Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Seni Mendidik Anak: Memohon Maaf dan Memaafkan

Ada tiga perkataan magis yang harus ibu bapa terapkan di dalam diri anak-anak supaya menjadi amalan kebiasaan mereka iaitu ‘Tolong’, ‘Terima Kasih’ dan ‘Maaf’. Sudah menjadi lumrah anak-anak melakukan kesalahan, tetapi, ramai yang tidak tahu untuk memohon maaf. Dan ada juga yang sering memohon maaf tanpa sebab yang sepatutnya.

Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak kita tentang adab yang betul supaya mereka tahu cara berkomunikasi yang betul serta menanamkan sifat dan akhlak yang tinggi.

Adab memohon maaf dan memaafkan adalah antara adab yang diperlukan oleh setiap orang.

Pentingnya adab maaf memaafkan

Anak-anak seawal dua hingga tahun harus faham betapa pentingnya memahami konsep dan adab maaf memaafkan.

Ibu bapa haruslah menjadi tunjang dan contoh terbaik dalam mendidik anak-anak perihal adab bermaafan ini.

Belajar meminta maaf dan memaafkan dapat mendidik anak-anak untuk cara menyelesaikan dan mengelakkan konflik antara anak-anak dan orang-orang sekeliling mereka. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan aksi anak-anak yang kuat memberontak.

Di samping itu, dengan memohon maaf dan memaafkan, dapat memulihkan hubungan antara anak-anak sesama adik-beradik atau rakan-rakan mereka yang mungkin mewujudkan rasa ketidakpercayaan sesama mereka akibat perbalahan.

Mendidik anak-anak saling bermaafan dapat membantu anak-anak meredakan hati dan memperbaiki hubungan yang terguris. Ia mengajar anak-anak untuk menjadi seorang yang rendah diri dan saling hormat-menghormati.

Bilakah Anak Harus Memohon Maaf

Ada segelintir anak-anak yang mudah dan kerap memohon maaf. Kadang-kala, mereka sendiri tidak tahu mengapa mereka memohon maaf. Ada juga yang mudah meminta maaf hanya kerana ingin melepaskan diri dari ditegur dan dimarahi atas sebab kesalahan yang disengajakan.

Ibu bapa harus mengajar anak-anak bilakah waktu-waktu yang harus untuk mereka memohon maaf.

Anak-anak harus faham yang adab memohon maaf bukanlah sekadar hanya dengan luahan kata-kata. Ia mestilah seiring dengan rasa menyesal akibat perbuatan yang telah dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya.

Highlighted


Anak-anak harus faham jika mereka telah melakukan sesuatu perkara sehingga menyebabkan ada orang lain terluka dengan kata-kata atau perbuatan mereka, mereka perlu memohon maaf.

Sekiranya anak-anak menipu dan tidak bercakap benar, mereka harus faham yang ianya satu perbuatan yang salah dan tidak patut dijadikan amalan. Mereka hendaklah memohon maaf kerana menipu dan berjanji untuk tidak mengulangi tabiat buruk itu.

Bagi ibu bapa yang menghadapi cabaran dengan anak-anak yang panas baran dan pemarah, didiklah mereka untuk mengawal emosi dan memohon maaf. Terangkan pada anak-anak, akibat panas baran yang mereka lontarkan telah membuat orang sekelilingnya berasa hati dan menjauhi diri dari mereka. Dengan memohon maaf, ia dapat membantu anak-anak berinteraksi dengan adab yang betul.

Kadang-kala, ada aksi anak-anak dalam sedar atau tidak yang mendatangkan bahaya dan mudarat kepada orang lain. Contohnya apabila anak-anak niat bergurau dan menarik kerusi kawannya dengan senyap-senyap tanpa disedari hingga menyebabkan kawannya terjatuh semasa cuba untuk duduk. Ternyata perbuatan itu tidak wajar dan anak-anak harus bertanggungjawab dan memohon maaf kerana menyebabkan kawannya sakit atau mungkin tercedera.

Cara-cara Mendidik Anak untuk Memaafkan

Manusia yang berjaya dan kental jiwanya adalah manusia yang boleh mengawal kemarahannya dan memaafkan orang meskipun dia di pihak yang benar. Maka, mendidik anak-anak untuk belajar memaafkan adalah sesuatu yang dituntut.

Ajarlah anak-anak untuk berfikiran terbuka dan belajar untuk berdebat dan mendengar pendapat orang lain dengan hati terbuka. Ingatkan anak-anak untuk tidak saling tuduh-menuduh serta menjatuhkan hukuman sebelum memahami apa sebenarnya yang berlaku.

Anak-anak kecil mungkin belum faham makna sebenar empati, tetapi, belajar untuk empati dan memahami apa yang orang lain rasa dan fikirkan adalah salah satu cara untuk anak-anak mudah memaafkan.

Terangkan pada anak-anak yang salah tetap salah dan benar tetap benar. Dengan memahami kenyataan ini, anak-anak tidak akan berasa kecewa dan mudah untuk memaafkan walaupun mereka di pihak yang benar. Memaafkan atau pun memohon maaf bukanlah tanda seseorang itu kalah dalam perdebatan atau sesuatu perbalahan.

Didiklah anak-anak untuk mudah memaafkan kerana semua orang bukanlah dijadikan sempurna dan sebagai manusia biasa kita melakukan kesalahan. Mungkin hari ini, kawan kita berbuat salah dan memohon maaf kepada kita. Esok lusa, mungkin kita yang melakukan keterlanjuran dan mengharapkan maaf daripada kawan kita.

Didikan yang terbaik adalah dengan menyaksikan dan membiasakn diri dengan keadaan maaf dan memaafkan. Maka dengan itu, ibu bapa menjadi contoh terbaik untuk anak-anak dengan menunjukkan adab maaf dan memaafkan dengan betul. Ibu bapa haruslah mudah memaafkan anak-anak dengan memberikan penerangan dan pengajaran agar kesilapan yang sama tidak berulang lagi. Ibu bapa juga haruslah tunduk dan tidak segan jika ada berbuat salah, sama ada sesama pasangan mahupun dengan anak-anak. Dengan cara ini, anak-anak dapat memahami idea keseluruhan memohon maaf dan memaafkan orang lain.

Sumber: Eliza Sukor

Adab maaf dan memaafkan ini adalah satu adab terpuji yang harus kita terapkan dalam diri anak-anak supaya mereka membesar menjadi pemimpin yang berjaya serta disenangi.