Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Adakah Suhu Normal Bayi Sama Seperti Suhu Badan Orang Dewasa?

Photo Credit: Adobe Stock

Anak batuk-batuk dan suhu badan bayi terasa panas? Pernah tidak anda lalui situasi di mana suhu badan anda naik mendadak? Mesti anda risau dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

Sebenarnya, kajian telah menunjukkan bahawa baju yang tebal dan mempunyai banyak lapisan serta suhu bilik yang tinggi boleh menjadi punca kepada kenaikan suhu badan bayi. 

Mesti anda terkejut bukan? Ramai ibu bapa yang risaukan anak kesejukan dan mereka terus memakaikan baju yang tebal dan berlapis untuk bayi mereka.

Sebenarnya, ini adalah salah satu kesilapan besar yang sering dilakukan oleh ibu bapa. 

Apakah Suhu Badan Normal Bayi?

Untuk pengetahuan anda, suhu normal badan manusia dan bayi adalah sekitar 36.5°C dan suhu tinggi atau suhu demam buat bayi adalah 38°C dan keatas. 

Bilakah Ibu Bapa Perlu Risau Tentang Suhu Bayi?

Selalunya, suhu badan bayi yang normal tetap antara 36.5°C dan 37.5°C.

Bacaan suhu yang tinggi lebih daripada suhu tersebut akan dianggap demam.

Macam mana kita boleh pastikan? Ini adalah tanda-tanda yang ibu bapa harus tahu dan peka!

Tanda-tanda Suhu Badan Bayi Anda Demam

Highlighted

Foto Kredit: Adobe Stock

Berdasarkan laman health+plus, berikut merupakan tanda-tanda bayi anda mempunyai suhu yang tinggi: 

  • Badan bayi berasa suam bila disentuh
  • Kulit bayi kemerahan
  • Jantung bayi berdegup laju
  • Bayi kerap tidur dan kurang memberi respon
  • Bayi tidak berpeluh walaupun demam
  • Bayi sering muntah
  • Bayi kelihatan pening dan mual
  • Menangis secara tidak normal dan tanpa henti 

Jika bayi anda mempunyai simptom-simptom di atas, anda dinasihatkan agar terus mengambil tindakan yang pantas dan pergi ke hospital atau klinik yang terdekat dengan segera!

Apabila bayi demam, perkara yang terbaik sekali adalah untuk ibu bapa bersedia.

Bila bayi anda tidak sihat, selalunya akan dikaitkan dengan demam yang sering menjadi tanda pertama yang akan mendatangkan masalah lain.

Demam selalunya menunjukkan tanda bahawa sistem ketahanan badan sedang melawan penyakit ataupun infeksi. 

Adakah Suhu Badan Sama Bagi Setiap Peringkat Usia?

Foto Kredit: Adobe Stock

Tidak ada satu nombor pun di dalam dunia ini yang mewakili suhu normal untuk semua individu.

Suhu badan normal amat berbeza-beza antara individu ke individu.  

Walaupun disukat hanya pada seseorang individu, suhu badan individu tersebut itu juga akan selalu berubah, sepanjang hari, bergantung pada keadaan individu dan tahap aktiviti metabolik.

Berdasarkan satu kajian, pemerhatian yang paling ketara adalah bahawa suhu badan bervariasi mengikut usia.

Suhu individu yang lebih berusia jauh lebih rendah berbanding dengan individu yang berusia muda dalam kalangan lelaki dan wanita.

Suhu badan normal tidak banyak berubah dengan penuaan. Tetapi seiring dengan pertambahan usia, badan anda akan menjadi sukar untuk mengawal suhunya.

Penurunan jumlah lemak di bawah kulit menjadikannya lebih sukar untuk kekal panas.

Obesiti juga dikaitkan dengan suhu badan rata-rata lebih tinggi pada setiap kumpulan umur untuk lelaki dan wanita.

Berat badan juga memainkan peranan yang besar dalam suhu badan manusia. 

Cara Untuk Mengukur Suhu Badan Bayi Dengan Tepat

Untuk ibu bapa yang mempunyai bayi kecil, pastikan anda mempunyai termometer digital di rumah supaya anda mudah untuk memeriksa suhu badan bayi apabila perlu. 

Elakkan daripada menggunakan termometer merkuri kaca kerana risau ia mudah pecah lalu menyebabkan kecederaan.

