Permulaan takwim persekolahan diubah dari Januari kepada Mac sejak 2022, selepas Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Februari 2022 akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Pada 23 Mei 2023, KPM mengumumkan bahawa akan memulakan semula sesi persekolahan pada Januari menjelang tahun 2026 di Dewan Rakyat seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan telah memulakan usaha untuk mengawalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula Februari 2025.
“Permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari akan ditunaikan pada 2026,”
katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) yang meminta KPM menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan tahun berapa persekolahan dapat bermula pada Januari seperti sebelum berlakunya pandemik.
Sebelum ini, KPM memberi jaminan bahawa permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.
Mak Ayah Boleh Mula Merancang Aspek Kewangan dan Ekonomi Untuk Persekolahan Anak-anak
Fadlina berkata, susulan pengumuman itu, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.
“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan.”
“Pengumuman ini selari dengan hasrat KPM untuk memastikan kesejahteraan semua pihak. Perubahan ini juga dapat merealisasikan hasrat Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera,” ujarnya.
Menurutnya, KPM telah meneliti bahawa banyak faktor berkaitan bagi melaksanakan perubahan yang membabitkan kalendar akademik persekolahan.
Perubahan semula kalendar akademik persekolahan perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“KPM akan melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun,” jelasnya.
Akhir sekali, Fadlina berkata bagi tujuan itu KPM turut melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.