Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Jenis-jenis Snek Bayi Yang Berkhasiat Dan Sesuai Untuk Diberikan (7 Bulan dan Ke Atas)

Sumber: Adobe Stock

Setelah memasuki enam bulan, bayi akan memulakan perjalanan memakan makanan selain daripada susu ibu atau susu formula. Ia sering dipanggil makanan separa pejal atau solids.

Kebanyakan mak-mak akan memulakan dengan bubur nasi, oats, dan puri sayuran dan buah-buahan kerana itu adalah yang terbaik dan bersesuaian untuk bayi yang baru mula memakan makanan separa pejal.

Setelah bayi sudah biasa memakan makanan separa pejal, Mummy boleh pertimbangkan pula snek-snek yang boleh bayi makan untuk menolong dengan tumbesaran dan perkembangan fizikal bayi.

Snek-snek yang berkhasiat juga akan membantu dengan perkembangan mental bayi.

Selain itu, snek-snek senang dibawa kemana-mana jika Mummy perlu keluar dengan bayi dan tak sempat untuk menyediakan makanan seperti bubur dan puri.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Jom tengok apa jenis-jenis snek yang sesuai untuk dimakan oleh bayi.

5 Jenis Snek Bayi Yang Penuh Khasiat

1. Biskut Beras Bayi

Biskut beras untuk bayi menjadi pilihan ramai ibu bapa kerana ia senang didapati, senang untuk dimakan oleh bayi, dan mengandungi zat-zat yang berkhasiat untuk bayi yang sedang membesar.

Pelbagai jenis biskut beras yang boleh didapati dipasaran dalam pelbagai bentuk. Kebanyakannya berbentuk kepingan yang senang untuk dipegang oleh bayi, dan ada juga yang berbentuk biji-biji kecil.

Biskut-biskut beras ini sering diperbuat supaya mudah cair didalam mulut bayi.

Walaupun bahan asasnya ialah beras, pelbagai perisa boleh didapati yang dicampurkan dalam biskut beras seperti perisa bayam, perisa pisang, perisa epal, dan sebagainya.

Tambahan pula, biskut seperti biskut beras juga memainkan peranan untuk melegakan gusi bayi jika bayi sedang mengalami pertumbuhan gigi. Gigi bayi pun memang kerap mula tumbuh sekitar usia mula memakan makanan pejal.

Pastikan Mummy simpan stok biskut beras ini banyak-banyak, sebab memang senang untuk diberi kepada si kecil, terutamanya yang memang suka betul makan!

2. Sayur-Sayuran Yang Boleh Dipegang

Walaupun makanan utama bayi pada awal ialah masih susu ibu atau formula dan bubur atau puri, selang beberapa hari anda boleh cuba memberi satu jenis sayuran yang dikukus dan senang untuk dipegang.

Ini bukan sahaja dapat membantu bayi mencuba sesuatu rasa yang baru, tapi ia juga penting supaya anda boleh memeriksa jika bayi mempunyai tindak balas yang negatif terhadap sesuatu makanan tersebut selepas memakannya.

Contoh-contoh sayuran bersesuaian adalah seperti lobak merah dan brokoli. Anda hanya perlu merebus atau mengukusnya, dan biar bayi meneroka atau ‘explore’ tekstur dan rasa makanan tersebut.

Sumber: Adobe Stock

Pakar nutrisi bayi mengesyorkan makanan tersebut diberi dalam bentuk yang asal atau ‘whole‘ kerana jika dipotong kecil, takut ia boleh membuat bayi tercekik.

Dengan memberi makanan tersebut dalam bentuk yang asal, bayi boleh cuba mengunyahnya dan ini juga bagus untuk membentuk dan menguatkan otot mulut mereka.

Sayuran seperti lobak merah dan brokoli tersebut boleh diberikan sebagai snek selepas menyusu atau memakan bubur nasi.

3. Buah-Buahan Yang Boleh Dipegang

Sama seperti sayur-sayuran yang boleh dipegang, ada beberapa buah-buahan yang sesuai untuk bayi mula meneroka.

