Hari jumaat merupakan hari yang paling mulia dan pada hari tersebut terdapat banyak amalan sunnah hari jumaat yang boleh umat islam lakukan. Sesuatu amalan yang dilakukan juga perlulah disertakan niat dan tujuan yang baik sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a. iaitu:
إنَّما الأعْمالُ بالنِّيَّةِ، وإنَّما لِامْرِئٍ ما نَوى، فمَن كانَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللَّهِ ورَسولِهِ، فَهِجْرَتُهُ إلى اللَّهِ ورَسولِهِ، ومَن كانَتْ هِجْرَتُهُ إلى دُنْيا يُصِيبُها أوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُها، فَهِجْرَتُهُ إلى ما هاجَرَ إلَيْهِ.
Maksudnya:
“Sesungguhnya setiap perbuatan berdasarkan kepada niat dan setiap orang itu diganjari berdasarkan apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang hijrahnya dilakukan kerana Allah SWT dan rasul-Nya, maka hijrahnya itu untuk Allah SWT dan rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah untuk apa yang dihijrahkan kepadanya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari 6689)
Highlighted
Terdapat banyak kelebihan ketika anda beramal pada hari jumaat disebabkan kemuliaannya. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan nabi Adam AS, dia dimasukkan ke dalam Syurga dan dia dikeluarkan daripadanya. Dan pada hari tersebut, terdapat satu waktu yang mana jika seseorang muslim berdiri mendirikan solat dan berdoa kepada Allah SWT akan sesuatu hajatnya, nescaya Allah SWT akan memberi apa yang dihajatkannya tersebut.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari 935)
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda bahawa:
الصَّلَاةُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ، مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ
Maksudnya:
“Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar.”
(Hadis Riwayat Muslim 233)
Oleh itu, rugi rasanya kalau kita tidak gunakan kemuliaan jumaat ini untuk mendapat pahala yang berlipat kali ganda dengan mengamalkan semua sunnah hari jumaat yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Di bawah ini merupakan amalan sunnah hari jumaat yang boleh anda amalkan!
Senarai Amalan Sunnah Hari Jumaat Ikut Dalil
Berikut merupakan perkara sunnah hari jumaat iaitu:
#1. Sunnah Jumaat Memakai Wangian
Disunnahkan berbau wangi dengan memakai wangian seperti yang telah diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
#2. Bersugi atau Bersiwak Merupakan Amalan Jumaat
Daripada Abu Hurairah r.a. dan beliau memarfu’kannya kepada Nabi Muhammad S.A.W, Baginda bersabda:
“Jika sekiranya aku tidak akan memberatkan kepada umatku, nescaya aku benar-benar akan memerintahkan mereka untuk bersiwak pada setiap kali solat.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari, No 887, 7242, Muslim, No 252, Abu Dawud, No 47)
#3. Mandi Sebelum Pergi Solat Jumaat
Disunnahkan mandi sebelum pergi solat jumaat dan boleh dilakukan setelah subuh hingga azan Jumaat.
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad S.A.W. beliau bersabda:
“Barangsiapa yang mandi kemudian datang ke hari Jumaat, kemudian dia solat semampunya dan diam (mendengar khutbah) hingga selesai, kemudian dia melanjutkan solat. dengan imam, maka diampuni (dosa-dosa yang dilakukannya) antara hari itu dengan Jumaat yang lain. Dan bahkan lebih dari tiga hari.”
(Hadis Riwayat Muslim No. 857)
Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
“Mandi hari Jumaat adalah wajib atas setiap muslim yang sudah baligh.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Antara hadis sunnah hari jumaat adalah dari Samurah bin Jundab, bahawa Rasulullah S.A.W, telah bersabda:
“Barangsiapa hanya berwuduk di hari Jumaat, maka soleh dan baik, dan barangsiapa mandi, maka mandi itu lebih utama.”
(Lihat: Sahih wa Dhaif Sunaan Tirmizi l/497,asy-Syamilah.)
#4. Memperbanyakkan Zikir dan Doa Merupakan Sunat Hari Jumaat
Pada hari Jumaat, terdapat waktu mustajab doa yang telah dinyatakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. bahawa pada saat itu, doa-doa yang telah dimohon ia tidak akan ditolak.
Hal ini juga didukung oleh Asy-Syaukani yang berkata:
“Nas-nas telah datang secara mutawatir bahawa pada hari Jumaat terdapat satu saat di mana tidaklah seorang hamba meminta sesuatu kepada Rabb-nya kecuali akan diberikan kepadanya.”
