkin menunjukkan tanda-tanda ekzema, iaitu salah satu alahan kulit yang agak serius pada bayi yang mengidapnya.

Juga perlu diperhatikan adakah ruam panas pada bayi menyebabkan gejala demam pada bayi. Atau juga bayi kurang menyusu akibat dari ketidakselesaan ruam yang terjadi.

Demam biasanya menunjukkan badan bayi sedang melawan penyakit, dan perlulah dibawa berjumpa doktor bagi mengenal pasti punca serta rawatan jika perlu.

Ruam panas bayi adalah suatu perkara yang biasa terjadi pada bayi.

Kredit: lelakisihat.com

Namun begitu ibu-ibu haruslah peka dan mengambil tahu bagi mengelakkan terjadinya ruam panas yang membuatkan bayi tidak selesa.

Para ibu juga perlu tahu membezakan jenis-jenis ruam seperti ruam panas, alahan dan ekzema kerana ketiga-tiga simptom dan jenis rawatan adalah berbeza sama sekali.

Ruam panas yang terjadi pada kulit bayi biasanya bersifat sementara dan tidak meninggalkan kesan sampingan yang serius.

Semakin matang kulit bayi, dan pori kulit mampu mengalirkan peluh dengan sempurna, ruam panas ini akan hilang dengan sendirinya.