Ibu, Bayi & Kanak Kanak

7 Snek Berkhasiat Untuk Kanak-Kanak Berserta Tips Penyediaan

snek berkhasiat untuk kanak-kanak

Sumber: Adobe Stock

Pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang di mana hampir seluruh ahli keluarga terpaksa berada di rumah, tidak hairanlah jika anak-anak sering membuka peti sejuk atau mencapai makanan dari pantri untuk menguyah sesuatu.

Untuk mengelakkan daripada menjejaskan kesihatan badan, ibu bapa disarankan untuk menyimpan stok makanan dan snek yang berkhasiat buat anak-anak.

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Jika snek diberikan pada waktu bersesuaian, ia dapat memainkan peranan penting dalam mengurangkan kelaparan anak-anak dan meningkatkan nutrisi.

Makanan ringan atau snek yang diperi tepat pada masanya dapat menghilangkan kelaparan berlebihan dan memberikan tenaga tambahan atau ‘boost‘ yang sangat diperlukan oleh kanak-kanak aktif diantara waktu makan utama.

Tips Memilih Snek Berkhasiat untuk Kanak-kanak

Mommy boleh ikuti beberapa tips berkaitan dengan snek yang berkhasiat untuk anak-anak seperti:

  • memilih snek yang penuh dengan zat-zat berkhasiat dan mengandungi gula yang sedikit atau gula semulajadi dan bukan tiruan.
  • memilih snek yang boleh tahan lama untuk mengurangkan kekerapan untuk keluar membeli barang dapur.
  • membuat jadual snek untuk anak-anak dan pastikan snek diberikan pada waktu yang sama setiap hari.
  • melibatkan anak dalam proses menyediakan snek dengan menyediakan garis panduan bersesuaian dan biarkan mereka rasa seronok untuk menolong dan sepanjang proses tersebut.
  • pastikan snek merangkumi pelbagai warna untuk menunjukkan kecantikan makanan tersebut dan menarik minat anak.
  • gunakan waktu snek sebagai cara untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • elakkan snek yang diproses atau mempunyai bahan pengawet yang berlebihan.
  • jangan berikan anak-anak snek di depan television atau tablet, dan sediakan kawasan yang sesuai atau di dapur untuk memakan snek.
  • snek adalah bukan pengganti makanan utama, jadi pastikan anak Mommy memahami berapa banyak snek yang mencukupi.

7 Snek Berkhasiat Yang Sesuai Untuk Kanak-Kanak

1. Buah-Buahan Segar

Sumber: Adobe Stock

Bunyi senang saja kalau snek tu buah-buahan kan? Senang nak sediakan, senang nak makan. Tapi kadang-kala anak-anak mungkin cepat bosan pula kalau asyik makan buah epal terus dari peti sejuk.

Mommy boleh potong dan campurkan beberapa jenis buah-buahan lain dalam mangkuk supaya nampak menarik. Untuk anak-anak kecil, Mommy boleh pula cuba menyusunnya secara kreatif supaya dapat menjadi bentuk haiwan atau kartun kegemaran anak.

Buah-buahan juga boleh disediakan berpasangan seperti makanan lain seperti anggur dan keju, atau epal dan mentega kacang (peanut butter). Sedap sangat!

2. Buah-Buahan Kering

Sumber: Getty Images

Buah-buahan kering juga boleh menjadi snek yang berkhasiat kerana buah-buahan yang telah dikeringkan kaya dengan vitamin dan protein. Ia juga dapat meningkatkan sistem imun badan dan mencegah penyakit seperti diabetes dan kolestrol tinggi.

Kebanyakan buah kering kaya dengan mineral, protein, serat dan vitamin, dan tak dinafikan ia enak dimakan.

Buah kering seperti kismis dan kranberi adalah klasik dan jenis lembut, tapi anak-anak yang suka makan makanan rangup boleh pilih kepingan buah kering seperti kepingan buah kering epal, oren, atau nanas.

Ia boleh menjadi pengganti makanan ringan tidak berkhasiat seperti keropok yang mengandungi perisa tambahan yang banyak dijual di pasaran.

3. Sayur-Sayuran Segar

Sumber: Adobe Stock

Banyak sayuran yang tak perlu dimasak boleh dijadikan sebagai snek yang berkhasiat untuk kanak-kanak. Contohnya lobak merah, batang saderi (celery stick), timun, dan tomato cherry.

