Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Susu Ibu: Makanan yang Terbaik untuk Si Comel

Pada akhir kehamilan sehingga lah awal kelahiran bayi, perubahan hormon pada badan si ibu akan merangsang payudara untuk menghasilkan susu awal ibu iaitu sejenis cecair pekat yang berwarna jernih kekuningan, juga dikenali sebagai kolostrum. Kolostrum adalah makanan pertama bayi yang paling baik. Ia mempunyai pelbagai khasiat dan faedah, tentu nya untuk kebaikan bayi secara keseluruhannya.

Apakah sebenarnya yang terdapat di dalam kolostrum ini sehingga ia dikatakan mampu untuk menjaga pelalian bayi selama beberapa bulan?

Highlighted

Sumber: Shutterstock

Apakah yang Terdapat di Dalam Susu Ibu?

Kolostrum ataupun susu awal ibu mempunyai pelbagai zat dan nutrien penting sebagai makanan utama bayi. Antaranya ialah:

  1. Kaya dengan vitamin K yang mampu mencegah Haemorrhagic Disease of Newborn (HDN)
  2. Dipenuhi zink, sodium, protein yang tinggi dan beberapa vitamin larut lemak seperti A, D, E dan K
  3. Merupakan imunisasi pasif pertama bagi bayi yang akan menguatkan antibodi si comel anda
  4. Kaya dengan beta kerotena dan aktioksidan yang sangat membantu dalam pembiakan sel

Setelah beberapa hari selepas kelahiran, penghasilan kolostrum akan bertukar menjadi susu matang dan payudara para ibu akan semakin memberat kerana mula dipenuhi dengan susu. Susu ibu yang matang ini dilengkapi dengan segala keperluan yang diperlukan oleh tubuh bayi. Antaranya ialah:

  • Laktosa iaitu sumber utama karbohidrat untuk bayi. Ia membantu dalam mencegah serangan bakteria merbahaya dan penting bagi tumbesaran otak bayi
  • Zat besi yang dapat menghindari si comel dari penyakit anemia
  • Lemak iaitu sumber tenaga utama untuk bayi yang sangat diperlukan dalam perkembangan otak bayi anda
  • Protein yang membantu tumbesaran tubuh bayi secara keseluruhannya

Untuk memastikan bayi anda mendapat keperluan badan yang secukupnya, para ibu haruslah berusaha untuk menyusukan bayi anda seawal kehamilan lagi.

Manfaat Susu Ibu pada Bayi

Sumber: cintamamaadni

#1. Susu ibu dapat meningkatkan imunisasi bayi anda, lantas pelbagai penyakit seperti kanser dapat dielakkan.

#2. Bayi yang menyusu dada cenderung untuk mempunyai daya intelektual yang lebih tinggi.

#3. Pembuangan najis bayi akan lebih mudah dan sembelit dapat dielakkan kerana susu ibu lebih mudah dihadam.

#4. Buah pinggang bayi kurang terbeban berbanding meminum susu lain kerana susu ibu mempunyai kandungan protein dan garam yang lebih rendah.

#5. Risiko untuk mendapat jangkitan dan sebarang alahan dapat dielakkan.

#6. Bayi mempunyai bekalan air yang mencukupi tanpa memerlukan air tambahan kerana susu ibu mengandungi 80% air.

#7. Kesihatan otot, sendi dan pancaindera bayi dapat mencapai kesihatan dan kebolehan tahap optimum.

Bukan dari sudut medikal sahaja, malah dari aspek psikologi sebagai contoh, penyusuan susu ibu dapat memberi rasa nyaman pada bayi. Hubungan dan ikatan kasih sayang yang kuat antara ibu dan bayi juga akan tercipta dan ini akan memberi impak positif terhadap emosi dan mental bayi anda.

Faedah Penyusuan Dada pada Si Ibu

Dalam proses menyusukan si comel, bukan mereka sahaja yang mengarap manfaat akan tetapi para ibu juga turut mendapatkan faedah. Antaranya ialah:

#1. Tahap pengecutan uterus para ibu akan meningkat

#2. Kebanyakkan para ibu yang mengamalkan penyusuan dada lebih mudah untuk mendapatkan saiz badan mereka yang normal

#3. Proses penyusuan juga membantu dalam menghentikan pendarahan dalaman si ibuĀ 

#4. Risiko untuk para ibu mendapat penyakit barah payudara dan ovari akan menurun

#5. Bukan sahaja pada bayi, para ibu juga akan menjadi bertambah sayang pada si comel. Naluri dan sifat keibuan anda juga akan meningkat

Dari segi ekonomi pula sebagai contoh, anda boleh berjimat kerana tidak perlu membelanjakan wang untuk membeli peralatan menyusu. Mungkin yang diperlukan hanya seberapa jika dibandingkan dengan para ibu yang memilih untuk memberi susu formula pada bayi mereka. Kegiatan di luar rumah juga akan menjadi lebih senang kerana para ibu tidak perlu untuk menyediakan persiapan yang rapi.

Cara Penyusuan dan Kekerapan

Dalam proses penyusuan, para ibu akan mengalami tempoh percubaan di mana anda akan mengenal pasti kaedah penyusuan yang manakah yang terbaik untuk anda dan si comel. Sesetengah ibu selesa dengan posisi duduk manakala sesetengahnya secara berbaring mengiring.

Kedua-dua kaedah ini sesuai untuk dipraktikkan sesuai dengan keselesaan si ibu dan bayi. Jika anda memilih untuk menyusu bayi sambil duduk, selesakan lah diri anda dengan menggunakan bantal alas di beberapa bahagian badan anda. Jika anda ingin mengubah posisi sambil baring mengiring, pastikan badan dan kepala anda berada di dalam keadaan yang sesuai agar proses penyusuan lebih efisyen. Para ibu haruslah berjaga-jaga sekiranya memilih untuk menyusu melalui kaedah ini kerana payudara anda mungkin tertekap pada muka bayi. Posisi bayi juga haruslah dititik beratkan untuk mengelakkan dari tersedaknya susu.

Sumber: ummitiqah.com

Masih ramai yang keliru mengenai kekerapan penyusuan susu ibu. Mengikut pakar kesihatan, susu ibu haruslah diberikan kepada bayi mengikut kehendak bayi tersebut. Ada timbul kerisauan bagi sesetengah ibu yang merasakan bayi mereka terlalu kerap meminta susu. Ini bukan lah sesuatu yang pelik kerana susu ibu tidak seperti susu formula. Ia cepat dihadam dan bayi akan menjadi cepat lapar. Terkadang, apabila bayi muntah susu, mereka akan meminta susu lagi walaupun anda baru sahaja selesai penyusuan. Ini adalah untuk menampung susu yang telah dimuntahkan itu.

Kebiasaannya, pada bulan pertama sehingga ketiga, bayi perlu disusukan dalam tempoh satu hingga dua jam sekali. Pada bulan keempat hingga kelima, dua hingga empat jam sekali. Tempoh susuan ini seterusnya akan bertambah seiring dengan umur bayi.

Keseluruhannya, susu ibu adalah anugerah yang tidak ternilai dari Allah S.W.T. Nikmat ini memberi kebaikan kepada semua pihak terutamanya pada si ibu dan bayi. Amalan penyusuan dada adalah sesuatu yang mulia yang harus diusahakan oleh semua ibu. Namun sekiranya timbul sebarang masalah, para ibu usahlah merasa sedih dan hilang keyakinan diri. Terdapat masih banyak cara yang anda boleh lakukan untuk memberi nutrisi yang sebaiknya pada bayi anda.