Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Fahami Punca dan Petua Untuk Menangani Sawan Tangis Si Manja

Risaunya hati Mommy bila tengok si comel menangis je. Dah berjam dah, sampai merah habis muka. Macam-macam dah cuba buat, tapi tak henti juga.

Buat Mommy yang pernah mengalami pengalaman sebegini, sudah tentunya macam-macam yang terfikir di fikiran. Antaranya, si comel terkena sawan tangis ke?

Apa Itu Sawan Tangis

Berdasarkan perkongsian daripada Harian Metro, sawan tangis atau dipanggil juga sebagai kolik adalah istilah yang digunakan untuk menjelaskan keadaan bayi yang menangis secara berpanjangan iaitu melebihi 3 jam dalam sehari pada angggaran sekurang-kurangnya 3 hari dalam seminggu yang berterusan selama 3 minggu ataupun lebih.

Kekerapan ini adalah di luar daripada kebiasaan dan jika si comel Mommy menangis pada kadar kekerapan seperti ini, mungkin si comel terkena sawan tangis.

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Ia boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja tetapi dikatakan lebih kerap berlaku pada waktu petang dan malam. Untuk anggaran usia bayi pula, biasanya ia terjadi kepada bayi yang berusia 2 minggu hingga 3 atau 4 bulan dan ada juga yang sehingga 6 bulan.

Punca Sawan Tangis Terjadi

Secara umumnya, punca kepada terjadinya sawan tangis masih tidak dapat dikenal pasti dengan tepat. Tetapi menurut pandangan beberapa pihak, sawan tangis boleh terjadi kerana faktor-faktor yang berikut:

  • Masalah susu tidak hadam
  • Perut dan badan bayi dimasuki angin
  • Usus bayi terlalu sensitif kepada protein dalam susu formula atau susu badan ibu
  • Tantrum bayi
  • Badan bayi tidak toleransi kepada laktosa
  • Kurang interaksi antara Mommy dan si comel
  • Gangguan makhluk halus
Kredit gambar: istockphoto

5 Petua Untuk Hilangkan Sawan Tangis

Bila dah terjadi macam ni, Mommy pun stress kan? Macam mana ya untuk hentikan tangisan si comel ni?

1. Bedung bayi dengan kemas

Memberi sensasi seperti dalam rahim ibu, membedung badan si comel akan membuatkan ia merasa selamat dan tenang.

Pastikan Mommy bedung dengan kaedah yang betul dan kemas ya? Penggunaan kain bedung pun mestilah dititikberatkan iaitu yang tidak panas dan selesa kainnya.

2. Mandikan bayi dan urut badannya

Bila bayi dimandikan dengan air suam dan diurut dengan urutan yang lembut pada seluruh badan, bayi akan terasa lebih tenang dan dapat membantu meredakan tangisannya.

3. Alunkan zikir dan bacaan Al-Quran

Dalam Islam, sawan tangis dipercayai terjadi kerana gangguan makhluk halus salah satu puncanya. Untuk mengatasi masalah ini, bolehlah alunkan zikir dan bacaan surah Al-Quran berdekatan dengan si comel.

Jika ada sebarang makhluk yang mengganggu, moga dengan berkat bacaan zikir dan surah Al-Quran ini akan melindungi si comel.

Lebih baik juga jika Mommy atau Daddy turut baca bersama. Suara Mommy dan Dadddynya pasti akan menenangkan si comel serba sedikit.

4. Sapukan balm atau minyak bayi/aromaterapi

Banyak je sekarang balm atau minyak bayi yang elok untuk melegakan angin dan ketidakselesaan pada badan bayi.

Pastikan ia sesuai untuk bayi dan sapukan pada keseluruhan badan bayi, terutamanya di bahagian perut, dada dan belakang badannya.

Bayi akan merasa lebih selesa nanti.

Kredit gambar: istockphoto

5. Dedahkan bayi pada suasana lapang

Dalam perkongsian Tasneem Naturel, Mommy disarankan juga untuk ubah suasana bayi. Bawa bayi ke tempat yang lebih lapang supaya ia membantu memperelokkan pernafasan bayi dan bayi akan merasa lebih nyaman.

Tangani Masalah Sawan Tangis, Jangan Dibiarkan

Bila si comel asyik menangis je, bawalah berjumpa dengan doktor dan dapatkan bantuan yang sewajarnya. Jangan dibiarkan si comel menangis je tanpa henti ya?

Ini mungkin akan menjurus kepada masalah lain pula. Yang penting, Mommy janganlah stress dan dapatkan bantuan daripada mereka di sekeliling untuk bersama-sama menanganinya. Jom baca cara sendawakan bayi selepas minum susu!