Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Talasemia: Ketahui Apa Penyakit Ini, Punca, Rawatan, Dan Risiko Yang Berkaitan

talasemia

Sumber: Adobe Stock

Pada zaman sekarang, tidak dinafikan lagi yang kebanyakan orang sering mengutamakan kesihatan fizikal dan mental. Mempunyai kesedaran tentang pelbagai jenis komplikasi kesihatan atau penyakit adalah langkah yang penting dalam penjagaan kesihatan diri.

Jika anda tertanya-tanya tentang keadaan penyakit talasemia, kali ini Motherhood berkongsi tentang apa itu talasemia, punca-punca penyakit ini, serta rawatan yang boleh dilakukan.

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Apa Itu Talasemia?

Talasemia adalah keadaan darah yang tidak normal dan diwarisi oleh ibu, bapa, atau kedua-duanya. Talasemia membuatkan tubuh badan membentuk hemoglobin yang tidak normal.

Hemoglobin adalah molekul protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen.

Keadaan talasemia ini mengakibatkan pemusnaha sel darah merah yang berlebihan, justeru membawa kepada keadaan anemia. Anemia ialah keadaan di mana badan tidak mempunyai sel darah merah yang normal dan sihat.

Penyakit talasemia ini adalah sejenis penyakit yang diwarisi oleh seseorang individu. Maknanya, sama ada salah seorang daripada ibu bapa, atau kedua-duanya adalah pembawa penyakit ini.

Ia disebabkan oleh mutasi genetik atau pemadaman serpihan gen utama tertentu.

Sumber: News Medical

Jenis-jenis Talasemia

Terdapat dua jenis atau bentuk utama talasemia yang serius, iaitu talasemia Alpha dan talasemia Beta.

Dalam talasemia Alpha, sekurang-kurangnya satu daripada gen Alpha globin mempunyai mutasi atau tidak normal. Dalam talasemia Beta pula, gen globin Beta adalah terjejas.

Jenis yang ketiga, iaitu talasemia minor, adalah bentuk gangguan talasemia yang kurang serius.

Punca Talasemia

Punca utama talasemia adalah kerana ia diwarisi melalui kelainan genetik daripada ibu, bapa, atau kedua-duanya.

Jika hanya salah seorang daripada ibu bapa anda adalah pembawa talasemia, tak kira ibu atau bapa, anda mungkin mengalami talasemia minor, iaitu jenis talasemia yang kurang serius.

Jika ini adalah kesnya, anda mungkin tidak akan mengalami apa-apa gejala, tetapi anda masih akan menjadi pembawa penyakit tersebut. Ada juga sesetengah individu yang menghidap penyakit talasemia minor mengalami simptom yang kecil sahaja.

Jika kedua-dua ibu bapa anda adalah pembawa talasemia, anda mempunyai risiko yang lebih besar untuk mewarisi bentuk penyakit yang lebih serius, sama ada talasemia Alpha atau Beta.

Talasemia paling kerap berlaku di kalangan orang dari Asia, Timur Tengah, Afrika dan negara Mediterranean seperti Greece dan Turki.

Sumber: Information Palace

Simptom-simptom Talasemia

Simptom atau gejala penyakit ini adalah berbeza-beza bergantung kepada setiap individu yang mengalaminya. Antara yang biasa didapati termasuk:

  • kecacatan tulang, terutamanya di muka
  • air kencing gelap
  • pertumbuhan dan perkembangan yang lambat
  • keletihan dan keletihan berlebihan
  • pucat atau kulit kuning dan kusam

Tidak semua orang mengalami simptom talasemia yang ketara atau boleh dilihat. Simptom-simptom talasemia juga cenderung untuk muncul ketika individu sudah mencapai peringkat remaja.

Sumber: Adobe Stock

Diagnosis Penyakit Talasemia

Untuk mengenalpasti jika anda adalah pembawa penyakit ini, kebarangkalian besar doktor akan mengambil sampel darah untuk diuji.

Juruteknik makmal akan menguji darah untuk anemia dan hemoglobin yang tidak normal. Selain itu, mereka akan mengenalpasti sama ada sel darah merah berbentuk aneh atau normal.

