Ibu, Bayi & Kanak Kanak

“Macam Mana Nak Tau Saya Mengandung Ke Tak?” Jom Periksa 10 Tanda-Tanda Awal Kehamilan Ini

tanda awal hamil

Sumber: istockphoto

Di awal kehamilan, para ibu mungkin masih tidak menyedari kehadiran si kecil di dalam rahim anda.

Namun kebiasaannya apabila hamil, anda akan mengalami beberapa perubahan dari pelbagai aspek seperti fizikal dan mental.

Perubahan ini mungkin adalah antara tanda awal mengandung yang menunjukkan anda sebenarnya sedang hamil.

Cuba anda periksa tanda-tanda awal mengandung di bawah ini.

10 Tanda-Tanda Awal Mengandung

#1. Tidak datang haid

Highlighted

Sumber: istockphoto

Sememangnya ini adalah tanda pertama yang anda akan periksa bukan? Setiap bulan terutamanya bagi yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat, anda akan berharap agar haid anda tidak datang.

Memang ini adalah tanda pengukur yang tepat ya kerana apabila anda hamil, badan anda akan mengeluarkan hormon yang menghentikan haid.

Jadi anda harus peka dengan kitaran haid anda. Jika selepas seminggu dari tarikh haid tetapi haid masih tiada, cubalah lakukan ujian kehamilan.

Terutamanya jika kitaran haid anda teratur, ini mungkin tanda yang tepat.

#2. Morning sickness

Sumber: istockphoto

Tanda lain yang sinonim dengan kehamilan ialah morning sickness.

Ini memang sebati dalam pemikiran masyarakat kita kan? Apabila wanita yang sihat kerap rasa mual dan muntah-muntah, tekaan pertama adalah wanita itu mengandung.

Hal ini tidak salah ya. Memang pada awal kehamilan iaitu dalam usia beberapa bulan seawal bulan pertama, si ibu mungkin mengalami tanda-tanda ini.

Tidak kesemua tetapi kebanyakannya. Ia normal dan terjadi kerana perubahan hormon dalam badan anda ketika hamil.

Namun harus diingatkan, jika morning sickness anda agak teruk, dapatkanlah bantuan dari yang pakar.

Terlalu kerap muntah boleh menjejaskan kesihatan anda dan bayi.

#3. Badan letih

Sumber: istockphoto

Apabila hamil, seluruh badan anda akan ‘bekerja’ untuk menyokong perkembangan bayi di dalam kandungan.

Ini sudah tentunya akan mengakibatkan keletihan yang luar biasa pada badan anda. Contohnya, anda akan rasa lesu, tidak bertenaga dan mengantuk.

Ini juga adalah normal ya. Disebabkan itulah ibu hamil dinasihatkan untuk mendapatkan rehat dan waktu tidur yang mencukupi.

Namun jika ia menganggu kehidupan seharian anda, dapatkanlah nasihat dari doktor.

Anda mungkin akan disarankan untuk meningkatkan pengambilan makanan tertentu seperti kurma untuk tenaga segera ataupun diberikan makanan tambahan seperti vitamin dan sebagainya.

#4. Kejang otot

Sumber: istockphoto

Pada awal kehamilan, anda mungkin akan merasakan kekejangan atau sakit di abdomen ketika proses penanaman telur yang telah disenyawakan di dinding rahim.

Ramai wanita menyangkakan ini adalah tanda awal untuk haid kerana simptom itu mirip dengan senggugut.

Ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Namun jika kekejangan ini disertai dengan simptom lain seperti pendarahan yang banyak ataupun demam dan rasa ingin pengsan, segeralah rujuk pakar kesihatan.

#5. Pendarahan ringan

Selain kekejangan otot, proses penanaman telur boleh menyebabkan kesan yang lain seperti pendarahan ringan yang juga dikenali sebagai spotting.

Ia berlaku seawal minggu pertama kehamilan. Sesetengah wanita mengalaminya dan sesetengah tidak.

Ia tidak merbahaya jika kuantiti darah itu sedikit dan warnanya lebih cerah dari warna darah haid anda.

#6. Perubahan pada payudara

Sumber: istockphoto

Wanita yang hamil akan mengalami pelbagi jenis perubahan pada badan mereka dan antara tanda awal mengandung ialah perubahan payudara.

