Ramai ibu bapa yang kurang cakna berkenaan simpanan untuk anak terutamanya simpanan dari segi pendidikan.
Malah, terdapat juga ibu bapa yang tidak tahu tentang kewujudan tabung pendidikan yang akan membantu mereka menabung untuk pembelajaran dan masa depan anak-anak sejak mereka kecil.
Sebenarnya sekarang ini, terdapat beberapa tabung simpanan untuk anak, yang disyorkan untuk pendidikan mahupun simpanan peribadi yang boleh digunakan.
Jadi, demi masa depan anak-anak, Mommy dan Daddy sudah boleh mula menyimpan untuk mereka mulai sekarang.
Melalui perkongsian artikel kali ini, Mommy boleh ketahui lebih lanjut mengenai tabung simpanan untuk anak-anak.
Highlighted
Senarai Tabung Simpanan Untuk Anak Yang Selamat dan Bagus
Berikut adalah 7 tabung pendidikan yang boleh dipertimbangkan untuk tujuan penyimpanan:
1. Akaun simpanan
Akaun simpanan ini adalah tabung simpanan untuk anak-anak dan kita yang dewasa, yang paling biasa digunakan. Namun, ianya masih lagi relevan untuk dijadikan sebagai salah satu medium penyimpanan bagi tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak walaupun kadar faedahnya lebih rendah berbanding tabung pendidikan yang lain namun lebih baik dari menabung sendiri di rumah.
Akaun simpanan ini boleh dibuka dengan amaun serendah RM1. Untuk membuka akaun simpanan ini seeloknya pilihlah bank yang sama digunakan oleh anda.
Ini bertujuan untuk memudahkan dan mengelakkan anda lupa untuk menyimpan setiap bulan.
Selain itu, sebelum membuka akaun simpanan anda perlu tahu jenis akaun bank simpanan yang ingin dibuka, pilih bank yang mempunyai program simpanan untuk kanak-kanak dan kadar faedah yang ditawarkan.
2. Tabung Haji
Di samping itu, Tabung Haji juga sering menjadi pilihan ibu bapa sebagai tabung simpanan pendidikan untuk anak-anak mereka terutamanya bagi yang beragama Islam.
Istimewanya menabung di Tabung Haji ini adalah sambil menyimpan untuk pendidikan anak, Mommy juga boleh terus mendaftarkan anak anda untuk menunaikan ibadah haji dengan syarat amaun simpanan hendaklah mencukupi RM1,300.
Kelebihan menjadikan Tabung Haji tabung pendidikan anak anda adalah simpanan di Tabung Haji dijamin 100% oleh pihak kerajaan, dikecualikan dari dikenakan cukai, patuh syariah, menawarkan kadar dividen dan bonus yang akan memberi pulangan tambahan kepada akaun anak anda.
Cara Membuka Akaun Tabung Haji Untuk Anak
Bagaimana cara untuk membuka akaun Tabung Haji anak? Berikut adalah caranya:
- Layari laman web THiJARI atau melalui aplikasi THiJARI.
- Mula mendaftar dengan tekan pada bahagian “Pembukaan Akaun Kanak-kanak”.
- Isi maklumat anda dengan lengkap dan hantar. Kemudian anda akan menerima e-mel pengesahan daripada Tabung Haji.
- Pergi ke cawangan pilihan anda untuk urusan pendaftaran di kaunter, dan bawa dokumen buka akaun Tabung Haji Anak seperti surat beranak anak (dan salinan), MyKid anak (dan salinan), MyKad ibu/bapa (dan salinan).
- Anda perlu mengemukakan deposit akaun pembukaan dengan jumlah minimum RM10.
- Jika mahu mendaftar Haji untuk anak, anda perlu memasukkan RM1,310. Selesai.
3. Skim Simpanan Pendidikan Negara (SSPN-i Plus)
SSPN-i Plus ialah skim simpanan pendidikan yang diterajui oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia menabung untuk pengajian tinggi.
Kebaikan yang diperolehi sekiranya memilih untuk menyimpan di sini selain dapat menyimpan untuk pendidikan anak-anak anda adalah penawaran perlindungan takaful, pelepasan cukai sebanyak RM6,000 setahun dan kadar pulangan dividen yang kompetitif .
