Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Salah Ke Untuk Ibu Menyusu Anak Di Khalayak Umum?

Terkejut juga baru ini lepas dapat tahu Emma Maembong kena bash sampaikan dia tutup ruangan komen di Instagram.

Selebriti cantik yang baru sahaja menimang cahaya mata pertama telah memuat naik satu gambar dia sedang berjalan dengan breast pump. 

Posting itu menerima banyak cemuhan netizen. Perasaan saya bercampur baur lepas dapat tahu tentang berita ini.

Saya faham setiap ibu di luar sana pasti ingin berikan yang terbaik untuk si manja mereka. 

Namun, saya juga faham kenapa orang ramai mengutuk Emma di Instagramnya sehinggakan dia tutup ruang komennya. 

Highlighted

Kredit: Instagram Emma Maembong

Ramai sedia maklum bahawa menyusu anak mempunyai pelbagai kebaikan; baik kepada anak, malah juga kepada ibu sendiri.

Terdapat banyak nutrisi yang terkandung dalam susu badan ibu yang diperlukan oleh si kecil untuk membesar dengan jayanya. 

Kita perlu menyusu anak sekurang-kurangnya selama dua tahun, namun ianya tidak menjadi satu kewajipan. Saya pun menyusu anak setahun sahaja. 

Bukan senang untuk konsisten menyusu. Tambahan pula kalau kita seorang ibu yang berkerjaya.

Mungkin bagi budaya di Malaysia, menyusu di tempat awam merupakan satu perkara ganjil walaupun kita sudah berada di tahun 2021.

Punca Ibu-ibu Memilih Untuk Tidak Menyusu Di Tempat Awam

Bila saya fikirkan balik, Emma hanya post gambar dia dengan breast pump; tidak dinafikan, agak jelas Emma dengan portable pump dan tiub.

Hanya kerana sekeping gambar, pelbagai komen dan kecaman diterima Emma. Tetapi, ada juga yang menyokong dan memahami situasi Emma.

Bukannya tiada pendekatan atau kesedaran tentang menyusu di tempat awam.

Pelbagai organisasi kerajaan mahupun bukan kerajaan telah berkempen. Tetapi penerimaan orang kita masih sama, iaitu masih janggal bagi sesetengah pihak. 

Ada juga yang tidak boleh terima langsung. Bagi mereka, menyusu dikhalayak umum ini merupakan satu perkara yang tidak bertamadun. 

Masing-masing ada pandangan dan sebab tersendiri, bukan? Ini antara sebab kenapa ibu tidak menyusu di tempat umum:

#1 Bagi mereka payudara adalah satu objek seksual

Secara umumnya, budaya kita di Malaysia menganggap payudara merupakan satu alat sulit wanita. 

Sebab itulah ramai yang rasa tidak selesa bila mana ada ibu menyusu anak di khalayak awam; katanya “Haa…nak menayang aset lah tu,”. 

Ada masa, kita sudah habis menyembunyikan diri untuk menyusu anak, tetapi masih ada yang memandang serong.

Sampaikan ada yang dimalukan hanya kerana nak beri anak susu.

#2 Rasa segan dan takut dikecam

Mungkin kerana segan, sebab itulah ramai ibu memilih untuk tidak menyusu anak diluar.

Bukan apa, mesti ada yang tengok lain macam, seolah-olah berdosa pulak menyusu anak ini. 

Ada juga kawan-kawan saya yang berhenti menyusu anak disebabkan ‘hints’ daripada majikan dan rakan sekerja.

Mereka rasa diri mereka seperti dikecam apabila mereka minta diri untuk mengepam. 

#3 Kemudahan yang tidak lengkap dan sesuai

Banyak pusat beli belah dan tempat awam yang menyediakan kemudahan untuk ibu menyusu. Tetapi kebanyakannya masih tidak lengkap sepenuhnya. 

Ada yang terletak sebelah tandas, ada juga yang sempit. Cuba kita bayangkan kalau kita nak makan, kita nak ke makan dekat dengan tandas, dekat tempat yang sempit? Mestilah tak bukan? 

Memang tak peliklah apabila kita tengok data dari Kementerian Kesihatan yang mana sebanyak 44.7% ibu yang bekerja memilih untuk berhenti menyusu anak kerana sukar untuk mengepam dan kemudahan juga tidak tersedia. 

Tapi, kita sebagai ibu, kita kena tegas dan kuat dengan pendirian kerana kita ingin berikan yang terbaik untuk anak-anak. 

Masyarakat kena belajar menerima dan sedar yang menyusu anak bukanlah satu perkara ganjil lagi. 

Saya yakin semua orang tahu yang bayi cepat dan kerap lapar. Jadi kita belajar menerima kerana hal ini bukanlah satu perkara baru. 

Kemudahan awam bagi ibu untuk menyusu juga perlu ditambah baik bagi memudahkan setiap ibu di luar sana. 

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, bukan? Demi anak, kita kena cari jalan.

Bukan apa, kalau kita tak menyusu atau kurang mengepam, kemungkinan besar kuantiti susu yang dihasilkan boleh berkurangan. 

Saya berharap agar kita semua bersikap lebih terbuka. Elakkan menyindir, memandang serong atau mengecam ibu yang mahu menyusu anak.

Artikel ini telah diolah daripada versi Bahasa Inggeris di Motherhood Story.