Ini disebabkan oleh tindak balas hormon tertentu. Apabila anda hamil, payudara anda akan mengalami beberapa perubahan untuk menghasilkan susu.

Selama itu, anda akan merasa ketidakselesaan pada payudara seperti rasa nyeri dan membengkak.

Rasa-rasa ini mirip dengan rasa perubahan pada payudara ketika haid ya. Cumanya, ia mungkin lagi kuat kerana payudara anda perlu membesar untuk menampung susu badan.

Ini adalah proses semula jadi sebagai ibu mengandung tau. Jika ia agak menganggu, lakukanlah urutan dan dapatkan nasihat doktor

#7. Mood berubah-ubah

Sumber: istockphoto

Antara tanda yang agak ketara menandakan bahawa anda hamil ialah perubahan mood.

Kadang-kadang anda terasa sayu dan ingin menangis, kadang-kadang rasa nak marah dan bermacam lagi. Emosi anda mudah bercelaru dan berubah-ubah.

Mungkin sesetengah pihak melihat tanda ini sebagai perkara biasa. Namun ia adalah serius untuk seorang ibu ya.

Jika tidak terkawal, perkara yang tidak diingini boleh berlaku. Para ibu hendaklah bijak dalam menjaga dan mengawal emosi anda.

Jika ada sebarang tekanan, berkongsilah dengan pasangan atau sesiapa yang anda percayai.

Amalkan sikap berterus terang dengan orang sekeliling tentang apa yang anda suka dan tidak suka. Ini untuk mengelakkan pencetus sensitiviti emosi anda.

Jangan lupa ya. Bayi yang dikandung mungkin turut merasakannya. Kesihatan emosi anda sama penting dengan kesihatan fizikal anda ya!

#8. Kerap membuang air

Sumber: istockphoto

Kehadiran si comel di dalam rahim akan menambah jumlah cecair di dalam badan anda.

Ia juga memberi tekanan kepada organ seperti pundi kencing dan ini akan menyebabkan anda rasa ingin membuang air lebih kerap dari biasa.

Pada permulaan, anda mungkin menghadapi kesukaran untuk mengawalnya.

Terutamanya jika ditambah dengan faktor-faktor lain seperti kedudukan tandas yang jauh dari bilik tidur, sakit pinggang yang menyukarkan anda untuk bergerak dengan cepat dan sebagainya.

Untuk mengatasinya, apa kata anda cuba pakai lampin dewasa?

Contohnya pada waktu malam supaya tidur anda tidak terganggu dan anda tidak perlu bersusah payah ke tandas lagi.

#9. Mengidam makanan

Sumber: istockphoto

Selain itu, selera yang berubah-ubah juga boleh menjadi tanda yang anda hamil.

Kebanyakan wanita akan mengalami rasa ini iaitu mengidam untuk merasa makanan tertentu ataupun tidak suka makanan tertentu dengan rasa penolakan yang kuat.

Kadang-kadang, ia datang tanpa bersebab. Hanya satu yang anda tahu, anda teringin untuk menikmati makanan itu.

Ia agak aneh kerana ada ibu hamil yang mengidam makanan tertentu yang selama hidupnya dia tidak pernah merasai dan suka pun makanan itu.

Jangan pelik ya. Memang selera ibu mengandung ini bermacam-macam. Ini jugalah yang menjadi tanda ketara yang menunjukkan anda sebenarnya hamil.

#10. Ujian kehamilan

Sumber: istockphoto

Tanda yang hampir tepat bahawa anda hamil ialah melalui ujian kehamilan. Jika terdapat dua jalur merah, itu tandanya anda mungkin hamil.

Namun, hanya rujukan pada yang pakar boleh benar-benar mengesahkannya kerana terdapat juga segelintir wanita yang melihat dua jalur merah kelihatan tetapi apabila disahkan doktor, mereka sebenarnya tidak hamil dan juga sebaliknya.

Sumber: istockphoto

Sebenarnya, tanda kehamilan adalah berbeza bagi para wanita. Tanda hamil anak kembar juga agak berbeza ya ibu-ibu.

Ada sesetengahnya tidak menyedari yang mereka mengandung sehingga tiga bulan kehamilan dan ada juga yang sebaik berlakunya persenyawaan telur, telah terasa pelbagai tanda.

Yang penting adalah anda faham bagaimana badan anda berfungsi supaya anda akan lebih peka dengan perubahan-perubahan tersebut.