Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Fakta Menarik Mengenai Jenis Tanda Lahir Bayi Yang Masih Ramai Tak Tahu

tanda lahir

Kredit gambar: www.usdermatologypartners.com

Segalanya mengenai bayi adalah sesuatu yang sangat istimewa. Meneroka keseluruhan tubuh mereka merupakan suatu pengalaman yang menakjubkan dengan segala hal baharu terutama buat Mommy yang baharu sahaja bergelar seorang ibu.

Melihat kepada sedikit keanehan pada tubuh mereka iaitu tanda lahir bayi, pasti akan membuatkan Mommy tertanya-tanya apakah puncanya dan adakah ia mampu mendatangkan bahaya pada bayi anda?

Apa Itu Tanda Lahir Bayi?

Highlighted


Tanda lahir bayi merupakan tanda berwarna yang terdapat pada kulit yang timbul pada tubuh bayi semasa dilahirkan atau tidak lama selepas mereka dilahirkan. Ia terdiri daripada sel pigmen atau saluran darah yang tidak normal.

Kajian menunjukkan bahawa terdapat kira-kira 10% bayi dilahirkan dengan sejenis tanda lahir yang dikenali dengan nama hemangioma dan kebiasaannya tanda lahir ini akan hilang sendiri apabila mereka mencapai umur 10 tahun dan ramai yang hilang dengan lebih cepat lagi.

Tanda lahir ini boleh didapati dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna seperti coklat, hitam, biru atau biru kelabu, merah jambu, putih, merah ataupun berwarna ungu.

Terdapat sesetengah tanda lahir yang muncul di permukaan kulit,di atas permukaan kulit dan ada juga tanda lahir yang terletak di bawah kulit bayi.

Walaupun kebanyakan tanda lahir bayi ini tidak mendatangkan bahaya serta tidak memerlukan sebarang rawatan, malah ada juga yang akan hilang dengan sendiri, mengecut dan berubah dari masa ke semasa, namun terdapat juga tanda lahir yang dikaitkan dengan masalah kesihatan. Doktor tetap akan membuat pemeriksaan ke atas bayi yang mempunyai tanda lahir seperti:

  • Terdapat tanda lahir yang terletak di bahagian tengah belakang atau di sepanjang tulang belakang di mana ia mungkin ada kaitan dengan masalah saraf tunjang.
  • Tanda lahir yang besar yang timbul di permukaan muka, kepala atau leher.
  • Tanda lahir yang boleh mengganggu aktiviti harian contohnya seperti tanda lahir yang timbul di bahagian mata di mana dapat mengganggu penglihatan.

Jenis-jenis Tanda Lahir Bayi

Kebanyakan tanda lahir terdapat dalam salah satu daripada dua kategori tanda lahir iaitu:

Jenis Vaskular (salur darah)

Kredit gambar: www.nicklauschildrens.org

Terjadi disebabkan oleh saluran darah tambahan yang dekat dengan permukaan kulit bayi. Tanda lahir dari kategori vaskular terdiri daripada warna merah jambu kepada merah hingga kebiruan, bergantung pada kedalaman saluran darah serta warna kulit bayi. Antara tanda lahir vaskular adalah:

