Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Ini 10 Ganjaran Kebaikan di Dunia Dan Akhirat Jika Solat Berjemaah

solat berjemaah

Kredit gambar: seekersguidance.org

Solat berjemaah merupakan fardhu kifayah. Walaupun hukum solat berjemaah ini hanyalah fardhu kifayah namun, solat berjemaah adalah antara salah satu amalan penting dalam Islam yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Terdapat banyak kebaikan solat berjemaah yang dapat kita perolehi. Untuk mengetahui apakah kelebihan solat berjemaah, ikuti perkongsian di bawah!

Kelebihan Solat Berjemaah

Highlighted

Kredit gambar: www.learnreligions.com

Kelebihansembahyang secara berjemaah antaranya ialah:

#1. Mendapat Pahala Berlipat Kali Ganda

Seperti yang ramai tahu, solat jemaah ini mempunyai kelebihan dari segi ganjaran yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda mengenai ganjaran pahala bagi mereka yang menunaikan solat secara berjemaah iaitu sebanyak 27 kali ganda berbanding solat secara sendirian.

Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).”

#2. Menghidupkan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Antara perkara yang paling dijaga oleh Rasulullah S.A.W. ialah solat jemaah. Hal ini dapat dilihat dari hadis riwayat Bukhari, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”

#3. Menguatkan Hubungan Silaturrahim Antara Ahli Keluarga atau Anggota Masyarakat

Kredit gambar: seekersguidance.org

Sembahyang secara jemaah juga dapat dijadikan medium untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta hubungan silaturrahim dalam anggota masyarakat.

Inilah antara kelebihan menunaikan sembahyang secara berjemaah di rumah dan di masjid.

Kelebihan solat jemaah suami isteri membuatkan hubungan suami isteri menjadi lebih kukuh.

Bukan itu sahaja, malahan solat jemaah ini boleh dijadikan senjata untuk memperkuatkan nilai kerohanian dan keimanan jemaahnya khususnya umat Islam.

#4. Lebih Khusyuk dalam Solat

Selain itu, kelebihan solat berjemaah lain ialah ianya memberi kesan kepada solat seseorang itu. Solat jemaah boleh membantu seseorang itu untuk lebih khusyuk dalam solat.

Bacaan dari Imam yang memimpin solat dan dengan suasana yang cukup tenang boleh membantu seseorang
itu menjadi lebih khusyuk di dalam solatnya.

#5. Diampunkan Dosa Oleh Allah S.W.T.

Bagi mereka selalu melazimi solat jemaah ini, Allah S.W.T. akan mengampunkan dosa mereka.

Dosa yang dimaksudkan di sini ialah dosa-dosa kecil yang dilakukannya kerana pengampunan Allah untuk dosa besar perlu melalui taubat dan memohon ampun kepada Allah S.W.T. seperti sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Sesiapa yang berwuduk untuk mengerjakan solat lalu dia berwuduk dengan sempurna kemudian dia pergi ke masjid untuk solat fardhu kemudian dia pun bersolat berserta dengan orang ramai, atau berjemaah atau dalam masjid maka Allah mengampunkan untuknya dosa-dosanya.”

#6. Jaminan Syurga Oleh Allah S.W.T Jika Solat Berjemaah

Kredit gambar: www.bharian.com.my

Kelebihan yang seterusnya ialah jaminan syurga oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T. menjanjikan jaminan syurga bagi mereka yang solat jemaah di “rumahnya”.

Ini seperti sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Tiga golongan semuanya dijamin oleh Allah, seorang yang keluar berperang pada jalan Allah maka Allah jamin sehingga Allah mematikannya lalu dia masuk syurga atau dia kembali dengan memperolehi pahala dan harta rampasan perang. Seorang yang pergi ke masjid maka Allah jamin hingga Allah mematikannya lalu dimasukkan ke dalam syurga atau Allah mengembalikannya dengan mendapat pahala dan ghanimah dan seorang yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam maka Allah jamin ke atasnya.”

#7. Solat Berjemaah Dapat Meningkatkan Kualiti Sembahyang

Melalui solat jemaah, seseorang dapat meningkatkan kualiti solatnya kerana ia boleh memperbaiki kesalahan-kesalahan teknikal seperti gerakan solat dan tajwid melalui contoh dari imam yang memimpin solat.

#8. Hidangan di Syurga

Solat jemaah di dunia dan nikmati hidangan di syurga. Ini kerana Allah S.W.T. akan menyediakan hidangan bagi mereka yang mengerjakan solat secara jemaah di masjid. Ini seperti sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.”

#9. Mendapat Cahaya di Hari Kiamat

Selain itu, Allah S.W.T. juga menjanjikan cahaya di hari kiamat kelak bagi mereka yang sering mengerjakan sembahyang secara berjemaah di masjid. Seperti sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Hendaklah bergembira orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna pada hari Kiamat.”

#10. Sesiapa Yang Solat Berjemaah Akan Diangkat Darjatnya Oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T. akan mengangkat darjatnya oleh Allah S.W.T bagi mereka yang mengerjakan sembahyang secara berjemaah di masjid. Diangkat darjatnya oleh Allah S.W.T. bermaksud penghormatan di dunia juga akhirat kelak.

Sabda Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidakkah aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Para sahabat menjawab, ‘Ya, wahai Rasulullah’, sabda Baginda: ‘Banyak langkah ke masjid dan menunggu satu solat selepas satu solat. Itu adalah ikatan’.”

Oleh itu, solat berjemaah sangat penting dan perlu diamalkan oleh setiap umat Islam kerana ia membawa banyak manfaat dan kebaikan kepada individu dan masyarakat secara keseluruhannya.


Dapatkan pelbagai lagi info dan panduan ibadah yang lain di SINI!