Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Senarai Buah-Buahan Yang Digalakkan Untuk Diambil Ketika Berpantang Lepas Bersalin

Amalan berpantang selepas bersalin telah diamalkan sejak turun temurun oleh nenek moyang kita.

Berpantang dikatakan diamalkan untuk mempercepatkan proses pemulihan ibu bersalin dan mengelakkan sebarang penyakit.

Walaupun tiada kajian atau bukti sahih tentang tuntutan ini, masih ramai lagi ibu yang mengamalkan pantang bersalin.

Salah satu aspek berpantang ialah dari jenis buah-buahan yang digalakkan untuk dimakan, dan juga yang dilarang.

Seperti yang kita tahu, buah-buahan memang banyak khasiatnya, lebih-lebih lagi ketika berpantang.

Ia mempunyai zat dan vitamin yang tentu akan memberi ibu tenaga selepas bersalin dan membantu proses pemulihan, tak kira jika ibu bersalin normal atau c-section.

Berikut merupakan senarai buah untuk ibu berpantang yang sangat digalakkan dan juga harus dielakkan:

Buah-Buahan yang Digalakkan Untuk Dimakan Ketika Berpantang

  1. Epal Merah

    Highlighted

    Sumber: Getty Images

    Epal merah sangat kaya dengan serat dan merupakan sumber vitamin C. Tambahan pula, epal merah mengandungi vitamin A, kalium, dan pektin. Pektin adalah prebiotik yang menggalakkan bakteria baik dalam usus ibu. Ini membantu dalam pemulihan dalaman selepas bersalin.

  2. Anggur

    Sumber: Getty Images

    Nutrien dalam anggur dapat membantu memulihkan badan yang melalui perubahan biologi ketika hamil. Anggur mengandungi antioksidan yang meningkatkan sistem imun tubuh, seperti flavonol, tanin, linalool, dan geraniol yang membantu mencegah jangkitan kuman.

  3. Oren

    Sumber: Getty Images

    Mudah dibawa dan berkhasiat, oren adalah buah yang sangat bagus untuk memberi tenaga. Oren dan buah citrus lain adalah makanan penyusuan yang sangat baik kerana ibu menyusu memerlukan lebih banyak vitamin C berbanding ketika hamil.

  4. Blueberry

    Blueberry adalah snek yang sangat mudah dan enak untuk dimakan selepas bersalin. Kaya dengan mineral dan vitamin seperti vitamin K, blueberry memberi ibu karbohidrat yang sihat dan mencukupi untuk mengekalkan tahap tenaga yang tinggi sepanjang hari.

  5. Strawberi

    Sumber: Getty Images

    Strawberi memang menjadi kegemaran ramai ibu kerana rasa masam manisnya. Kaya dengan vitamin C, strawberi dapat menyokong pertumbuhan bayi jika bayi menyusu susu ibu dan secara tidak langsung, dapat meningkatkan penyerapan zat besi.

  6. Kurma

    Kredit: Freepik

    Kurma adalah sejenis buahan kering, bukan mentah, tetapi ia amatlah berkhasiat untuk ibu yang sudah bersalin. Ia mempunyai serat yang tinggi untuk memastikan sistem pencernaan berjalan dengan lancar. Kurma juga merupakan sumber folat, zat besi, dan vitamin K.

  7. Kismis

    Sumber: Getty Images

    Kismis juga merupakan sejenis buahan kering dari buah anggur. Kismis membantu memberi tenaga tambahan memandangkan tubuh ibu melalui banyak perubahan ketika hamil dan selepas beranak. Kismis juga membantu menguatkan sistem imun ibu bersalin.

  8. Kurma merah cina (Jujube)

    Sumber: Getty Images

    Kurma merah atau dalam nama lainnya red dates atau jujube dapat memulihkan tubuh badan selepas sakit atau selepas bersalin. Ia amat popular dalam minuman herba cina dan dipraktikkan dalam pantang bersalin kaum Cina juga. Kurma merah cina mengandungi antioksidan yang sangat tinggi dan melindungi fungsi hati.

  9. Prun

    Sumber: Getty Images

    Beta-karoten dan vitamin A terbukti dapat membantu perkembangan mata dan kulit yang sihat, meningkatkan sistem imun, dan membantu penghasilan sel darah merah. Buah prun mengandungi kedua-dua zat ini, membuatkan ia buah kering yang sangat digalakkan untuk dimakan lepas bersalin.

  10. Buah tin (fig)

    Sumber: Getty Images

    Buah tin amat tinggi dalam kalsium, zat besi, potassium, dan zink yang sangat diperlukan selepas ibu bersalin. Kandungan kalium yang tinggi dalam buah tin dapat membantu mengawal tekanan darah yang penting memandangkan ibu banyak kehilangan darah dalam proses bersalin.


Buah-Buahan yang Tidak Digalakkan Untuk Dimakan Ketika Berpantang

Walaupun tiada kajian atau bukti kukuh tentang makanan atau buah-buahan yang dilarang makan ketika berpantang lepas bersalin, bakal ibu masih boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak memakan buah-buahan yang tersenari di bawah ini.

Nenek moyang kita juga sebenarnya tidak mengambil buah-buahan ini semasa berpantang kerana mungkin ada kemujarabannya yang belum dikenal pasti.

Lagipun, amalan berpantang ini hanya berlangsung selama beberapa hari atau minggu mengikut pilihan ibu sendiri.

  1. Nenas
  2. Limau
  3. Kiwi
  4. Buah lai
  5. Epal hijau
  6. Tembikai
  7. Tembikai susu
  8. Jambu
  9. Belimbing
  10. Durian
  11. Durian belanda
  12. Mangga
  13. Betik
  14. Ciku
  15. Langsat
  16. Nangka
  17. Cempedak
  18. Pisang masak hijau
  19. Manggis
  20. Sengkuang

Buah-buahan tersebut di atas di katakan tidak elok untuk di makan semasa berpantang selepas bersalin kerana boleh membuatkan perut berangin, atau pun juga boleh membuat bayi kembung perut jika Ibu menyusui bayi dengan susu badan.

Ada juga yang mengatakan sesetengah buahan di atas adalah ‘sejuk’ atau ‘tajam’ dan boleh mengganggu proses pemulihan badan.

Ini sama juga seperti jenis-jenis makanan pantang lain seperti ikan-ikan yang boleh dimakan atau terlarang, dan sayur-sayuran.

Sumber: Getty Images

Walau apa pun sebab atau tujuan ibu mengamalkan pantang dan mahu mengelakkan buah-buahan di atas atau makanan yang dilarang makan semasa tempoh berpantang, pastikan Ibu memakan makanan berkhasiat lain untuk mengganti khasiat yang mungkin dapat diberi oleh buah-buahan tersebut.

Ibu yang baru lepas bersalin amat disarankan untuk memakan buah-buahan sekurang-kurangnya dua hidangan setiap hari. Pastikan juga Ibu perbanyakkan meminum air kosong, terutamanya jika menyusu bayi.

Semoga senarai buah untuk ibu berpantang di atas bermanfaat bagi bakal ibu yang akan mengamalkan pantang bersalin.