Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Tahun Baru Cina Era Pandemik – Makan Besar Hanya Dalam Keluarga Terdekat

Sejak setahun yang lepas, antara topik utama yang kita tidak boleh lari adalah mengenai ‘pandemik’, ‘Covid-19‘, ‘PKP’ dan semua terms yang berkaitan.

Bukan sahaja penat dan bosan, bahkan sampai tahap sudah tidak merasakan apa-apa. 

Adakah saya seorang sahaja yang merasakan begini? Atau anda juga sama? Sampaikan malas nak fikir. Janji saya kekal menjaga kebersihan diri, menjaga jarak dan mematuhi SOP. 

Penat berharap semuanya kembali normal, tetapi harapan itu agak pudar sebenarnya. Kemungkinan semuanya hanya akan baik seperti sedia kala dalam masa tujuh tahun akan datang

Tahun Baharu Cina dah dekat, jiran pun sudah mula menghias rumah mereka. Walaupun perayaan kali ini agak suram, tetapi sinarnya masih ada dengan hiasan dan deko berona merah. 

Highlighted


Saya bersyukur sebab saya mempunyai jiran yang berbilang bangsa. Bukan sahaja mereka baik, bahkan anak-anak saya juga boleh merasai dan belajar perayaan dan budaya lain di Malaysia dengan lebih dekat. 

Setiap tahun, sudah menjadi satu kewajipan untuk mereka menyaksikan ‘pesta’ bunga api semasa perayaan Tahun Baharu Cina. Sanggup bersengkang mata menunggu jam detik 12am dan keterujaan mereka terserlah di wajah. 

‘Tak ada bunga api lah tahun ini’- kata Charlene kepada anak bongsu saya. Dan dia juga kelihatan agak terkilan. 

Baru-baru ini Dato’ Ismail Sabri telah mengeluarkan kenyataan yang sambutan tahun lembu ini hanya boleh disambut oleh ahli keluarga di dalam rumah masing-masing sahaja. 

Tiada bunga api, tiada ziarah menziarahi, tiada makan besar, bahkan tiada tarian singa juga. Siapa sahaja yang tidak terkesan jika perayaan tahunan kita ‘tersekat’ seperti ini bukan? 

SOP bagi perayaan utama masyarakat Tionghoa untuk tahun ini telah pun dikeluarkan sebelum ini.

Namun baru-baru ini, kerajaan telah membenarkan makan besar tetapi dengan bersyarat: iaitu terhad kepada 15 orang sahaja dan dalam jarak radius 10km.

Rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan. 

Walaupun saya tidak menyambutnya, namun, saya juga dapat merasai kesuraman perayaan kali ini.

Kalau dahulu, memang akan meriah kawasan rumah. Pagi pagi ada tarian singa, malam ‘Chinese New Year eve’ memang ramai yang datang rumah-rumah jiran yang menyambut dan sebagainya. 

Raikan Tahun Baharu Ini Dengan Cara Tersendiri

Bukan senang untuk menerangkan kepada anak-anak kecil apabila mereka menanyakan bila nak balik kampung dan sebagainya.

Terutama sekali ketika waktu sekarang dimana mereka sangat menantikan masa untuk berseronok dengan datuk dan nenek, serta saudara mara semua.

Jiran-jiran juga memberitahu masalah yang sama iaitu sukar untuk fahamkan anak-anak tentang keadaan sekarang.

Pelbagai alasan dan ayat telah digunakan seperti perayaan lain juga tidak boleh diraikan sebelum ini seperti Deepavali dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pelbagai cara Puan Lee usahakan untuk mengekalkan kemeriahan perayaan tahun ini.

Antara yang wajib adalah dengan mengajak anak-anak untuk deko rumah. Tetapi, kali ini istimewa sikit dimana, Puan Lee dan anak-anak DIY sendiri dekorasi tersebut.

Puan Lee juga sudah siap sedia untuk acara makan besar secara atas talian dengan adik-beradik yang lain. Tidak boleh makan bersama di meja bukanlah penghalang untuk mereka meraikan tahun baharu ini. 

Semua angpau pun sudah siap; hanya nantikan untuk ‘online transfer’ sahaja. Apa yang lagi menyeronokkan ialah Puan Lee juga telah menyediakan hadiah untuk anak-anak buahnya. Dia hanya menantikan masa yang sesuai untuk dihantar pejabat pos sahaja. 

Pakaian baru untuk digayakan semasa perayaan Tahun Baharu Cina ini juga sudah lengkap disediakan untuk seisi keluarga.

Seronok dengar Puan Lee berkongsi persiapan raya dia. Saya sekali ikut teruja.

Mana tidaknya, sehinggakan bab makanan pun Puan Lee sudah selesai membuat tempahan.

Bukan sahaja untuk keluarganya, malah untuk mak ayah dan keluarga mertua di kampung.

Meskipun perayaan kali ini lain daripada sebelum ini, tetapi ikatan kekeluargaan dan kemeriahan masih terasa. 

Marilah kita terus patuh dengan SOP dan empati terhadap usaha dan pengorbanan para frontliners. #KitaJagaKita sentiasa! 

Semoga Tahun Baharu Cina kali ini membawa lebih banyak ‘ong’ untuk kita semua! 

Artikel ini telah diolah daripada versi Bahasa Inggeris di Motherhood Story