Terdapat pelbagai kebaikan jika Mommy mengamalkan bacaan ayat suci Al-Quran ketika hamil. Antara surah untuk ibu mengandung yang banyak jadi pilihan para ibu adalah Surah Maryam. Tetapi kalau Mommy nak tahu, bukan Surah Maryam sahaja yang ada, banyak lagi surah-surah lain yang tak kurang hebatnya dan sangat bermanfaat untuk Mommy amalkan.
Untuk makluman, melalui satu kajian saintifik bunyian yang terhasil di luar perut sebenarnya mampu mempengaruhi janin. Dari sudut Islam pula, alunan zikir dan bacaan ayat Al-Quran ini menjadikan anak lebih tenang dan damai kerana terdapat perubahan secara fisiologi pada sistem saraf ketika mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Malah, ianya juga mampu untuk membantu merangsang perkembangan sel otak janin dan kebaikannya pula bukan hanya untuk bayi yang dikandung sahaja tetapi untuk diri Mommy sendiri juga.
Senarai 16 Surah Untuk Ibu Mengandung Amalkan Sepanjang Hamil
Semasa dalam keadaan hamil, Islam menggalakkan para ibu supaya mengamalkan segala perkara yang baik terutamanya melazimi diri membaca ayat suci Al-Quran.
Hal ini adalah kerana bagi membentuk peribadi yang baik di dalam diri anak sejak dari dalam rahim lagi. Berikut adalah beberapa surah pilihan yang terbaik untuk diamalkan oleh para ibu yang sedang hamil iaitu :
#1. Surah Al-Fatihah
Surah Al-Fatihah merupakan ayat lazim atau wajib diamalkan dalam solat, dan sebahagian besar dari doa-doa juga turut dimulakan dengan Surah Al-Fatihah.
Surah Al-Fatihah juga adalah surah pertama dalam Al-Quran yang memiliki keutamaan yang luar biasa. Selain itu, ianya juga mampu menjadi penyembuh kepada pelbagai penyakit.
Kalau Mommy rasa sakit di mana-mana bahagian badan, bacalah Surah Al-Fatihah, kemudian tiup di kedua-dua telapak tangan dan usap di bahagian yang sakit, InsyaAllah akan berkurang sakitnya.
#2. Surah Maryam
Surah Maryam ini adalah mengenai kisah perjuangan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa a.s. Surah Maryam ini sangat elok diamalkan untuk memudahkan proses bersalin nanti.
#3. Surah At-Taubah
Surah ini pula adalah untuk membersihkan jiwa dan supaya anak tidak terlibat di dalam gejala kemaksiatan.
#4. Surah Yusuf
Doa ini diamalkan agar anak yang dilahirkan nanti akan cantik rupa paras dan juga akhlaknya.
#5. Surah Yassin
Surah Yassin memiliki keajaiban yang sangat luar biasa bagi siapa yang sering mengamalkannya. Jika Mommy berasa sedih dan tidak tenteram, jadikan surah ini sebagai surah wajib setiap hari.
Paling terbaik, amalkan setiap kali selesai solat. Pastinya Mommy dan baby akan berasa gembira dan mendapat ketenangan hati yang luar biasa.
#6. Surah Al-Hujurat
Doa untuk memperbanyakkan susu ibu dan melahirkan anak yang bersifat berhati-hati.
#7. Surah Luqman
Doa ini juga boleh diamalkan untuk melahirkan anak yang cerdik akalnya dan terang hati.
#8. Surah An-Nahl (Ayat 78)
Doa ini pula adalah untuk memohon agar anak yang dilahirkan nanti mempunyai sikap rajin dan berdisiplin.
#9. Surah Al-Imran (Ayat 38)
Kalau Mommy inginkan anak yang soleh dan solehah, amalkan surah ini setiap kali usai solat.
#10. Surah Al-Imran (Ayat 8-9)
Hidup ini pastinya akan terasa lebih bahagia dan tenang sekiranya mendapat redha dan rahmat daripada Allah S.W.T, oleh itu amalkan surah ini sebagai doa untuk memperoleh rahmat dari-Nya.
#11. Surah Al-Imran (Ayat 192-194)
Surah Al-Imran ini adalah surah untuk memohon keampunan daripada Allah S.W.T, sebaiknya diamalkan sentiasa.
#12. Surah Ibrahim (Ayat 40-41)
Doa ini sangat elok diamalkan supaya zuriat keturunan tetap solat dan tidak meninggalkannya.
#13. Surah Al-Baqarah (Ayat 286)
Amalkan ayat terakhir dalam Surah Al-Baqarah sebagai doa untuk Mommy dan anak yang berada dalam kandungan sentiasa dilindungi dan terjaga dengan baik.
Ayat terakhir ini adalah mengenai permohonan ampun dan memohon perlindungan dari Allah S.W.T.
“Ya tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami telah lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya tuhan kami, janganlah Engkau berikan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami.
Ya tuhan kami, janganlah Engkau berikan kepada kami beban apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”
Surah Al-Baqarah Ayat 286
#14. Surah Al-Baqarah (Ayat 128)
Untuk lahirkan zuriat yang patuh dan taat dengan perintah Allah amalkan surah ini setiap hari.
#15. Surah Al-Furqan (Ayat 74)
Amalkan surah ini untuk memiliki anak yang menyejukkan serta menenangkan hati ibu bapa dan membahagiakan keluarga.
#16. Surah Al-Waqiah
Surah ini juga sangat digalakkan untuk diamalkan oleh ibu hamil supaya rezeki bertambah luas, tidak pernah sempit dan kekurangan, dan melimpah ruah serta diberkati oleh-Nya.
Sebagai umat Islam, mendekatkan diri dengan Allah walau apa pun keadaan adalah yang terbaik. Terutamanya ketika hamil, bukan sahaja untuk diri kita tetapi untuk anak yang dikandung supaya sentiasa mengingati Allah dan mengamalkan segala perintah-Nya.
Semoga perkongsian, ianya bermanfaat!