Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Sayur Yang Sangat Disyorkan Untuk Ibu Berpantang

sayur untuk ibu berpantang

Sumber PaMa

Terdapat beberapa pilihan sayur untuk ibu berpantang yang sangat bagus untuk membekalkan nutrisi penting kepada tubuh. Walaupun, pemilihan sayur bagi ibu-ibu berpantang sebenarnya agak rumit kerana risau sekiranya mendatangkan kesan yang tidak baik kepada tubuh, tetapi jangan risau! Sayur-sayur yang kami cadangkan ini sangat bagus dan mempunyai banyak khasiat.

Umum mengetahui, sepanjang tempoh pantang, ibu berpantang digalakkan mengambil makanan yang seimbang terutamanya sayur dan buah-buahan. Bagi pilihan sayur untuk ibu berpantang pula, sebenarnya terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran yang mampu membantu Mommy pulih dan kekal sihat selepas bersalin.

Melalui perkongsian ini, kami akan senaraikan beberapa jenis sayuran beserta khasiatnya untuk rujukan Mommy.

Jenis-Jenis Sayur Untuk Ibu Berpantang Bersama Khasiatnya

Berikut adalah beberapa jenis sayuran yang boleh diambil sepanjang tempoh Mommy berpantang, antaranya adalah :

#1. Sawi Hijau

Highlighted

Kredit gambar: PasarKeRumah.com

Sawi merupakan sumber zat besi, magnesium, kalsium, zink, kalium, protein dan merupakan serat makanan yang baik untuk sistem penghadaman dan juga meningkatkan kesihatan tubuh.

#2. Lobak Putih

Kredit gambar: INMAS

Lobak putih mampu meningkatkan sistem ketahanan badan, penghasilan susu badan, melegakan sakit perut atau sembelit. Ianya juga mampu mencegah masalah buah pinggang, kencing tak lawas serta mengurangkan gejala demam dan juga selesema.

#3. Lobak Merah

Selain terkenal dengan kebaikan untuk penjagaan mata, lobak merah juga mempunyai khasiat lain iaitu mencegah penyakit kanser, mengelakkan berlakunya kerosakan gigi dan mencantikkan kulit.

#4. Bawang Besar

Kredit gambar: liputan6.com

Bawang besar adalah bahan utama yang selalu digunakan dalam masakan dan mempunyai banyak khasiat. Antara khasiatnya untuk ibu mengandung adalah memperkuatkan sistem kekebalan tubuh, menyihatkan sistem pencernaan, mencegah GDM dan dapat mengawal tekanan darah.

#5. Bawang Putih

Kredit gambar: fajar

Antara kebaikan bawang putih untuk ibu berpantang adalah mengurangkan angin di dalam badan, menambahkan tenaga Mommy, mengawal berat badan, mengurangkan tekanan dan juga mengatasi masalah rambut gugur yang dialami selepas bersalin.

#6. Halia

Kredit gambar: voize

Halia juga sangat baik untuk ibu dalam pantang. Antara khasiat halia adalah membantu menghasilkan bekalan susu ibu dengan lebih sihat dan banyak, membantu proses penyembuhan luka dan mengurangkan angin dalam badan.

#7. Brokoli

Kredit gambar: KlikDokter

Kandungan Lutein dan Vitamin A dalam brokoli sangat bagus untuk kesihatan mata. Bagi ibu yang mengalami masalah sukar membuang air besar, brokoli juga mampu menjaga pencernaan agar ianya boleh berfungsi dengan baik kerana mempunyai kandungan serat yang tinggi.

Brokoli juga mengandungi kalium dan magnesium yang tinggi dan sangat sesuai untuk mengawal tekanan darah ibu sewaktu berada dalam pantang.

#8. Kucai

Kredit gambar: kompas.com

Kucai mampu melegakan sakit perut, melindungi diri daripada penyakit jantung dan strok, dan juga mampu membantu tubuh menentang bakteria yang menyebabkan penyakit dan ianya juga dapat membantu mengawal tekanan darah tinggi dan juga sembelit.

Sangat sesuai dimakan oleh ibu yang bersalin secara pembedahan kerana ia juga dapat melancarkan pengaliran darah dan sekaligu menghindarkan berlakunya pembekuan darah.

#9. Bayam

Kredit gambar: wordpress.com

Bayam merupakan sumber kalsium, Vitamin A, Vitamin E dan juga vitamin c, zat besi, serat dan juga mempunyai betakarotin. Ianya mampu untuk menurunkan tekanan darah, mengatasi masalah anaemia, menguatkan otot dan tulang serta mengurangkan radang.

#10. Kailan

Kredit gambar: Yahoo News

Kailan adalah sayuran berdaun yang sangat popular dari keluarga Cruciferae. Sayuran ini mengandungi vitamin K, vitamin A, vitamin C, mangan dan juga kalsium.

Mempunyai sumber serat yang tinggi dan protein yang baik, kailan dapat mengurangkan risiko kanser, mengurangkan kolesterol, dapat meningkatkan penghasilan susu yang banyak dan sangat baik untuk pertumbuhan sistem saraf.

Selain itu, kailan juga mampu mengekalkan rambut lembap, menyokong sistem imun, membantu penjagaan otak serta dapat mengurangkan tahap keradangan dan glukosa untuk pesakit diabetes.

Sepanjang tempoh berpantang ini, Mommy perlu jaga diri serta pemakanan untuk dapatkan semula kekuatan dan pulih sepenuhnya dari luka bersalin.

Pastikan Mommy mendapat rehat yang cukup, lebihkan pengambilan makanan seperti sayur dan juga buah-buahan dan elakkan membuat sebarang aktiviti-aktiviti yang berat.

Semoga Mommy beroleh manfaat dari perkongsian ini!