  • Cara yang betul untuk menyukat suhu bayi yang tepat melalui rektum:

Foto Kredit: Adobe Stock
  1. Baringkan bayi anda secara posisi meniarap.
  2. Letakkan/sapukan sebilangan jeli petroleum di hujung termometer dan di hujung dubur bayi anda.
  3. Luncurkan termometer dengan perlahan ke dalam dubur TIDAK LEBIH dari 1 inci.
  4. Lakukan proses ini dengan lembut dan berhati-hati
  5. Pestikan bayi anda dalam keadaan tenang dan tidak banyak bergerak supaya tidak terlanggar termometer itu dari termasuk lebih kedalam punggung. 

Anda boleh memeriksa suhu kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke atas melalui bawah lidah, dan menutup mulut sepanjang masa suhu diambil.

Jenis Termometer  Yang Ibu Bapa Boleh Guna

Foto Kredit: Adobe Stock

Terdapat pelbagai jenis termometer (jangka suhu) yang berada di pasaran. Pilihlah yang berkualiti tinggi dan tahan lama walaupun harganya sedikit mahal berbanding yang murah. 

Termometer Digital

Foto Kredit: Adobe Stock

Termometer jenis digital ini memang paling banyak digunakan. Harganya berpatutan, dan terdapat pelbagai jenis yang mudah untuk digunakan. 

Ia boleh digunakan sama ada di dalam mulut, ketiak atau punggung.

Pastikan anda tidak menggunakannya di bahagian ketiak kerana suhu ketiak adalah bacaan yang paling tidak tepat.

Termometer digital akan menunjukkan suhu yang paling tepat di bahagian punggung, terutamanya untuk kanak-kanak berumur 3 bulan hingga umur 3 tahun.

Termometer Digital Telinga

Foto Kredit: Adobe Stock

Termometer ini menggunakan sinaran inframerah untuk menyukat suhu dari dalam saluran pendengaran.

Sesuai untuk kanak-kanak yang berusia 6 bulan ke atas dan orang dewasa sahaja. Tidak digalakkan untuk bayi baru lahir.

Termometer Temporal Artery (Termometer Dahi)

Foto Kredit: Adobe Stock

Termometer ini juga menggunakan sinaran inframerah untuk menentukan suhu pada dahi, terutamanya di kawasan yang diselaputi saluran darah temporal (dahi dan sebahagian kawasan atas telinga).

Boleh digunakan untuk semua peringkat usia termasuklah bayi baru lahir.

Walaupun mengikut kajian, termometer paling tepat adalah menggunakan suhu punggung untuk bayi baru lahir.

Namun, termometer ini adalah alternatif terbaik selain termometer punggung.

Macam Mana Ingin Mengelakkan Demam?

Foto Kredit: Adobe Stock

Bila si kecil kita demam, hati ibu mana yang tidak rapuh? Ibu bapa seboleh-bolehnya inginkan anak mereka sihat dan elak daripada penyakit dan demam.

Ini adalah salah-satu cara-cara untuk mengelakkan bayi anda daripada demam:

  • Pastikan bayi anda minum air yang secukupnya (air putih atau susu badan) untuk mengelakkan dehidrasi.
  • Gunakan kain yang direndam air suam dan sapukan pada badan bayi untuk mendapatkan suhu normal bayi.
  • Tempatkan bayi anda di ruang ventilasi yang baik.
  • Elakkan bayi daripada berada di luar ataupun ruang yang ramai orang.
  • Berikan ‘paracetamol’ khas untuk bayi yang telah ditetapkan oleh doktor.

JANGAN lakukan perkara-perkara ini terhadap bayi anda:

  • Memakaikan bayi dengan pakaian yang berlapis atau berlebihan.
  • Merendam badan bayi di dalam air yang sejuk beku (air yang mempunyai ais di dalamnya).
  • Memberi ubat kepada bayi yang berumur tidak lebih 2 bulan tanpa konsultasi daripada doktor. 

Pesanan akhir untuk ibu bapa adalah untuk sentiasa berjaga-jaga dan peka akan perkembangan cahaya mata anda.

Pastikan anda ingat akan tanda-tanda dan cara-cara yang diberikan supaya dapat mengelakkan suhu demam.

Jika suhu bayi anda lebih tinggi daripada normal, pastikan anda terus membawa bayi anda ke klinik atau hospital yang berdekatan.