Sel darah merah yang berbentuk aneh dan tidak normal adalah tanda utama talasemia.

Doktor juga mungkin akan membuat pemeriksaan fizikal untuk membantunya membuat diagnosis untuk penyakit ini.

Rawatan Untuk Talasemia

Rawatan untuk talasemia bergantung kepada jenis dan keterukan penyakit yang anda sedang alami. Doktor akan memberi anda rancangan rawatan yang paling sesuai begantung kepada kes anda.

Beberapa jenis rawatan termasuklah:

  • pemindahan darah
  • pemindahan sumsum tulang
  • ubat-ubatan dan makanan tambahan
  • kemungkinan pembedahan untuk membuang limpa atau pundi hempedu
Sumber: Adobe Stock

Semasa menjalani rawatan, doktor mungkin akan menasihati anda untuk tidak mengambil vitamin atau suplemen yang mengandungi zat besi.

Ini adalah kerana jika anda membuat pemindahan darah, badan anda yang menerima darah tersebut boleh mengumpul zat besi tambahan yang tidak dapat disingkirkan dengan mudah oleh badan. Zat besi boleh terkumpul di dalam tisu, dan ini boleh membawa maut.

Terapi chelation yang melibatkan suntikan bahan kimia mungkin diperlukan untuk mengikat zat besi dengan logam berat lain dalam badan. Ini dapat membantu badan mengeluarkan zat besi tambahan daripada tubuh badan anda.

Diet Untuk Talasemia

Selain rawatan, anda juga boleh pertimbangkan jenis diet pemakanan harian untuk mengawal keadaan talasemia anda.

Sumber: Adobe Stock

Diet rendah lemak berasaskan tumbuhan adalah pilihan terbaik untuk individu yang mengalami talasemia. Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu mengehadkan makanan kaya dengan zat besi seperti ikan dan daging jika anda sudah mempunyai tahap zat besi yang tinggi dalam darah anda.

Anda juga boleh mempertimbangkan untuk mengelakkan bijirin, roti dan jus yang diperkaya. Ia mungkin mengandungi tahap zat besi yang tinggi.

Talasemia boleh menyebabkan kekurangan asid folik atau folat. Ditemui secara semula jadi dalam makanan seperti sayur-sayuran berdaun gelap dan kekacang, vitamin B ini penting untuk mengelakkan kesan tahap zat besi yang tinggi dan melindungi sel darah merah.

Walaupun tiada diet yang boleh menyembuhkan talasemia, tetapi memastikan diet yang diambil adalah bersesuaian mampu untuk melegakan keadaan penyakit ini. Sebarang perubahan diet perlu dibincang dan mendapat kelulusan doktor anda terlebih dahulu.

Risiko Pasangan Membawa Talasemia

Seperti yang disebutkan tadi, penyakit talasemia adalah diwarisi, bermaksud jika ibu atau bapa anda adalah pembawa penyakit ini, anda juga berkemungkinan besar adalah pembawa talasemia juga.

Talasemia bersifat genetik. Untuk menghidap talasemia penuh atau serius, kedua-dua ibu bapa anda mestilah pembawa penyakit ini. Akibatnya, anda akan mempunyai dua gen yang bermutasi.

Sumber: Adobe Stock

Jika anda mengetahui bahawa pasangan anda juga adalah pembawa talasemia, risiko untuk anak anda mengalami talasemia bentuk serius adalah tinggi.

Adalah penting untuk anda melakukan ujian jika salah seorang daripada ibu bapa atau saudara anda mempunyai sejenis penyakit. Pasangan anda juga disarankan mengenalpasti jika diri adalah pembawa talasemia untuk mengelakkan genetik ini diturunkan.


Jika anda menghidap talasemia, pandangan, pendapat, dan pengalaman anda akan bergantung pada jenis penyakit tersebut. Individu yang mempunyai bentuk talasemia ringan, kecil, atau kurang serius biasanya boleh menjalani kehidupan normal. Anda disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor untuk maklumat lebih lanjut.

Semoga bermanfaat.