Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Solat Sunat Tahiyatul Masjid: Hukum, Niat & Panduan Melakukannya

panduan Solat Sunat Tahiyatul Masjid

Kredit gambar: Massooll / Shutterstock.com

Solat Sunat Tahiyatul Masjid adalah salah satu solat sunat yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan setiap kali seseorang memasuki masjid atau surau sebelum dia terus duduk di dalam masjid tersebut.

Solat ini terdiri daripada dua rakaat yang dijalankan sebagai tanda penghormatan kepada masjid dan sebagai salam kepada rumah Allah yang kita masuki.

Solat sunat ini berfungsi sebagai solat sunat ‘selamat datang’ yang bertujuan menghormati masjid dan menunjukkan rasa hormat kita kepada Allah.

Highlighted

Kredit gambar: ahmad.faizal / Shutterstock.com

Solat ini menjadi amalan yang disunatkan kepada setiap individu yang memasuki masjid, pada bila-bila masa, sama ada pada waktu larangan untuk solat atau bukan.

Adalah makruh bagi seseorang untuk terus duduk di dalam masjid tanpa melaksanakan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu.

Oleh itu, adalah penting bagi setiap individu yang memasuki masjid untuk melaksanakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid sebagai langkah awal sebelum melakukan aktiviti lain di dalam masjid.

Dengan melaksanakan solat sunat ini, kita menunjukkan penghormatan dan kesedaran terhadap nilai dan keberkatan masjid sebagai tempat suci yang perlu dihormati.

Nabi Muhammad S.A.W. turut bersabda bahawasanya:

“Apabila salah seorang di antara kamu mendatangi/memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim)

Bacaan Doa Masuk Masjid dan Niat Solat Sunat Tahiyatul Masjid

Sebelum memasuki masjid, sebagai umat Islam kita juga digalakkan untuk mengucapkan doa iaitu:

اللهُمَّ اغْفِرْلِي ذُنُونِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Allahummagfirli Zunubi Waftahli Abwaba Rahmatika

Maksudnya: Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu.

Setelah mengambil wuduk dan memasuki masjid, kita perlu berdiri tegak menghadap kiblat dan niatkan di dalam hati dengan niat ini:

أُصَلَّى سُنَّةَ تَحِيَّةِ الْمَسْجِدِرَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnata Tahiyyatil Masjidi Rak’ataini Lillahi Taala

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tahiyatul masjid dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan Cara Solat Sunat Tahiyatul Masjid

Berikut merupakan tatacara solat sunat tahiyatul masjid iaitu:

#1. Mulakan dengan membaca doa masuk masjid.

اللهُمَّ اغْفِرْلِي ذُنُونِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Allahummagfirli Zunubi Waftahli Abwaba Rahmatika

Maksudnya: Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu.

#2. Kemudian dengan niat iktikaf

نَوَيْتُ الإِعْتِكَافَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitul Iktikaf fi Hazal Masjid Lillahi Taala

Maksudnya: Sahaja aku beriktikaf di dalam masjid ini kerana Allah Taala

#3. Seterusnya dirikan solat sama seperti solat sunat yang lain. Mulakan dengan bacaan niat Solat Sunat Tahiyatul Masjid iaitu:

أُصَلَّى سُنَّةَ تَحِيَّةِ الْمَسْجِدِرَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnata Tahiyyatil Masjidi Rak’ataini Lillahi Taala

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tahiyatul masjid dua rakaat kerana Allah Taala.

#4. Setelah membaca niat, baca pula doa iftitah, diikuti dengan bacaan surah al-Fatihah.

#5. Selepas al-Fatihah, pilih mana-mana surah atau boleh juga baca:

  • Pada rakaat pertama surah al-Kafirun
  • Pada rakaat kedua membaca surah al-Ikhlas

#6. Memberi salam.

Kredit gambar: Melnikov Dmitriy / Shutterstock.com

Keutamaan Solat Sunat Tahiyatul Masjid

  1. Solat sunat ini melatih individu meningkatkan ketaqwaan dan kesedaran tentang kehadiran Allah dalam kehidupan sehari-hari.
  2. Ia juga dapat mengajarkan penghormatan terhadap tempat ibadah dan makhluk Allah di sekelilingnya.
  3. Solat ini memberi peluang kepada kita untuk merenung hubungan dengan Allah dan mendapatkan ketenangan jiwa.
  4. Melaksanakan solat sunat ini secara teratur juga dapat mengajar kita tentang disiplin dan tanggungjawab terhadap kewajiban agama.
  5. Memberikan pahala yang berlipat ganda dan keberkatan dari Allah SWT.

Oleh itu, mulai saat ini marilah kita bersama-sama kekal istiqamah dalam melaksanakan solat sunat Tahiyatul Masjid agar tidak kehilangan manfaat dan kelebihan ibadah ini, InsyaAllah!


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.