Sunat atau khatan anak perempuan hendaklah dilakukan dengan cara yang tertentu pada waktu yang sesuai. Jika dibandingkan, proses sunat anak perempuan ini tidaklah serumit anak lelaki.
Telah dinyatakan sebuah hadis Rasulullah S.A.W. dalam perkongsian oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ
Maksudnya: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih (no. 349)
Berdasarkan hadis ini, jelaslah bahawa lelaki dan perempuan hendaklah berkhatan.
Umur Yang Sesuai Untuk Sunat Bayi Perempuan
Sebenarnya, tiada waktu yang spesifik untuk melakukan khatan anak perempuan. Tetapi, amatlah disarankan untuk menyunatkan anak perempuan ketika mereka masih bayi iaitu sekitar umur 3 bulan ke bawah.
Pada waktu ini, mereka masih tidak boleh bergerak atau membalikkan badan sendiri lagi. Jadi proses penyembuhan selepas bersunat akan lebih cepat dan mudah.
Hukum Sunat Bayi Perempuan Dalam Islam
Jika untuk anak lelaki, adalah jelas bahawa bersunat itu diwajibkan. Tetapi untuk anak perempuan, ada yang masih keliru tentangnya.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum bersunat bagi anak perempuan adalah wajib ya.
Bahagian Anatomi Yang Terlibat Dalam Proses Sunat Bayi Perempuan
Rasa-rasanya, secara umum memang jelas tentang prosedur sunat anak perempuan ni. Telah dinyatakan dengan terperinci oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang bahagian yang wajib dibuang ketika berkhatan.
Untuk anak perempuan, bahagian anatomi yang terlibat hanyalah bahagian kulit di atas saluran kencing (klitoris) yang menyerupa balung ayam jantan.
Menurut Klinik Tuah, bahagian yang dibuang ini hanyalah sebahagian kecil kulit. Atau seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ia sekadar untuk dinipiskan atau dikemaskan sahaja. Adalah ditegah dalam agama kita untuk memotong secara berlebih-lebihan.
Sesuai dengan hadis Rasulullah S.A.W. daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah ketika berlakunya perlaksanaan khatan di kalangan orang perempuan Madinah:
لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ
Maksudnya: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.” – Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan (no. 5271). Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/301-302) oleh Imam al-Nawawi.
Kelebihan Sunat Bayi Perempuan Dari Segi Islam Dan Sains
Apa yang disarankan oleh agama itu pastinya ada manfaat untuk kita. Sebaliknya juga, jika terdapatnya kemudaratan pada sesuatu hal itu, pasti akan ditegah oleh agama kerana Islam adalah agama yang menjaga kesejahteraan.
Dalam anjuran agama supaya bayi perempuan berkhatan, terdapatnya beberapa manfaat untuk kaum wanita.
Antaranya adalah:
1. Kebersihan kemaluan lebih terjaga
2. Dapat menghindari penyakit sekitar alat sulit
3. Menambahkan kelazatan syahwat apabila berhubungan intim
Cara Penjagaan Selepas Sunat Bayi Perempuan
Disebabkan lukanya yang kecil sahaja, tidaklah begitu susah untuk menjaganya. Dengan penjagaan yang betul, luka ini boleh sembuh antara 2 hingga 3 hari sahaja tau.
Antara cara penjagaan yang Mommy dan Daddy harus peka ialah:
1. Hendaklah sentiasa tukar lampin bayi
2. Letakkan kapas lembut di bahagian luka supaya lebih terlindung
3. Pastikan bahagian luka sentiasa kering
Yang penting, aspek kebersihan mesti jaga ya.
Khas untuk Mommy yang pertama kali menjadi ibu, dapatkan pelbagai tawaran menarik dengan menyertai program Motherhood New Mom Privilege hari ini.