Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cik Abang Dah Lain? Ini Tanda-tanda Suami Mula Abaikan Perasaan Isteri

suami abaikan perasaan isteri

Di awal perkahwinan isu suami abaikan perasaan isteri mungkin tidak timbul dan kadang kala ia diabaikan begitu sahaja. Saat ini kemanisan mengecapi alam perkahwinan itu memadam kesalahan yang ada walaupun ia jelas di depan mata.

Namun setelah beberapa tahun, pengabaian tersebut makin ketara dan mula menimbulkan pertelingkahan dan pasangan tidak lagi sefahaman. Teguran kecil sekalipun mampu mengundang pergaduhan yang berpanjangan.

Hal ini jika tidak ditangani lebih awal dan diselesaikan dengan cara yang betul boleh mendatangkan akibat yang lebih buruk seperti perceraian.

Terdapat beberapa tanda jelas yang boleh anda perhatikan mengenai isu pengabaian ini seperti yang telah kami kongsikan di bawah ini. Jom semak!

Tanda Suami Abaikan Perasaan Isteri

Antara tanda-tanda pengabaian oleh suami terhadap isteri yang berlaku dalam rumah tangga kini ialah:

#1. Suami Abaikan Perasaan Isteri Tentang Ilmu Agama

Highlighted

Kredit gambar: www.kosmo.com.my

Suami merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga. Adalah menjadi tanggungjawab seorang suami dalam mendidik keluarganya mengenai ilmu agama supaya kehidupan berumah tangga lebih harmoni dan diberkati Allah.

Zaman sekarang ni, ramai yang kurang memberikan perhatian pada didikan ilmu agama. Malah, terdapat suami yang langsung tidak mementingkannya.

Mereka membiarkan isteri melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah, dan akhirnya, isteri yang mengharapkan suami sebagai pembimbingnya ke syurga terus leka dengan kehidupannya sendiri.

#2. Suami Abaikan Isteri Dari Segi Nafkah

Pada masa kini, kebanyakan isteri mempunyai kerjaya dan pendapatan sendiri. Hal demikian membuatkan suami lepas tangan dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan ke atas isteri.

Lama-kelamaan, tindakan suami yang culas dalam memberikan nafkah ini boleh membuatkan isteri tawar hati dan memilih untuk hidup sendiri.

#3. Menzalimi Isteri

Mendapat suami yang panas baran boleh menjadi trauma terbesar dalam hidup seorang isteri. Sifat perwatakannya yang lembut dan penyabar mula bertukar watak.

Suami mula menjadi kaki pukul dan sering kali mengangkat tangan ke atas isteri walaupun isteri melakukan kesalahan kecil contohnya terlambat membancuh air yang diminta atau tersalah menyediakan keperluannya.

#4. Curang

Perkara paling menyakitkan bagi seorang isteri adalah suami yang berlaku curang terhadapnya. Suami yang suka berfoya-foya tanpa memikirkan perasaan isteri semakin menjadi-jadi pada masa kini.

Suami sudah mulai tidak setia dan langsung tidak mempedulikan kewujudan isteri di sisi. Tiada lagi istilah bermanja-manja dan luangkan masa berdua.

#5. Mengabaikan Tanggungjawab

Kalau dahulu, tugas dalam rumah tangga dilakukan bersama-sama, tapi kini suami melepaskan tanggungjawab menguruskan rumah tangga ke atas bahu isteri sepenuhnya.

Isterilah yang menguruskan keperluan rumah tangga, membesarkan anak-anak, menguruskan persekolahan anak-anak sehinggakan tiada masa untuk memanjakan dirinya sendiri.

#6. Tidak Berkongsi Cerita

Jika sebelum ini, suami suka berkongsi banyak cerita tetapi kini suami lebih banyak mendiamkan diri dan tidak menceritakan hal hariannya serta keadaan di tempat kerja dan sebagainya seperti dahulu lagi.

#7. Suami Abaikan Perasaan Isteri Apabila Melebihkan Orang Lain

Selain itu, tindakan suami yang lebih mementingkan orang lain daripada isteri juga merupakan salah satu tanda bahawa perasaan anda telah diabaikan.

#8. Tidak Romantis

Suami yang romantis menjadi idaman setiap wanita. Malangnya, kalau dahulu suami selalu membelai dan mengucapkan kata romantis, tetapi sekarang semua itu sudah tidak diungkapkan lagi. Malah, ketika sakit sekalipun, langsung tiada pertanyaan khabar darinya.

#9. Pentingkan Diri Sendiri

Kebanyakan suami lebih mementingkan diri sendiri sama ada dari segi keperluan mahupun perasaan. Lebih parah apabila ada suami yang melebihkan hobinya dari keperluan rumah tanggga.

Kebanyakan dari pendapatannya dihabiskan untuk hobinya. Ada juga yang suka menghabiskan masa melepak bersama kawan-kawan selepas waktu bekerja atau pada masa cuti.

#10. Mengaibkan Isteri

Segelintir suami suka menyindir atau membuka aib isteri di hadapan kawan-kawan ataupun keluarga. Tidak kurang juga ada yang suka membanding-bandingkan isteri dengan perempuan lain.

Hidup berumah tangga memerlukan kerjasama dari kedua-dua pihak. Jika salah seorang mula menjauh diri atau tawar hati, kebahagiaan dalam rumah tangga pasti akan mulai musnah.

Oleh itu, kedua-dua pihak perlu saling berterus-terang, cari punca masalah dan sentiasa cari jalan penyelesaian bagi mengatasinya.

Janganlah anda sebagai suami abaikan perasaan isteri yang telah banyak berkorban dari segala segi untuk hidup kekal bersama.

Semoga perkahwinan yang terbina atas dasar cinta dan kasih sayang akan kekal kukuh serta penuh kebahagiaan hingga ke syurga, InsyaAllah!

Jika anda sedang melalui hubungan jarak jauh dengan suami, ketahui juga tips-tips untuk kekalkan perkahwinan di SINI!


Eratkan hubungan anda suami isteri dengan pelbagai tips dan panduan menarik di SINI.