Malah terdapat lebih dari 40 pendapat, tetapi Asy-Syaukani telah menghitungnya, dan dinukil dari al-Muhibb At-Thabari, yang membawa maksud:
Antara hadis yang paling sahih adalah hadis Abu Musa bahawa ia mendengar Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
“Saat itu terjadi antara duduknya imam (ketika khutbah Jumaat) hingga solat (Jumaat) ditunaikan.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Malah, Nabi Muhammad S.A.W, turut bersabda mengenai waktu doa mustajab iaitu:
يَوْمُ الجُمُعة ثِنْتَا عَشْرَةَ سَاعَةً ، لاَ يُوجَد فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ الله شَيْئاً إِلاَّ آتَاهُ إِيَّاهُ ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ العَصْر
Maksudnya:
“Hari Jumaat ada 12 bahagian masa yang mana tiada seorang hamba muslim berdoa padanya kecuali akan diberikan (maqbul), maka carilah ia di hujung waktu selepas asar.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
#5. Amalan Hari Jumaat dengan Memperbanyakkan Selawat
Rasulullâh S.A.W. bersabda:
“Perbanyaklah selawat kepadaku di hari Jumaat dan malam Jumaat. Barangsiapa membaca selawat untukku satu kali, maka Allah berselawat (memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali.”
(lihat : As-Sahihah Mukhtasarah lll/397, Asy-Syamilah)
#6. Sunat Hari Jumaat Memotong Kuku
Rasulullah S.A.W. telah bersabda bahawa:
خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
Maksudnya:
“Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari No. 5550) dan Muslim No. 257)
Walaupun tidak dinyatakan hari tertentu untuk memotong kuku, namun terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat seperti:
Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi’in) berkata:
“Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.”
(Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)
Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan bahawa:
“Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.”
(Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/65)
#7. Amalan Jumaat Jika Membaca Surah Al Kahfi
Antara hadis sahih disyariatkan agar membaca surah Al Kahfi pada malam dan siang hari Jumaat serta kelebihannya adalah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:
“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”
(Sunan Ad-Darimi 3273. An-Nasa’i dan Al-Hakim)
Malah, dalam riwayat lain iaitu dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a pula menyatakan bahawa:
“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.”
(Hadis Riwayat Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘ Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata hadis ini paling kuat tentang surah Al-Kahfi)
#8. Sunnah di Hari Jumaat Jika Pergi Ke Masjid Awal Waktu
Allah S.W.T berfirman yang membawa maksud:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوْمِ ٱلْجُمُعَةِ فَٱسْعَوْا۟ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
(Surah al-Jum’ah, ayat 9)
Malah, Abu Hurairah r.a. turut meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
مَن اغتَسَلَ يومَ الجُمُعةِ غُسلَ الجَنابةِ، ثم راحَ في السَّاعةِ الأُولى، فكأنَّما قرَّب بَدنةً، ومَن راحَ في السَّاعةِ الثانيةِ، فكأنَّما قرَّبَ بقرةً، ومَن راح في السَّاعةِ الثالثة، فكأنَّما قرَّبَ كبشًا أقرنَ، ومَن راحَ في السَّاعةِ الرابعة، فكأنَّما قرَّبَ دَجاجةً، ومَن راح في السَّاعةِ الخامسةِ، فكأنَّما قرَّب بيضةً، فإذا خرَج الإمامُ حضرتِ الملائكةُ يَستمِعونَ الذِّكرَ، رواه الجماعة إلا ابن ماجه
Maksudnya:
“Siapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah, kemudian segera datang ke masjid pada waktu yang pertama, maka dia seperti mengorbankan seekor unta, siapa yang datang ke masjid pada waktu yang kedua, maka dia seperti mengorbankan seekor lembu, siapa yang datang ke masjid pada waktu ketiga, maka dia seperti mengorbakan seekor kibas bertanduk, siapa yang datang ke masjid pada waktu keempat, maka dia seperti korbankan seekor ayam, siapa yang datang ke masjid pada waktu kelima, maka dia seperti korbankan sebiji telur. Maka apabila imam telah keluar bergerak menunju ke mimbar, maka para malaikat akan turut hadir mendengar khutbah yang akan disampaikan.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Semoga dengan penerangan di atas berkenaan perkara sunnah hari jumaat, kita dapat beramal dengannya dan beroleh ganjaran, InsyaAllah!
Dapatkan pelbagai lagi info dan panduan ibadah yang lain di SINI!