Sayur-sayuran ini boleh dicampurkan dengan makanan atau snek lain seperti buah-buahan lain, mentega kacang, sos mustard, dan macam-macam lagi.

Seperti buah-buahan segar, Mommy boleh menyusun snek sayuran supaya nampak menyeronokkan dan dapat menarik perhatian kanak-kanak.

Kalau mereka tidak suka pada mulanya, jangan paksa, tapi teruskan menawar jenis snek ini dengan kerap dan jangan putus asa!

4. Sandwich Protein

Sumber: Adobe Stock

Kebanyakan kanak-kanak memang suka makan roti, tapi kadang-kala ia selalu dimakan dengan makanan ringan tidak berkhasiat lain atau penuh dengan gula.

Protein membantu kanak-kanak membesar dan boleh membuat mereka berasa kenyang lebih lama selepas waktu makan.

Jika anak Mommy selalu meminta makanan ringan sepanjang hari, cuba tambahkan makanan berunsur protein untuk dijadikan sandwich bersama roti, seperti keju, telur, mentega kacang yang tiada campuran gula dan garam, atau hummus.

5. Smoothie

Sumber: Getty Images

Mommy jangan samakan smoothie dengan jus buah-buahan! Smoothie sebenarnya adalah lebih daripada itu dan boleh dianggap sebagai snek walaupun ia hanya sekadar minuman.

Jus buah-buahan selalunya hanyalah merangkumi campuran air dan buah-buahan yang dikisar atau diperah (pressed).

Smoothie pula diperbuat daripada beberapa bahan yang mengenyangkan termasuklah buah-buahan, susu, yogurt, bijian berkhasiat seperti chia seed atau flaxseed, dan apa-apa sahaja yang diminati yang boleh dikisar.

Campuran smoothie yang sesuai dapat memberi kekenyangan kepada kanak-kanak, terutamanya jika hari sedang panas terik! Tentu boleh kalahkan ice cream!

6. Muffin Berkhasiat

Sumber: Getty Images

Bila sebut saja tentang kek dan muffin, Mommy tentu rasa ia tak berkhasiat kerana mengandungi gula yang tinggi kan?

Sebenarnya manisan seperti muffin boleh dijadikan berkhasiat juga dengan mengelakkan penggunaan gula yang diproses!

Ia boleh digantikan dengan pelbagai jenis gula semulajadi seperti madu, maple syrup, gula dari bunga kelapa, dan macam-macam pilihan berkhasiat lain yang boleh didapati di pasaran sekarang.

Mommy juga boleh mencari pelbagai resepi yang menggunakan bahan-bahan berkhasiat sahaja seperti tepung oats, epal, madu, dan serbuk kayu manis sebagai bahan utama.

7. Kentang Goreng Dan Nugget Homemade

Sumber: Getty Images

Tidak dinafikan memang kanak-kanak suka makanan fast food seperti kentang goreng dan nugget dari restoren-restoren makanan segera yang popular.

Walau bagaimanapun, makanan tersebut kebanyakannya adalah sangat tak berkhasiat dan terlalu diproses.

Bayangkan sesetengah jenis makanan segera tersebut tak akan reput atau jadi basi pun setelah beberapa hari tinggal di atas meja! Tentu bermacam-macam bahan pengawet yang digunakan.

Kalau anak Mommy suka makan kentang goreng dan nugget, Mommy boleh cuba untuk menyediakannya di rumah seperti yang dikongsikan Ibu ini.

Bukan sahaja makanan tersebut boleh dibuat dari bahan segar, Mommy pun boleh masak dengan kaedah yang lebih sihat seperti membakar di dalam ketuhar atau menggunakan air fryer, selain daripada menggoreng di dalam minyak yang berlebihan.


Kalau mahukan snek ringan yang cepat dan boleh di bawa ke mana-mana, Mommy boleh layari pilihan-pilihan yang disediakan di Motherhood.

Kanak-kanak mendapat lebih daripada seperempat kalori harian mereka dari snek atau makanan ringan. Oleh itu, pastikan Mommy hidangkan snek yang sihat dan berkhasiat.

Ia juga akan membentuk tabiat yang baik dengan pemakanan yang sihat, kerana suatu hari nanti apabila mereka sudah besar, mereka akan menyediakan snek berkhasiat untuk diri sendiri!