Berikut adalah langkah atau cara sekiranya anda ingin menyimpan bersama SSPN-i Plus. Anda hanya perlu mendaftar secara atas talian tanpa perlu beratur panjang.
Cara Membuka Tabung Simpanan Untuk Anak di SSPN-i Plus
- Layari laman web SSPN.
- Tekan butang “Daftar SSPN-i Plus” dan kemudian tekan butang ”Pembukaan Akaun”.
- Pilih salah satu daripada enam pakej ditawarkan oleh SSPN-i Plus bermula dari RM30 sebulan sehingga RM500 sebulan.
- Pilih syarikat pengendali takaful SSPN-i Plus.
- Lengkapkan maklumat akaun.
- Kemudian, pilih sama ada akaun SSPN-i Plus ini dibuka untuk diri sendiri atau anak anda.
- Lengkapkan maklumat pendeposit dan maklumat anak.
- Masukkan jumlah bayaran mengikut pakej yang anda pilih. Minimum jumlah bayaran adalah untuk dua bulan.
- Pilih kaedah potongan bagi pembayaran.
- Semak maklumat pendaftaran terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran.
4. Amanah Saham Bumiputera Didik (ASB 3 Didik)
Selain itu, bagi Bumiputera, Mommy juga boleh menyediakan tabung pendidikan anak-anak bersama Amanah Saham Bumiputera Didik (ASB 3 Didik). Akaun ini boleh dibuka dengan amaun serendah RM100 sahaja.
Apabila anak anda mencapai umur 18 tahun, status akaun ini akan bertukar secara automatik ke akaun dewasa.
Sekiranya anda berminat untuk menabung di sini, ikuti langkah-langkah berikut untuk mendaftar:
Daftar Amanah Saham Bumiputera Didik (ASB 3 Didik)
- Muat turun aplikasi MyASNB.
- Tekan butang Daftar.
- Pilih jenis ID – jika anda pilih nombor kad pengenalan, masukkan nombor kad pengenalan anda bersama-sama dengan nombor telefon anda.
- Masukkan nombor OTP yang dihantar ke telefon bimbit anda untuk tujuan pengesahan.
- Lengkapkan maklumat peribadi, maklumat pekerjaan, pengesahan identiti dan sebagainya.
5. Unit Amanah (Unit Trust)
Sekiranya yang Bumiputera mempunyai ASB 3 Didik, bagi yang bukan Bumiputera pula, anda mempunyai pilihan untuk merancang pendidikan anak-anak anda dengan cara melabur dalam Unit Amanah.
Dengan berbekalkan RM1,000, anda boleh mula melabur bersama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan berpotensi untuk mendapat pulangan dividen. Anda boleh melabur dalam Unit Amanah ASNB memalui mana-mana bank.
Bagaimana caranya sekiranya anda berminat untuk melabur demi merancang pendidikan anak anda nanti? Anda boleh mendapatkan maklumat berkenaan pelaburan dari ramai ejen Unit Amanah daripada pelbagai syarikat.
Ejen Unit Amanah ini akan membantu anda membuat pilihan yang bertepatan dengan kemahuan dan kehendak anda.
6. Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)
Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) adalah dana unit amanah yang berkonsepkan patuh Syariah di mana pelabur yang melabur dengan tujuan memberikan aliran pendapatan yang tetap dan konsisten kepada pelabur Bumiputera sambil mengekalkan modal pelaburan.
Bagaimana dengan menyimpan wang di AHB ini dapat menjadi tabung simpanan anak-anak?
Apabila anda menyimpan wang dengan AHB ini, anda akan berpeluang untuk melabur dalam bidang hartanah komersil utama di Malaysia di mana wang pulangan hasil dari pelaburan tersebut akan masuk terus ke dalam akaun anak anda dan boleh dikeluarkan apabila tiba masanya.
Anda boleh membuka akaun untuk anak anda seawal umur mereka 3 bulan sehingga 18 tahun di bawah nama penjaga yang sah. Ikuti langkah di bawah sekiranya anda berminat untuk menabung demi pendidikan anak anda bersama AHB.
Cara Mendaftar Tabung Simpanan Untuk Anak di Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)
- Pergi ke cawangan Maybank atau AmBank (ejenAHB) yang terdekat dengan anda.
