Ibu, Bayi & Kanak Kanak

25 Tanda Hamil Yang Sering Dialami Bakal Ibu

Pengalaman mengandung setiap wanita berbeza. Pengalaman mengandung anak pertama, kedua dan seterusnya juga berbeza. Sekiranya anda baru berkahwin, mahupun merancang untuk hamil, mungkin anda boleh periksa tanda-tanda hamil yang sering dialami wanita mengandung diawal kehamilan.

Tanda-tanda Hamil Untuk Bakal Ibu

Highlighted


1.Perubahan payudara

Perubahan pada saiz dan keadaan payudara anda merupakan antara tanda yang paling ketara. Payudara anda akan menjadi lebih besar, padat, dan berat. Payudara anda juga akan menjadi lebih sensitif, sakit, atau rasa seperti ngilu apabila disentuh. Ia merupakan persediaan awal badan kita untuk mengeluarkan susu ibu dalam masa 40 minggu kehamilan. Sebab tu ibu hamil digalakkan untuk tukar saiz bra anda sepanjang mengandung supaya lebih selesa dan melancarkan aliran darah.

2. Haid lambat!

Ini merupakan tanda-tanda hamil yang paling ketara. Sekiranya haid anda stabil dan tak pernah lewat, mungkin anda akan perasan.  Namun, sekiranya  haid anda berterabur, tanda ini mungkin tidak sesuai bagi anda.

Mereka yang hamil akan berhenti mengalami haid sepanjang mengandung. Usia kandungan anda pula akan dikira berdasarkan tarikh akhir anda datang bulan.

3. Cepat rasa lesu.

Dalam pada itu, bakal ibu juga mudah rasa penat, lesu, dan letih yang melampau. Hal ini kerana pembentukan janin di dalam rahim sedang berlaku, peningkatan paras hormon progesterone dan penghasilan darah merah dalam badan.

4. Mengalami rasa mual dan loya.

Ramai ibu hamil mengalami loya dan muntah-muntah di awal kehamilan. Dah nak muntah je, mesti rasa nak makan benda-benda masam. Walaupun sering muntah, ibu jangan lupa minum banyak air tau! Takut memberi kesan dekat bayi dalam kandungan nanti.

Ada yang teruk, ada yang biasa-biasa sahaja. Anda sangat bertuah tau kalau takde muntah-muntah atau alahan macam ni!

5. Kerap pening atau pengsan.

Tanda-tanda hamil seterusnya ialah kerap pening atau pengsan. Kepala rasa berat je berbanding kebiasaannya. Hal ini berlaku disebabkan perubahan yang sedang berlaku dalam badan kita.

6. Mengidam.

Sedapnya kalau dapat mangga muda…“,

Sinonim sebenarnya mengidam dengan ibu hamil. Pada awal kehamilan, ibu hamil akan mula mengidam kerana perubahan hormon yang mendadak. Mengidam merupakan rasa teringin nak makan sesuatu yang sangat teruk. Si suami pun boleh mengidam bila isteri mengandung tau!

7. Deria bau lebih sensitif.

Ibu hamil mempunyai deria rasa dan bau yang lebih sensitif berbanding orang biasa. Pernah dengar ibu mengandung alah dengan bau makanan, bau memasak, malah bau suami sendiri? Haa, tu normal tau! Ada ibu hamil yang bau masakan sikit je dah mual-mual. Malah, ada juga yang tak boleh langsung bau suami sendiri! Sabar ye cik abang kalau isteri awak macam ni.

8. Kesan Pendarahan atau ‘spotting’.

Pendaraha atau spotting ni tak sama macam darah haid tau ibu! Spotting berlaku kira kira dalam 10-14 hari selepas persenyawaan berlaku, kerana embrio akan tertanam pada lapisan rahim. Proses ini akan menyebabkan pendarahan, tetapi bukan hadi ya. Tompokan darah yang keluar biasanya tidak akan memenuhi pantiliner kita.

9. Selesema & hidung tersumbat.

Selain itu, pada awal kehamilan, bakal ibu akan mudah demam, selesema, hidung tersumbat dan sakit kepala. Hal ini kerana perubahan yang berlaku pada sistem imun badan kita.

10. Keputihan.

Keputihan yang berlaku pada bakal ibu adalah normal. Ibu tidak perlu risau sekiranya keputihan yang keluar berwarna putih, tidak berbau dan tidak merasa gatal.

11. Perubahan pada warna Faraj.

Kalau anda perasan, warna faraj bakal ibu juga akan berubah sedikit. Ketika mengandung, faraj si ibu akan kelihatan lebih ‘gelap’ berbanding biasa kerana peningkatan alirah darah ke pelvis kita.

12. Sembelit.

Sembelit juga merupakan tanda-tanda hamil yang kerap berlaku pada bakal ibu. Kenapa sembelit? Sembelit berlaku kerana penyesuaian badan kita untuk 40 minggu tempoh kehamilan. Hormon progesterone yang dihasilkan ketika mengandung turut menyebabkan dinding usus besar kita mengendur supaya dapat menyerap lebih banyak zat makanan yang diambil ibu. Air dan makanan yang diserap sehabisnya akan menyebabkan kesukaran untuk membuang. Itu yang ada masa kita rasa tak lawas sewaktu membuang. Harap bersabar ya ibu!