Walau bagaimanapun, secara umumnya buah-buahan tak perlu dimasak! Buah-buahan yang sesuai adalah seperti pisang, strawberi, dan oren.

Jika buah tersebut besar, boleh dipotong kecil sedikit, seperti pisang. Tetapi, Mummy masih perlu mengawasi bayi apabila sedang memakannya kerana khuatir boleh tertelan seluruh buah dan tercekik.

Ini adalah penting terutamanya jika anda mahu anak mencuba buah-buahan yang betul-betul kecil seperti blueberry. Memandangkan ia sangat kecil dan memang senang untuk dimasukkan terus ke dalam mulut bayi dan tercekik, pakar nutrisi bayi mengesyorkan buah tersebut dipotong lebih kecil.

Jangan risau tentang bayi membuat sepah dari meneroka makanan tersebut, kerana ia penting untuk bayi belajar memakan.

Sumber: Getty Images

4. Yogurt Susu Penuh Berperisa

Yogurt menjadi snek yang sangat berkhasiat untuk bayi yang sudah mula makan makanan separa pejal. Ia mempunyai banyak zat berkhasiat dan sangat bagus untuk kesihatan usus bayi.

Ia juga sangat enak jika berperisa buah-buahan seperti mangga atau strawberi. Pastikan yogurt tersebut tidak mempunyai kandungan gula tiruan.

Mummy boleh cuba beri bayi makan sendiri dengan menggunakan sudu supaya bayi boleh mula belajar memakan menggunakan sudu.

Yogurt menjadi salah satu pilihan makanan terbaik untuk menggunakan sudu kerana kelikatannya akan memastikan yogurt tersebut boleh melekat ke sudu dengan senang.

Sumber: Getty Images

5. Makanan Ringan Berkhasiat Atau ‘Finger Food

Mummy juga boleh membuat makanan ringan berkhasiat atau ‘finger food’ yang bayi boleh makan. Selalunya Mummy hanya perlu menggaulkan semua bahan-bahan tersebut dan bakar di dalam ketuhar.

Beberapa contoh resepi adalah seperti berikut:

  • telur dan bayam: potong 1 cawan bayam, tumis, tambahkan 2 biji telur yang telah dipukul, masak dengan baik dan potong supaya menjadi bentuk jejari
  • brokoli dan keju: cincang brokoli dan kukus, manakala parut keju seperti keju cheddar, campurkan dan bentuk menjadi jejari sebelum membakar dalam ketuhar
  • bebola ayam dan nasi: masak nasi menggunakan resipi nasi ayam dan gaulkan dengan ayam yang telah dipanggan sebelum membentukkannya menjadi bola yang bayi boleh pegang dan makan
Sumber: brooklynfarmgirl.com

Makanan bentuk jejari ini juga boleh jadi makanan utama selain snek jika bayi lebih gemar memakan makanan seperti ini sebagai makanan utama mereka.

Beberapa perkara yang perlu dititikberatkan bila memberi snek kepada bayi-bayi yang kecil adalah:

  • memilih snek yang berkhasiat dan mempunyai bahan-bahan berkualiti tinggi
  • memilih snek atau bahan-bahan yang organik dan tidak mempunyai bahan tiruan
  • memilih makanan-makanan yang selamat dari segi bentuk, tekstur, dan saiz
  • pastikan sesuatu makanan, terutamanya yang mempunyai risiko untuk memberi tindak balas alergi, diberikan sedikit dahulu dan periksa jika ada kesan buruk terhadap bayi
  • jangan paksa bayi memakan makanan dengan sesuatu jumlah dan elakkkan memberi tekanan kepada bayi untuk makan
  • elakkan memberi makanan atau makanan ringan ketika bayi letih atau merasa lapar kerana memerlukan susu

Seperti orang dewasa, bayi juga perlu merasa memakan snek itu menyeronokkan. Semoga artikel ini dapat membantu Mummy memberi pengalaman yang menyeronokkan bagi bayi untuk mencuba.