Hari raya Aidiladha ataupun hari raya Haji sudah nak dekat Mommy! Jom kita refresh balik ilmu-ilmu kita tentang takbir raya tahun ini! Untuk pengetahuan am Mommy, hari raya Aidiladha disambut bukan sekadar menyembelih lembu sebagai ibadah korban, tetapi untuk membantu orang yang kurang berkemampuan. Mommy tahu tak ada beberapa jenis takbir sebenarnya, jom kita lihat.
Jenis-Jenis Takbir
Ulama membahagikan takbir raya kepada dua jenis iaitu Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.
-
Takbir Mursal
Takbir Mursal atau nama lainnyaTakbir Mutlak ini adalah kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat.
Oleh itu, apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri sehingga takbiratul ihram solat Hari Raya, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa.
Untuk pengetahuan Mommy, para ulama menetapkan bahawa perlaksanaan Takbir Mursal bagi Hari Raya Aidilfitri lebih ditekankan berbanding Hari Raya Aidiladha.
-
Takbir Muqayyad
Manakala takbir Muqayyad pula, dilaksanakan bersama solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu). Oleh itu, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu. Takbir Muqayyad ini hanya berlaku bagi hari raya Aidiladha dan tidak disunatkan pada malam hari raya Aidilfitri melainkan Takbir Mursal yang juga lebih ditekankan bagi Aidilfitri.
Bila kita akan mula bertakbir?
Waktu Bertakbir
Terdapat perbezaan antara takbir raya Aidiladha dan hari raya Aidilfitri. Di artikel ini, kita akan jelaskan khusus untuk takbir raya haji atau juga dikenali sebagai raya korban ini.
Highlighted
- Bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.
- Disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.
- Bagi mereka yang menunaikan haji, mereka disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, iaitu masuk waktu Zohor Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) sehingga terbitnya fajar sadiq, iaitu masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijah. Sekiranya mereka sudah bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama dengan orang lain.
Lafaz Takbir Hari Raya Haji
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La illaha il Allah, Allahu Akbar, Allahu Akbar walilahil Hamd, (3 kali)
Allahu Akbaru Kabeera wal-Hamdulilahi katheera wa Subhan allahi bukratan wa aseila.
La illaha il Allah sadaqa wa’dah, wa nasara abda, wa a’azza jundahu wa hazamal-ahzaaba wahdah,
La illaha il Allah, wa laa na’budu illa iyyah, mukhlessena lahud-deena, walaw karehal-Kafeeroon.
La illaha il Allahu wallahu Akbar, Allahu Akbar walillahil Hamd
Maksudnya:
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian Dan Subhanallah(Maha Suci Allah) pagi dan petang
Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, Dengan ikhlas untuk Agama(Islam), walaupun dibenci oleh golongan kafir
Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, Yang benar janji-Nya, dan yang menolong hamba-Nya, dan memuliakan tentera-tentera-Nya(tentera Muslimin), dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian
Kepentingan Bertakbir
Kenapa pentingnya bertakbir Mommy? Kalau Mommy nak tahu, bertakbir penting kerana ia:
- Satu syiar bagi menzahirkan rasa gembira dan tanda syukur kepada Allah.
- Tanda kemenangan melawan hawa nafsu mazmumah sepanjang Ramadan (bagi Hari Raya Aidilfitri).
- Lambang penyatuan, dan kekuatan ummah melalui roh takbir, kerana umat islam sedang membesarkan Allah dan melaungkan takbir yang sama di seluruh dunia.
- Laungan takbir menyejukkan jiwa, menenangkan fikiran dan melapangkan hati untuk bermaafan.
- Takbir dan Tahmid dianggap penyubur ukhuwah dalam mengukuhkan ikatan jalinan persaudaraan umat islam.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Sembilan
Semoga info-info ini bermanfaat untuk Mommy sekeluarga! Banyak ilmu yang kita dapat daripada jenis-jenis takbir, waktu bertakbir dan kepentingan bertakbir.
Selamat menyambut hari raya Aidiladha tahun ini!