13. Perubahan emosi.

Kejap rasa nak nangis, kejap rasa nak marah. Haa normal tu untuk bakal ibu. Tanda-tanda hamil yang paling ketara juga ialah perubahan emosi yang mendadak. Cik abang cuba perhatikan isteri anda tu. Isteri awak cepat marah dan merajuk daripada hari biasa ke? Mungkin pembawakan budak kot. Sabar lebih lagi daripada biasa ya encik suami. Jangan awak pun turut melenting suka hati.

14. Kejang di bahagian abdomen.

Kaki dan juga bahagian abdomen anda akan mudah terasa kejang dengan tiba-tiba. Padahal sebelum ni okay je. Kenapa ini berlaku? Ibu mengandung akan mudah mengalami keadaan ini kerana persediaan rahim untuk membesar sepanjang mengandung. Antara tips untuk kurangkan keadaan ini ialah dengan minum susu untuk meningkatkan kalsium dalam badan.

15. Perubahan bentuk badan.

Perubahan pada bentuk badan merupakan tanda-tanda hamil dalam bentuk fizikal seorang bakal ibu. Anda akan perasan postur bentuk tubuh badan anda akan berubah seperti perut dan bahagian punggung semakin membesar, dan payudara yang semakin sensitif.

16. Badan mudah berasa panas.

Bakal ibu juga akan lebih berasa panas berbanding orang biasa. Perubahan suhu badan yang dilalui bakal ibu sebenarnya normal. Ini kerana, peningkataan aliran darah dalam badan dan perubahan hormon yang mendadak. Sebab tu ibu hamil akan kerap berasa panas dan memilih bilik yang berhawa dingin.

17. Kerap kencing.

Sebaik sahaja benih disenyawakan, janin ibu akan semakin membesar lalu menekan pundi kencing. Tekanan yang semakin besar di bahagian pundi kencing anda menyebabkan anda akan kerap berulang-alik ke tandas.

18. Nafsu makan berkurang.

Selalunya ibu hamil akan lalui dua keadaan – terlebih makan atau tak lalu nak makan. Ada ibu yang mengalami alahan semasa hamil sampai diorang tak lalu nak makan. Tapi kena paksa diri juga tau ibu. Kesian anak dalam kandungan. Takut dia lapar nanti.

19. Anak semakin manja.

Sekiranya anda sudah mempunyai anak, anda mesti perasan sikap anak yang semakin manja dan mengada-ngada. Sikit-sikit nak berada dekat dengan mak ayah. Macam ada deria ke enam je anak-anak ni kan.

20. Muka naik jerawat. 

Perubahan hormon yang berlaku pada badan kita juga boleh menyebabkan jerawat. Kalau sebelum ni tak pernah atau jarang sangat muka berjerawat, tiba-tiba masa mengandung banyak pula yang keluar. Ini juga merupakan tanda-tanda hamil di awal kehamilan. Walaupun ianya normal, tapi ibu jangan risau ya. Bila hormon dah stabil, inshaallah kurang atau tiada lagi jerawat.

21. Peningkatan kadar degupan jantung. 

Tanda hamil yang ini mungkin tidak berlaku pada semua kehamilan. Untuk mereka yang ada mengalami simptom ini, jantung anda akan mula mengepam darah dengan lebih cepat dan kuat pada minggu ke 8 atau 10  kehamilan.

22. Rasa tak selesa pada perut. 

Sistem penghadaman ibu mengandung akan menjadi lebih perlahan berbanding sebelumnya. Selain sembelit, ini merupakan antara rasa tidak selesa pada perut yang sering dialami ibu mengandung:

  • Perut kembung
  • Masuk angin
  • Terasa senak
  • Gastrik

23. Perubahan selera makan. 

Pernah dengar ibu mengandung mengidam sesuatu yang lain daripada biasa? Ada yang sebelum hamil tak suka durian, tapi bila dah mengandung, selalu sangat teringin durian. Ada yang makan arang, beras dan sebagainya. Tak ada bukti jelas mengapa hal ini berlaku, namun ianya agak sukar untuk dielakkan. Untuk suami, kalau isteri awak macam ni, harap banyak bersabar dan cuba untuk jamu mereka dengan makanan yang lebih berzat.

24. UPT yang positif!

UPT atau ‘urine pregnancy test’ merupakan cara terawal untuk tahu samada ibu mengandung atau tidak. Kalau anda sering mengalami tanda-tanda hamil seperti di atas, segera untuk lakukan ujian ini. Sekirannya positif, jangan lupa untuk berjumpa doktor dan memeriksa kandungan.

25. Suhu pada mulut yang lebih tinggi. 

Apa maksud suhu mulut lebih tinggi? Suhu mulut ibu mengandung akan meningkat terutamanya selepas bangun di waktu pagi. Suhu yang meningkat secara berterusan selama 2 minggu mungkin menunjukkan kita dah hamil. Ketika ini, ibu harus minum banyak air suam dan elakkan daripada melakukan kerja-kerja berat.

Sekiranya ibu mengalami tanda-tanda hamil ini, jangan lupa untuk segera berjumpa doktor.