Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Solat Sunat Hari Raya Di Masjid Dan Di Rumah

Cara Solat Sunat Hari Raya Di Masjid Dan Di Rumah

Kredit gambar: istockphoto

Setelah sebulan berpuasa, tibalah hari raya yang meraikan kejayaan orang Islam dalam mentaati perintah Allah.

Kemeriahan sambutannya dimulai dengan takbir raya pada malam hari dan solat sunat hari raya pada keesokan harinya. Sesuai dengan kata-kata Imam Al-Syafi’e:

يُكَبِّرُ النَّاسُ فِي الْفِطْرِ حِينَ تَغِيبُ الشَّمْسُ لَيْلَةَ الْفِطْرِ فُرَادَى، وَجَمَاعَةً فِي كُلِّ حَالٍ حَتَّى يَخْرُجَ الْإِمَامُ لِصَلَاةِ الْعِيدِ ثُمَّ يَقْطَعُونَ التَّكْبِيرَ

Maksudnya: Orang ramai bertakbir pada hari raya puasa ketika hilangnya matahari pada malam raya secara bersendirian dan juga secara berjemaah dalam setiap keadaan sehinggalah imam keluar untuk mendirikan solat hari raya, kemudian mereka berhentikan takbir. – Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/275)

Di pagi hari raya, berbondong-bondonglah umat Islam berjalan menuju ke masjid untuk sama-sama meraih redhaNya. Termasuklah kaum wanita, seperti hadis daripada Ummu ‘Atiyyah R.A.:

 أَمَرَنَا – تَعْنِي النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم – أَنْ نُخْرِجَ فِي الْعِيدَيْنِ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ وَأَمَرَ الْحُيَّضَ أَنْ يَعْتَزِلْنَ مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kami (orang perempuan) untuk mengeluarkan anak-anak gadis dan wanita-wanita berpurdah pada dua hari raya serta baginda arahkan wanita haid agar menjauhi tempat solat umat Islam. – Riwayat Muslim (890)

Tak kurang juga, ada yang solat raya di rumah. Terutamanya dengan situasi wabak yang melanda dunia sekarang kan? Apa pun, dua-dua pun boleh, asalkan perlaksanaannya betul.

Waktu Solat Sunat Hari Raya

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, waktu untuk solat sunat hari raya adalah antara tempoh terbit sehingga tergelincirnya matahari. Kira-kira, sekitar pukul 8.00 pagi sehingga sebelum masuknya waktu solat zohor.

Cara Solat Sunat Hari Raya

Bilangan solat sunat hari raya adalah 2 rakaat. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan Umar Ibn Al-Khattab R.A.:

صَلاَةُ السَّفَرِ رَكْعَتَانِ وَالْجُمُعَةُ رَكْعَتَانِ وَالْعِيدُ رَكْعَتَانِ

Maksudnya: Solat ketika musafir itu adalah sebanyak dua rakaat, solat Jumaat adalah sebanyak dua rakaat, dan solat hari raya adalah sebanyak dua rakaat. – Riwayat Ibn Majah (1063)

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Rakaat Pertama

  1. Mulakan solat sunat hari raya dengan niat seperti berikut:
Kredit gambar: akuislam.com

Usolli sunnatan ‘idilfitri rak’ataini makmuuman lillahi taala

Maksudnya: Sahaja aku sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

  1. Kemudian, lafazkan takbir dan baca doa iftitah.
  2. Diikuti pula dengan takbir zawa’id (tambahan) sebanyak 7 kali yang diselang-selikan dengan bacaan tasbih berikut sebanyak 6 kali.
Kredit gambar: akuislam.com

Subhanallah walhamdulillah wala ilaaha illallahu wallahu akbar walaa haulawalaa quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘adzim

  1. Solat hari raya diteruskan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan surah Al-A’la. Saranan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Al-Nu’man Ibn Basyir R.A.:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ بِـ ‏(‏ سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى ‏)‏ وَ‏هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ ‏

Maksudnya: Nabi S.A.W membaca di dalam solat dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dan juga pada solat Jumaat dengan surah Al-A’la dan juga surah Al-Ghaasyiah. – Riwayat Al-Tirmizi (533)

Rakaat Kedua

  1. Pada rakaat kedua pula, hendaklah dilafazkan takbir tambahan sebanyak 5 kali yang diselang-selikan dengan bacaan tasbih sebanyak 4 kali selepas takbir permulaan rakaat kedua. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.:

أَنَّ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَبَّرَ فِي صَلاَةِ الْعِيدِ سَبْعًا وَخَمْسًا

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W bertakbir pada solat hari raya sebanyak tujuh kali (pada rakaat yang pertama) dan lima kali (pada rakaat yang kedua). – Riwayat Ibn Majah (1728)

  1. Diikuti pula dengan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ghaasyiah seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nu’man di atas.

Jika anda tidak hafal surah Al-A’la dan surah Al-Ghaasyiah, tidak mengapa jika anda ingin baca surah yang lain ya. Ia hanya saranan berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.

Sesudah memberi salam nanti, jika anda solat sunat hari raya ini secara berjemaah, imam akan membacakan khutbah raya sesuai dengan hadis baginda Rasulullah S.A.W.:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ يُصَلُّونَ فِي الْعِيدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ ثُمَّ يَخْطُبُونَ ‏

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W, Abu Bakr, dan Umar menunaikan solat dua hari raya sebelum berkhutbah. Kemudian baru mereka berkhutbah. – Riwayat Al-Tirmizi (531)

Solat Sunat Hari Raya di Rumah

Kredit gambar: istockphoto

Tambahan pula dengan keadaan sekarang, adalah lebih elok jika kita menjaga keselamatan dengan mengerjakan solat hari raya di rumah secara bersendirian mahupun secara berjemaah bersama keluarga.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukumnya adalah harus dan sah. Jika secara berjemaah, adalah disunatkan untuk dibacakan juga khutbah oleh imam di antara anda dan tidak dituntut jika secara bersendirian.

Tatacara solat sunat hari raya di rumah tidaklah berbeza pun, sama sahaja seperti yang dijelaskan di atas. Cumanya, hanya niatnya sahaja yang berbeza ya.

Berdasarkan perkongsian Aku Islam, berikut adalah niat solat sunat hari raya untuk anda yang ingin menjadi imam solat:

Kredit gambar: akuislam.com

Usolli sunnatan ‘idilfitri rak’ataini imaman lillahi taala

Maksudnya: Sahaja aku sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai imam kerana Allah Taala.

Untuk anda yang solat hari raya secara bersendirian di rumah pula, begini niatnya:

Kredit gambar: akuislam.com

Usolli sunnatan ‘idilfitri rak’ataini adaan lillahi taala

Maksudnya: Sahaja aku sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat tunai kerana Allah Taala.

Solat Sunat Hari Raya Adalah Sunat Muakkad

Solat sunat hari raya adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Ia menjadi kebiasaan Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda pada pagi raya.

Ia digalakkan untuk dikerjakan secara berjemaah tetapi dengan situasi kita sekarang, sebaiknya cubalah untuk mengerjakannya secara berjemaah bersama keluarga di rumah ya?

Semoga kita sama-sama mendapat keredhaan Allah dan sentiasa berada dalam kasih sayangNya.