Susu soya bukanlah sesuatu yang baru di kalangan orang Asia, tak seperti di negara-negara Barat. Tapi sejauh manakah pengetahuan Mummy tentang susu soya yang telah menjadi minuman popular sekarang?
Walaupun jenis susu yang paling popular ialah susu lembu, terdapat banyak susu alternatif sekarang bagi individu-individu yang mempunyai alahan terhadap susu lembu atau alahan laktos.
Alahan laktos ialah di mana seseorang individu itu menghadapi masalah mencerna gula yang dipanggil laktosa yang merupakan karbohidrat yang terdapat dalam susu lembu.
Salah satu susu alternatif tersebut ialah susu soya. Dulu kalau nak minum susu soya boleh didapati di tepi jalan sahaja. Sekarang, ia sangat mudah untuk didapati di pasaran.
Kalau Mummy mahu buat sendiri di rumah pun senang sahaja sebenarnya! Cuma mungkin akan mengambil masa yang lama untuk buat.
Susu soya dibuat dari kacang soya dan air yang ditapis. Seperti susu alternatif lain yang berasaskan tumbuhan, jika dibeli di pasaran, ia mungkin mengandungi pemekat untuk meningkatkan konsistensi dan jangka hayat susu tersebut.
Secawan susu soya selalunya mengandungi:
- 80 ke 100 jumlah kalori
- 4 gram karbohidrat
- 4 gram lemak
- 7 gram protein
- 2 gram serat
- 1 gram gula
Jom tengok apakah kebaikan-kebaikan susu ini
10 Kebaikan Pengambilan Susu Soya
1. Mempunyai Kandungan Zat Berkhasiat Tinggi Sebaik Susu Lembu
Susu soya adalah sumber kalium yang baik dan dapat diperkaya dengan vitamin A, B-12, dan D, serta kalsium.
Ia mengandungi protein sebanyak susu lembu, tetapi kalorinya adalah lebih rendah daripada susu penuh atau jumlah kalori yang lebih kurang dalam susu rendah lemak dan mengandungi lemak tepu yang sangat sedikit.
2. Kaya Dengan Nutrisi Yang Dapat Mengelakkan Kanser
Susu soya mengandungi kandungan isoflavon yang tinggi, iaitu sesuatu bahan kimia tumbuhan yang tergolong dalam kumpulan yang disebut fitoestrogen.
Kajian menunjukkan bahan tersebut dapat mengurangkan risiko kanser.
3. Mengurangkan Risiko Sakit Jantung
Susu soya mengandungi protein yang penting untuk pertumbuhan. Protein terdiri daripada asid amino yang terbukti mempunyai kesan yang baik dalam mencegah pelbagai gangguan kesihatan.
Kandungan asid amino dan isoflavon protein soya juga dapat membantu menurunkan kolesterol LDL. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan isoflavon soya dapat mengurangkan kadar serum kolesterol untuk lelaki dewasa.
Di kalangan pesakit diabetes ‘type 2’, pengambilan susu soya dikaitkan dengan tekanan darah normal. Justeru, pengambilan susu soya boleh dikatakan berkesan untuk meningkatkan kesihatan kardiovaskular.
4. Boleh Melegakan Gejala Menopaus
Susu soya boleh melegakan masalah atau gejala menopaus. Kajian menunjukkan bahawa isoflavon dalam soya dapat membantu mengekalkan tahap estrogen bagi wanita menopaus.
Pengambilan susu soya oleh wanita selepas menopaus juga boleh membantu mencegah penyakit yang mungkin disebabkan oleh kehilangan hormon estrogen secara semula jadi.
Kalau Mummy kenal siapa-siapa yang sedang menghampiri menopaus, bolehlah sarankan meminum susu soya!
5. Mengurangkan Simptom Osteoporosis
Kajian menunjukkan bahawa susu soya boleh melegakan simptom osteoporosis bagi wanita yang telah melalui menopaus.
Osteoporosis selalunya dikaitkan dengan tulang yang rapuh dan kehilangan kalsium, dan risikonya adalah lebih tinggi bagi wanita yang telah mencapai menopaus.
Diet yang mengandungi protein dari haiwan kerap menyingkirkan kalsium melalui air kencing, manakala protein dari soya tidak menunjukkan kesan yang sama.
Susu soya dapat membantu dalam mempertahankan dan memberikan kalsium tambahan kepada tubuh badan.
6. Berfungsi Sebagai Antioksidan
Kesan antioksidan isoflavon dari soya mungkin bermanfaat terhadap penyakit kronik tertentu.
Kacang soya atau tauhu mempunyai sifat antioksidan dan hepatoprotektif yang dapat membantu mengurangkan tekanan dan kerosakan oksidatif.
Satu kajian juga menunjukkan bahawa susu soya mungkin dapat mencegah kerosakan hati yang disebabkan oleh tekanan oksidatif.
7. Tidak Meningkatkan Risiko Kanser Payudara
Suatu ketika dahulu, terdapat beberapa tuntutan tentang soya mengakibatkan kanser payudara kerana kandungan isoflavonnya.
Walau bagaimanapun, kajian yang terbaharu membuktikan susu soya tiada kaitan dengan kanser payudara, malah dapat membantu seseorang daripada kanser tersebut.
8. Berkhasiat Untuk Kaum Lelaki Juga
Sebilangan lelaki takut untuk mengambil susu soya kerana bimbang kandungan fitoestrogen boleh memberikan kesan negatif terhadap keseimbangan hormon tubuh lelaki.
Walau bagaimanapun, isoflavon dalam soya tidak meningkatkan tahap estrogen pada lelaki dan pengambilan soya tidak mempengaruhi tahap testosteron menurut beberapa kajian.
Malah, kajian yang diakukan oleh Oregon State University menunjukkan pengambilan soya dikaitkan dengan penurunan risiko kanser prostat.
9. Kaya Dengan Riboflavin Dan Vitamin B12
Susu soya dapat membantu Mummy untuk mendapatkan lebih banyak vitamin B-kompleks yang berfungsi sebagai sumber riboflavin, iaitu vitamin B2 dan vitamin B12 yang sangat kaya.
Bila badan mendapat vitamin B12 yang mencukupi, ia dapat membantu sel badan menghasilkan DNA dan membantu fungsi sel darah merah dan juga menjaga kesihatan saraf.
Riboflavin dalam susu soya membantu sel badan menghasilkan tenaga dan melindungi DNA Mummy dari kerosakan.
10. Meningkatkan Kesihatan Otak
Susu soya kaya dengan asid lemak omega-3, iaitu sejenis lemak sihat yang tidak dapat dibuat oleh badan dengan sendiri.
Asid lemak omega-3 dikaitkan dengan penurunan risiko demensia dan penyakit Alzheimer.
Susu soya masih dikaji untuk mengetahui kesannya terhadap penyakit ini, tetapi soya secara umum adalah salah satu sumber asid lemak omega-3 terbaik yang bukan datang dari sumber haiwan.
Hebat kan kebaikan yang diberikan oleh susu soya berdasarkan banyak kajian yang telah dibuat. Mummy boleh cari resipi untuk membuat soya sendiri atau beli sahaja di pasaran.
Pastikan jika membeli dari pasaran, kandungan gulanya tidak ditambah dengan pemanis tiruan tambahan untuk memastikan Mummy mendapat khasiat dan zat-zat penting yang dapat diberikan oleh susu soya.
Semoga bermanfaat.