Detik hati atau instinct perempuan ini sangat kuat, apatah lagi instinct seorang bakal Mama. Saya percaya, mesti ramai kaum Hawa di luar sana pernah berada dalam situasi “agak-agaknya aku pregnant kot?”.
Sebenarnya, ada banyak tanda-tanda yang sering bakal Mama terlepas pandang semasa di awal kehamilan. Diam tak diam, anda mendapat perkhabaran yang disahkan Doktor bahawa anda sedang hamil.
Disini, saya kongsikan 10 tanda hamil sebagai rujukan untuk anda. Jadi, bolehlah anda membuat persiapan mental sebelum mendapat perkhabaran gembira dari Doktor.
10 Tanda Hamil Buat Bakal Ibu
#1 Kekejangan atau Pendarahan Kecil
Sebenarnya, di dalam bidang perubatan, minggu pertama kehamilan dilabelkan pada minggu haid terakhir walaupun ketika itu anda belum pun hamil secara lahiriahnya.
Dari minggu pertama hingga keempat kehamilan setelah ovum disenyawakan, ia akan melekat di dinding rahim. Ini akan menyebabkan kekejangan dan pendarahan kecil dalam rahim yang selalu disalahanggap sebagai darah haid.
Sebenarnya ada perbezaan antara darah haid sebenar dan pendarahan disebabkan tanda awal kehamilan. Warna darahnya tidak terlalu pekat dan kuantitinya juga tidak sebanyak darah haid.
Sesetengah wanita mungkin berasa sakit disebabkan kekejangan rahim. Selalunya, episod ini hanya 2,3 hari dan tidak memerlukan rawatan doktor.
#2 Tidak Datang Haid
Selepas berlakunya persenyawaan, badan akan menghasilkan hormon hCG. Hormon ini menghalang rahim untuk mengeluarkan telur matang. Maka, rahim tidak akan mengembang dan darah haid tidak terhasil.
Bagi wanita yang mempunyai rutin haid yang konsisten, tidak datang haid atau ‘lewat’ (daripada kebiasaannya), mungkin merupakan ‘hint’ sebagai salah satu tanda hamil.
#3 Suhu Badan Meningkat
Wanita yang hamil juga akan merasakan peningkatan suhu badan. Ia bukanlah tanda jangkitan kuman atau virus, cuma badan anda sedang ‘bekerja’ lebih masa dengan kehadiran bayi yang dikandung.
Pastikan anda minum air yang mencukupi dan kurangkan bersenam yang keterlaluan jika berasa tidak selesa.
#4 Denyutan Jantung Laju dan Kuat
Di awal kehamilan, anda akan mendapati kadar denyutan jantung lebih laju dan kuat. Denyutan jantung yang tidak normal, atau lebih laju daripada biasa bukanlah sesuatu yang patut dirisaukan, kerana ia mungkin merupakan salah satu tanda hamil yang anda lalui.
Kehamilan akan mengubah kandungan hormon di dalam badan bagi menyediakan kondisi sesuai untuk ibu dan bayi. Perubahan hormon juga menyebabkan kadar denyutan anda tidak seperti sebelumnya. Ini juga membuatkan anda akan lebih letih daripada sebelum hamil.
#5 Perubahan Buah Dada
Dalam minggu keempat hingga keenam kehamilan, wanita hamil akan mendapati perubahan ketara di bahagian buah dada. Di peringkat awal ini, anda akan mendapati saiz buah dada semakin membesar. Ada yang dikatakan lebih besar si sebelah kiri adalah tanda mengandung anak perempuan. Sekali-sekala, anda akan berasa tegang atau gatal di kawasan buah dada.
Perubahan ini mungkin akan membuat Mama berasa tidak selesa. Bersabarlah, bakal Mama. Apabila badan anda mampu adaptasi perubahan hormon kehamilan, rasa ini akan berkurangan.
Selepas minggu kesepuluh kehamilan, anda akan mendapati bahagian di kawasan puting menjadi lebih gelap dan besar.
Malah, mungkin ada yang akan mendapati beberapa biji jerawat tumbuh disebabkan perubahan hormon dalam badan.
Mungkin anda sudah boleh mula membeli bra yang selesa dan besar sedikit bagi menyesuaikan diri sepanjang kehamilan.
#6 Perubahan Emosi yang Tidak Menentu
Kandungan hormon estrogen dan progesteron yang tinggi semasa kehamilan membuatkan emosi wanita hamil mudah menjadi tidak stabil.