  • Nevus Simplex – Tanda lahir ini turut dikenali sebagai “salmon patch” dan “stork bite” apabila terletak di belakang leher manakala  “angel kiss” apabila tanda tersebut berada di antara kening bayi. Kebiasaannya, tanda ini tidak berbahaya dan memerlukan rawatan dan ia akan hilang dengan sendiri ketika bayi masih kecil lagi. Namun ada juga yang mengambil masa beberapa tahun untuk hilang sepenuhnya.
  • Port Wine Stains – Terdapat kira-kira 3 daripada 1,000 bayi akan mempunyai tanda lahir ini. Ia sama seperti nevus simplex di mana cirinya adalah rata, berwarna merah jambu atau merah yang terdiri daripada kapilari darah tambahan. Bezanya, tanda lahir bayi jenis ini sedikit besar dan tumbuh banyak di permukaan muka dan badan. Ia tidak akan hilang dan membesar sama seiring pembesaran bayi dengan warnanya menjadi lebih gelap serta tebal.
  • Infantile Hemangiomas – Tanda lahir bayi ini akan tumbuh dalam beberapa minggu pertama kira-kira 5% bagi bayi dilahirkan. Ia akan tumbuh dengan cepat pada 6 bulan pertama dan mengecut serta pudar warnanya secara beransur-ansur. Tanda ini akan digelar sebagai “Tanda strawberi” jika ia timbul berhampiran bahagian atas kulit dan berwarna merah. Ia kerap dialami oleh bayi perempuan.
  • Congenital Hemangiomas – Anda boleh mengesan tanda lahir ini ketika menjalani pemeriksaan ultrasound pranatal. Ia mempunyai ciri bentuk seperti benjolan atau berjisim bulat/bujur yang besar. Biasanya ia berwarna ungu kebiruan. Bagi kes di mana ia tidak hilang, pembuangan akan dilakukan secara pembedahan apabila bayi sudah besar.
  • Venous Malformation atau Malformasi Vena – Merupakan urat yang bersimpul dalam kulit di mana ia tidak terbentuk dengan betul semasa perkembangan bayi yang berwarna biru atau ungu. Ia akan menjadi lebih besar dengan aktiviti atau kedudukan tertentu dan mungkin akan mendatangkan kesakitan. Tanda lahir ini sangat jarang berlaku di mana hanya terjadi pada kira-kira 2 dalam 10,000 kelahiran sahaja. Walaupun kebanyakan vena ditemui dalam kulit, terdapat juga kes tanda ini ditemui pada otot, tulang atau organ.

Jenis Berpigmen

Kredit gambar: www.babycenter.com

Terjadi disebabkan oleh pertumbuhan berlebihan sel di mana ia mencipta pigmen (warna) dalam kulit.  Tanda lahir dalam kategori ini biasanya berwarna coklat, kelabu, kebiruan atau hitam yang terhasil daripada perkembangan sel pigmen tambahan.

Tanda lahir berpigmen jenis biasa termasuk:

  • Tompokan café-au-lait – Tanda ini merupakan tompokan yang berwarna kopi dengan susu dan boleh muncul di mana-mana tempat di badan. Bayi anda mungkin mempunyai satu atau lebih tompokan café-au-lait ini. Ia tidak mendatangkan masalah sekiranya kecil tetapi jika tanda tersebut lebih besar daripada 0.5 sentimeter pada kanak-kanak kecil atau 1.5 sentimeter pada kanak-kanak yang lebih besar, pemeriksaan doktor perlu dilakukan kerana ia boleh menjadi tanda neurofibromatosis , gangguan genetik yang boleh menyebabkan berlakunya pertumbuhan tisu saraf yang tidak normal.
  • Tahi lalat – Tahi lalat yang turut digelar sebagai nevi ini biasanya akan kekal sehingga ke akhir hayat. Selalunya ia berwarna tan, merah jambu, coklat atau hitam yang mempunyai rupa bentuk yang rata dan sedikit terangkat. Malah, terdapat juga tahi lalat yang mempunyai rambut di atasnya.
  • Tompokan Mongolia – Tompokan Mongolia merupakan tompok-tompok kulit berwarna kelabu kebiruan rata yang biasanya terdapat pada punggung atau bahagian bawah punggung. Ia akan pudar dengan sendiri apabila anda meningkat remaja. Tompok Mongolia lebih kerap ditemui pada orang yang berkulit gelap iaitu dari Afrika, India Amerika, Asia, Hispanik dan Eropah selatan.

Kebanyakannya tanda lahir adalah tidak berbahaya dan akan hilang tanpa rawatan, tetapi sesetengahnya mungkin perlu dirawat. Oleh itu, sekiranya terdapat tanda-tanda keganjilan pada tanda lahir tersebut, segeralah berjumpa dengan doktor.

Semoga dengan perkongsian ini, anda mendapat maklumat yang diinginkan.


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.


Dapatkan juga pelbagai info mengenai kesihatan dan tips serta panduan penjagaan kesihatan yang lain di SINI!