- Berjumpa dengan Eksekutif Kewangan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang dana AHB.
- Anda akan diminta untuk mengisi “Borang Pendaftaran – Akaun Kanak-Kanak/Remaja”.
- Serahkan borang yang lengkap diisi berserta dokumen-dokumen yang diperlukan serta modal permulaan pelaburan dalam bentuk tunai atau cek.
- Selepas permohonan selesai diproses, anda akan diberikan salinan Borang Pendaftaran yang disahkan sebagai bukti pelaburan. Tiada buku akan diberikan, Simpan salinan tersebut untuk rujukan anda terutamanya nombor akaun AHB.
7. Insurans Pendidikan
Sering kali kita mendengar tentang insurans nyawa, kereta dan banyak lagi tetapi bukan insurans pendidikan. Ya, memang wujud insurans pendidikan ini.
Insurans ini bertujuan untuk menjadi tabung simpanan pendidikan anak anda. Bukan itu sahaja, malah insurans pendidikan seperti yang ditawarkan Etiqa Madani juga akan memberikan perlindungan kepada anak-anak anda. Pelepasan cukai sehingga RM3,000 akan diberikan sekiranya anda mendapatkan insurans pendidikan untuk anak anda.
Bagaimana cara untuk mendapatkan insurans pendidikan ini? Anda boleh dapatkan maklumat lanjut dari ejen-ejen insurans dari pelbagai syarikat insurans yang menawarkan insurans pendidikan ini. Mereka akan membantu anda untuk membuat pilihan yang tepat dengan kemahuan dan kewangan anda.
Tips Mudah Menabung Untuk Masa Depan
Amalan menabung adalah satu amalan murni yang perlu dipupuk dalam diri setiap orang bukan sahaja orang dewasa malahan kanak-kanak.
Perumpamaan “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit” amatlah sesuai dengan amalan menabung ini di mana ianya memberi gambaran jelas tentang kebaikan dan faedah menabung itu sendiri.
Namun, masih ramai yang leka dan gagal dalam usaha mereka untuk kekal konsisten untuk menabung. Terdapat beberapa tips yang boleh digunakan untuk kekal konsisten untuk menabung.
1. Membuat tabung mengikut warna wang
Anda boleh mewujudkan satu tabung mengikut warna wang. Contohnya, tabung berwarna biru untuk wang kertas RM1, hijau untuk wang kertas RM5 dan merah untuk wang kertas RM10. Tidak perlu membuat tabung untuk semua jenis warna wang secara serentak.
Setiap kali selepas berbelanja dan mendapat wang kertas tersebut, minta anak-anak supaya asingkan dan masukkan ke dalam tabung tersebut. Lakukan secara konsisten.
2. Tetapkan matlamat
Terangkan kepada anak supaya menetapkan matlamat mengapa perlu menabung. Tetapkan juga target. Contohnya, jika mereka mahukan sesuatu benda, minta mereka untuk membuat simpanan dan membelinya menggunakan duit sendiri.
Tetapkan jumlah yang diperlukan dan tempoh simpanan sehingga ianya mencukupi.
3. Simpan baki wang dalam tabung
Ajar mereka untuk menyimpan sedikit duit perbelanjaan sekolah. Asingkan siap-siap wang yang perlu dibelanjakan atau lebihan wang selepas sesi persekolahan terus dimasukkan ke dalam tabung.
Walaupun jumlahnya tidak sama, kadang-kadang banyak, kadang-kadang sikit, namun sekiranya konsisten hasilnya pasti mengejutkan.
Kesimpulannya, walau apa jua cara dan kaedah penyimpanan kita, harus diingat cara kita menguruskan perbelanjaan adalah perkara paling penting dalam pengurusan kewangan.
Kunci utama dalam menguruskan kewangan adalah sentiasa berdisiplin dalam berbelanja dan sentiasa konsisten dalam menyimpan. Dalam masa yang sama, pupuk minat menabung di dalam diri anak-anak.
Tunjukkan juga kepada anak-anak supaya mereka mengikut rentak untuk sama-sama menabung. Tingkah laku kita pencorak sebenar sahsiah diri anak-anak.
Semoga ianya bermanfaat!