Untuk baca edisi Inggeris, klik sini.
Dalam satu statistik yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat 4992 kanak-kanak yang dilahirkan hasil hubungan luar nikah pada tahun 2017. Yang lebih mengejutkan, kanak-kanak ini dilahirkan oleh para ibu yang berumur 18 tahun ke bawah. Dalam laporan yang sama, kira-kira 120 kes buang bayi dilaporkan sehingga Jun 2017 dan 1664 kanak-kanak adalah daripada anak muda yang masih dibawah umur.
Nyawa yang tak berdosa dijadikan mangsa
Anda tak rasa sedih ke baca kes-kes begini? Bayi ditinggalkan di tepi kereta, di rumah sewa, malah ada yang lebih kejam, di kawasan sampah dan sebagainya. Apa salah bayi-bayi yang tak berdosa ni?
Saya percaya bukan senang untuk mana-mana ibu bapa menerima berita anak perempuan yang masih bujang, tiba-tiba didapati mengandung. Malah, ramai juga yang tak dapat menerima kelahiran bayi tersebut. Disebabkan hal-hal beginilah kes buang bayi makin meningkat di Malaysia.
Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?
Berdasarkan satu kajian yang dilaporkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), antara sebab berlakunya kelahiran luar nikah ini adalah daripada menonton bahan-bahan lucah. Apabila anak-anak muda sudah pandai menonton bahan-bahan terlarang ni, mereka akan terdedah kepada aktiviti seksual.
Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, situasi itu telah membawa kepada punca pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, seks luar nikah dan pornografi.
Sejumlah 22 peratus pelajar aktif seksual memberitahu mereka dipengaruhi oleh pornografi,
katanya.
Persoalannya, bagaimana kalau anak anda yang bakal melahirkan anak luar nikah?
Boleh ke anda terima bayi yang bakal dilahirkan itu? Anak kita sendiri yang masih dibangku sekolah, tak lama lagi bakal melahirkan zuriat sendiri. Nanti apa pulak pandangan orang lain? Haa banyak perkara yang nak kena fikir kan.
Pada pendapat saya, bayi yang bakal dilahirkan tu tak salah pun! Walaupun susah, tapi tak salahkan untuk anda terima kelahirannya dengan tenang dan dijaga dengan sempurna. Hakikatnya, bayi tersebut masih darah daging anda.
Sebaliknya, anak awak tu yang harus dipersalahkan! Tak kisah lah dia si bapa kepada bayi ataupun si ibu sendiri yang melahirkan. Sepatutnya mereka masih belajar di sekolah, bergaul dengan rakan-rakan yang betul. Bukan sibuk bercinta sehingga terlanjur. Yelah, darah muda. Semua nak cuba. Tersalah langkah sikit, akibatnya satu keluarga kena tanggung.
Setiap anak dilahirkan dlm keadaan fitrah (Islam), maka kedua orang tuanyalah yg menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi.
– HR. al-Bukhari&Muslim
Ibu bapa sebenarnya pendorong utama untuk membimbing anak kita dengan betul. Cara percakapan kita dan sikap prihatin yang kita beri kepada anak-anak dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah seperti ini.
Sebab tu pentingnya untuk anda beri pendedahan kepada anak-anak tentang pendidikan seks sejak mereka kecil lagi. Gagal dalam perkara ini boleh mengakibatkan anak-anak kita menconteng arang ke muka sendiri. Jadi ikuti siri Pendidikan Seks untuk pelbagai fakta dan informasi menarik!