Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Maklumat Mengenai Suhu Demam Bayi Yang Ibu Bapa Patut Tahu

Foto Kredit: Adobe Stock

Ibu bapa mana yang tidak bimbang apabila si anak mengalami demam panas.

Melihatkan wajah si manja yang selalu gembira, kini jadi lemah dan tak lalu makan, sudah pasti anda dan suami tak tenang duduk mengenangkan anak kesayangan yang demam.

Adakah anda tahu berapakah suhu demam bayi yang sebenar? Dan mengapa bayi anda demam? Jom ketahui maklumat lanjut mengenai suhu demam bayi di sini. 

Berapa Suhu Demam Bayi?

Highlighted

Foto Kredit: Shutterstock

Suhu demam bayi adalah 38.0°C dan keatas. Apabila bayi mencapai suhu 39.0°C, ia dikatakan tinggi sehingga memerlukan rawatan di wad. 

Oleh itu, amat penting bagi Mama mengenalpasti suhu demam bayi dengan segera untuk mengelakkan daripada menjadi lebih teruk. 

Mengapa Bayi Boleh Demam?

Demam sebenarnya, bukanlah sejenis penyakit, tetapi, ia dianggap sebagai simptom kepada sesuatu penyakit

Bayi atau diri anda demam menunjukkan bahawa tubuh badan anda sedang melawan penyakit dan sistem kekebalan tubuh sedang berfungsi.

Sebab itu sekiranya bayi Mama demam, ia bermaksud si manja anda mungkin terkena jangkitan selesema atau virus lain.

Walaupun jarang terjadi pada bayi, namun jangkitan-jangkitan seperti pneumonia, jangkitan saluran kencing, jangkitan telinga, atau jangkitan yang lebih serius seperti jangkitan bakteria darah atau meningitis mungkin juga akan menyebabkan demam.

Penyebab demam lain pada bayi juga termasuk:

  • Tindak balas terhadap vaksinasi.
  • Menjadi terlalu panas kerana berpakaian terlalu panas atau menghabiskan terlalu banyak masa di luar pada hari yang panas.
  • Tidur yang tidak cukup.
  • Makan makanan yang tidak baik.
  • Kurang minat bermain.
  • Kurang aktif atau lesu.
  • Kejang atau sawan.

Tanda-Tanda Demam Panas

Berikut merupakan tanda-tanda demam panas yang memerlukan anda segera membawa si manja ke hospital:

Foto Kredit: Shutterstock

Perkara terpenting yang dapat Mama lakukan ketika anak anda demam adalah dengan memastikan dia minum air yang mencukupi, kekal hidrat dan selesa, disamping melihat sebarang tanda-tanda penyakit serius. 

Kalau anak Mama bermain dan berinteraksi dengan anda selepas menerima ubat, ia menunjukkan satu petanda yang baik.

Namun begitu, sekiranya tidak dan dia menunjukkan tanda-tanda di bawah, Mama harus segera bawanya berjumpa doktor:

  • Nampak sangat sakit, mengantuk secara luar biasa, atau sangat cerewet.
  • Telah berada di tempat yang sangat panas, seperti kereta yang terlalu panas.
  • Mempunyai gejala lain, seperti leher yang lenguh, sakit kepala yang teruk, sakit tekak, sakit telinga, ruam yang tidak dapat dijelaskan, muntah atau cirit-birit berulang.
  • Mempunyai masalah sistem imun, seperti penyakit sel sabit atau barah, atau mengambil steroid.
  • Mengalami sawan.
  • Lebih muda dari 3 bulan (12 minggu) dan mempunyai suhu (38.0°C) atau lebih tinggi.
  • Demam melebihi 40°C berulang kali untuk kanak-kanak dari pelbagai peringkat usia. 

Merawat Bayi Demam

Foto Kredit: Shutterstock

Sebelum Mama mencuba sebarang rawatan di rumah, Mama boleh mengira suhu badan bayi dengan betul terlebih dahulu.

Jika suhunya masih boleh dikawal, Mama boleh mencuba petua dan cara berikut bagi menurunkan suhu demam bayi:

  • Mandi bayi anda dengan air suam. Jangan sekali-kali menggunakan air sejuk atau alkohol untuk memandikan bayi anda kerana boleh menyebabkan dia menggigil dan meningkatkan suhu badan.
  • Pakaikan bayi anda dengan pakaian yang ringan dan selesa.
  • Pastikan bayi anda mendapat cukup cecair untuk mencegah dehidrasi.
  • JANGAN sekali-kali memberi aspirin kepada bayi anda untuk merawat demam. Aspirin telah dikaitkan dengan sindrom Reye, penyakit yang jarang berlaku tetapi berpotensi serius yang mempengaruhi sistem saraf dan boleh melemahkan atau bahkan membawa maut pada kanak-kanak.
  • Acetaminophen dan ibuprofen adalah dua ubat yang membantu melawan demam kanak-kanak. 
    • Acetaminophen boleh diberikan kepada bayi berusia lebih dari 3 bulan, tetapi kanak-kanak yang berumur kurang dari 6 bulan tidak boleh diberi ibuprofen.
    • Apa-apa pun, Mama harus membaca arahan pada bungkusan atau mengikut nasihat dan dos ubat yang disyorkan doktor. 

Sebagai ibu bapa, ada masa kita fikirkan anak kita hanya mengalami demam biasa atau sementara sahaja. Mungkin betul, tetapi mungkin juga tidak.

Tambahan pula bagi bayi dan anak-anak di bawah umur 1 tahun, tahap imunisasi dan suhu demam bayi dan suhu demam kita yang dewasa adalah berbeza.

Sekiranya anak Mama demam, Mama harus sentiasa periksa suhu badan si manja setiap jam. Jika bayi Mama mengalami muntah-muntah dan suhu demam bayi yang tinggi, terus bawa bayi anda ke klinik yang berdekatan untuk rawatan.