Sementara badan mula hendak memahami perubahan yang berlaku, hormon-hormon ini membuatkan emosi tak menentu secara tiba-tiba. Dalam suatu masa, anda boleh berasa terlalu tertekan dan sedih sehingga menyebabkan kecelaruan.
Keletihan badan juga akan membuatkan emosi mudah terganggu. Anda dinasihatkan untuk lebih tenang dan bersabar serta perbanyakkan rehat dan berzikir semasa hamil.
#7 Mudah atau Kerap Kencing
Semasa kehamilan, kandungan aliran darah di dalam badan meningkat. Ini membuatkan ginjal dan buah pinggang menghasilkan air lebih banyak daripada biasa.
Perubahan ruang rahim disebabkan kehamilan juga memberi kesan kepada pundi kencing.
Mungkin ada antara anda yang sedang hamil akan mendapati kesukaran untuk mengawal pundi kencing. Ini menyebabkan anda kerap ke tandas untuk kencing.
Ada juga yang tidak mampu mengawal hingga terkencing sebelum tiba ke tandas.
Malah, gagal untuk mengawal pundi kencing hingga boleh menyebabkan wanita yang hamil mudah terkencing hanya kerana terbatuk atau tersedak.
#8 Sembelit atau Senak Perut
Sama seperti keadaan semasa haid, awal kehamilan juga akan membuatkan anda berasa senak (‘bloating’) di bahagian abdominal. Selain itu, perubahan hormon juga menyebabkan sistem pencernaan terganggu.
Wanita hamil akan mudah mendapat sembelit di awal kehamilan. Sembelit juga menyebabkan bahagian perut kembung dan menyebabkan anda berasa senak.
#9 Alahan, Muntah, dan Pening Kepala
Kita seringkali melihat adegan drama TV menunjukkan watak wanita hamil yang sering muntah dan tidak sihat. Alahan morning sickness, muntah-muntah dan pening kepala bukanlah hanya suatu adegan di dalam TV.
Ia adalah reaksi badan yang juga menjadi tanda hamil ketika diawal kehamilan atau “first trimester”.
Kebanyakkan antara kita akan mengalami keadaan ini diantara minggu keempat hingga kelapan kehamilan.
Namun begitu, ada juga yang berasa pening dan muntah-muntah sehingga akhir kehamilannya. Mungkin ianya akan menjadi kurang sedikit berbanding di awal kehamilan.
Ada juga yang lebih sensitif pada bau semasa awal kehamilan. Ini juga boleh menyebabkan rasa hendak muntah dan pening.
Anda harus memastikan air di dalam badan mencukupi dan jika terlalu kerap muntah, anda mungkin ingin mendapatkan rawatan doktor dan berehat.
#10 Pertambahan Berat Badan
Di antara minggu kesepuluh hingga kedua belas kehamilan, wanita hamil akan mendapati pertambahan berat badan yang ketara.
Kandungan kalori yang diperlukan di awal kehamilan tidak berubah dengan ketara, tetapi akan meningkat dari hari ke sehari.
Semasa kehamilan, pertambahan berat yang ketara adalah kerana pertambahan berat buah dada, rahim, plasenta, cecair amniotik, pertambahan kandungan darah dan cecair serta lemak badan.
Kebanyakan perubahan awal yang dialami ini akan berkurangan di trimester kedua. Anda haruslah cakna dan lebih berhati-hati di awal kehamilan kerana bentuk badan juga akan mula berubah untuk menyesuaikan diri bagi sembilan bulan sepuluh hari yang mendatang.
Perubahan ini bukan sahaja dari segi fizikal dan emosi, malah juga dari segi rohani apabila naluri keibuan mula tersemai tanpa kita sedari.
Pengalaman hamil adalah satu pengalaman indah dan unik yang mungkin tidak ramai antara kita yang dapat hargai di peringkat awal.
Tetapi, percayalah, saat pertama kali kita melihat zuriat kita keluar dari rahim kita setelah selama sembilan bulan sepuluh hari, kita lupa semua siksa dan bersyukur dengan segala nikmat indah itu.
Sekiranya anda sedang mengalami beberapa tanda hamil di atas, anda boleh ke klinik terdekat untuk konsultasi dan mendapatkan pengesahan.
Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk sentiasa menjaga pemakanan anda dengan diet yang seimbang yang ‘supplement’ tambahan seperti asid folik bermula hari ini.