Sesungguhnya memiliki seorang anak adalah impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Pastinya semua ibu bapa yang memiliki anak ingin memberikan yang terbaik buat anak mereka.
Sebolehnya mereka mahu melihat anak mereka membesar dengan sihat sempurna samada dari segi mental juga fizikal. Ini termasuklah bagi Mommy dan Daddy yang mempunyai anak yang sensitif.
Membesarkan anak yang bersifat terlalu sensitif ini memerlukan perhatian yang lebih berbanding dengan anak-anak yang lain.
Oleh itu, perkongsian kali ini akan berkongsi tanda-tanda anak Mommy seorang anak yang sensitif dan cara membesarkan anak yang sensitif.
Jom baca selanjutnya!
Tanda Anak Mommy Seorang yang Sensitif
Berikut ialah 10 tanda-tanda anak Mommy dan Daddy adalah anak yang sensitif iaitu:
- Mengalami emosi yang melampau seperti menangis dan menjerit kepada sesuatu perkara yang sangat simple. Contohnya, mudah marah, menangis dan menjerit hanya kerana bajunya kotor disebabkan makanan yang tertumpah.
- Tindak balas yang besar terhadap rangsangan deria. Contohnya, mereka sangat sensitif apabila mendengar bunyi yang kuat, bau atau rasa yang kuat.
- Mereka sangat mudah untuk tantrum dan sering mengamuk disebabkan oleh perkara yang keil. Ini kerana, mereka lebih mudah untuk merasa stress dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dengan reaksi yang besar seperti tantrum.
- Mereka sangat berminat dengan benda dan orang di sekeliling mereka. Selain itu, respons otak mereka sangat cepat.
- Takut kepada situasi yang baru dan asing bagi mereka.
- Banyak permintaan dan kemahuan mereka.
- Sukar untuk menerima sebarang tentangan.
- Perfectionist dan tidak mudah berputus asa.
- Memandang nasihat dan kritikan sebagai satu perkara yang negatif berbanding positif iaitu sebagai satu cara memperbaiki keupayaan diri.
- Sukar untuk menerima pujian kerana mereka tidak selesa dengan perhatian yang diberikan.
Cara Membesarkan Anak Yang Sensitif
Berikut ialah 8 cara untuk membesarkan anak yang sensitif:
#1. Terima Sifat Sensitif Anak
Cara menghadapi anak sensitif atau cara membesarkan anak sensitif yang pertama ialah penerimaan sifat sensitif anak. Jangan cuba untuk menukar perangai mereka. Sebagai Mommy dan Daddy yang baik, seharusnya terima perangai anak yang sensitif ini dan gali ilmu berkenaan bagaimana untuk membesarkan anak yang sensitif.
#2. Elakkan dari Menggunakan Ayat “Jangan menangis”
Elakkan dari menegah anak yang sedang menangis disebabkan oleh perkara remeh. Apa tah lagi menggunakan ayat “Jangan menangis”. Ini akan membuatkan mereka berasa lebih terancam. Pada situasi ini Mommy perlu tenangkan diri dan senyum dahulu sebelum cuba memujuk mereka.
#3. Ajar Anak Cara untuk Tenangkan Diri
Selain itu, Mommy juga boleh ajarkan anak Mommy cara untuk tenangkan diri. Contohnya, Mommy boleh menyuruh anak Mommy menarik nafas sedalam-dalamnya dan lepaskan seperti naga melepaskan apinya. Ini akan membantu mereka bertenang dan fikirkan semula perbuatan mereka sebentar tadi.
#4. Alih Perhatian Anak
Di samping itu, antara idea yang paling mudah untuk dilakukan adalah dengan mengalihkan perhatian anak. Contohnya, mengajak mereka melakukan atau melihat sesuatu yang mereka sukai.
#5. Bantu dan Ajar Anak untuk Luahkan Perasaan Mereka
Sama seperti orang dewasa, anak-anak juga mahu Mommy dan Daddy faham perasaan mereka. Bantu dan ajar mereka cara untuk meluahkan perasaan mereka dengan komunikasi. Tanya dan selami hati mereka.
Contohnya, Mommy boleh meminta anak Mommy untuk beritahu apa yang membuatkannya menangis dan sedih. Biarkan dia ceritakan segalanya kepada Mommy. Dengan ini, akan dapat meredakan rasa yang dialaminya.
#6. Berikan Hadiah dan Ganjaran
Tukar kata-kata hukuman kepada hadiah. Contohnya, tukar dari “Mia takkan dapat makan dessert yang Mia suka kalau tak habiskan nasi ni” kepada “Kalau Mia habiskan nasi ni, nanti Mommy berikan dessert yang Mia suka!” Mommy juga boleh berikan hadiah atau ganjaran kepada mereka sekiranya mereka dapat lakukan sesuatu seperti yang dikehendaki.
#7. Beri Masa untuk Anak Berdikari
Beri peluang kepada anak Mommy dan Daddy untuk menyelesaikan sendiri isu yangsedang dihadapinya. Elakkan dari terus memenuhi dan menyelesaikan masalahnya. Anak yang sensitif ini sebenarnya bijak dalam menyelesaikan isu dengan baik.
#8. Berikan Pujian kepada Usaha Mereka
Cara yang terakhir yang boleh dicuba ialah dengan memberika pujian kepada setiap usaha mereka. Walaupun apa yang mereka lakukan tidak berhasil atau tidak berjaya, pujilah mereka. Ini akan membuatkan anak Mommy rasa dihargai. Tetapi harus ingat ya Mommy, puji pada usaha dan bukannya pada hasilnya.
Kesimpulannya, anak yang sensitif ini adalah anak yang istimewa. Walaupun mereka cepat menangis, mengamuk dan tantrum, dengan teknik yang betul sifat ini mampu untuk dikawal. Oleh itu, bagi Mommy yang sedang berhadapan dengan anak sensitif ini boleh cuba cara di atas.
Selamat mencuba!
Mommy juga boleh daftarkan anak Mommy ke program “Super Kids“ oleh Motherhood.com.my yang menawarkan pelbagai bengkel dan aktiviti menarik. Para peserta juga berpeluang untuk mendapatkan Super Kids Activity Box PERCUMA, akses tanpa had ke pelbagai bengkel dan juga antara yang pertama mendapatkan diskaun serta tawaran terkini daripada Motherhood.com.my.
Sertai Super Kids bersama Motherhood.com.my sekarang!
Dapatkan tips keibubapaan yang di SINI!