Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Tanda Rezeki Berkat dan 9 Cara untuk Memperolehnya

rezeki berkat

Kredit gambar: seekersguidance.org

Apabila sebut tentang rezeki, pasti terbayangkan wang ringgit yang banyak, rumah besar, kereta mewah dan lain-lain. Tetapi, anda tahu atau tidak bahawa rezeki itu sebenarnya terdapat dalam bermacam-macam bentuk, contohnya kesihatan, ilmu, nyawa, keluarga, kasih sayang, zuriat dan pelbagai lagi.

Bagi setiap manusia yang bernyawa, mencari rezeki bagi menyara hidup adalah satu lumrah kehidupan. Tapi apakah rezeki yang diperoleh itu diberkati Allah SWT? Sebagai hambanya pasti kita mengharapkan rezeki itu diberkati bukan? Nak tahu tak cara untuk mendapatkan rezeki berkat?

Ikuti perkongsian di bawah mengenai rezeki berkat yang diredhai Allah dan cara untuk memperolehnya!

Tanda-tanda Rezeki Berkat

Highlighted

Kredit gambar: www.islamicity.org

Terdapat beberapa tanda-tanda rezeki yang mendapat keberkatan oleh Allah SWT iaitu:

  • Sentiasa rasa cukup walaupun gaji kecil.
  • Mudah melakukan ibadah.
  • Doa mudah termakbul.
  • Anak-anak cemerlang.
  • Keluarga bahagia.

9 Cara untuk Mendapatkan Rezeki yang Berkat

Kredit gambar: zoomimag.wordpress.com

Berikut adalah beberapa cara yang boleh diamalkan untuk memperoleh rezeki yang berkat iaitu:

#1. Menjaga Solat

Solat adalah kewajiban bagi setiap umat Islam. Walau sesibuk mana pun kita, solat mesti kena jaga. Kalau kita melanggar perintah Allah yang satu ini, bagaimana nak dapat rezeki yang berkat? Pastikan Mommy Daddy sentiasa solat 5 waktu sehari semalam, kalau boleh berjemaah lagi bagus. Jangan lupa berdoa kepada Allah selepas solat. Ini kerana solat adalah kunci utama untuk setiap perkara dalam kehidupan.

#2. Bersedekah untuk Mendapat Rezeki Berkat

Mommy Daddy pernah dengar tak ayat yang mengatakan bahawa dalam setiap rezeki yang kita dapat, ada terselit rezeki orang lain. Oleh itu, amalan bersedekah ini patut diamalkan selalu. Sekali kita bersedekah, berlipat kali Allah akan menggandakan rezeki kepada kita. Jangan lupa untuk mengajarkan anak-anak Mommy Daddy untuk bersedekah.

Mommy Daddy boleh bersedekah kepada fakir miskin, anak yatim dan orang yang memerlukan. Memberi haiwan makan juga adalah bentuk sedekah yang boleh diamalkan. Sedekah juga bukan sahaja boleh membuat rezeki kita menjadi berkat, ia juga boleh menjadi ubat untuk setiap penyakit. Yang penting jangan lupa berdoa.

#3. Berbakti kepada Ibu Bapa

Selain itu, Mommy Daddy juga perlu berbakti kepada orang tua selagi mereka masih hidup. Contoh berbakti kepada ibu bapa bukan hanya dengan memberi wang ringgit tapi juga memberi mereka merasa kebahagiaan dihari tua, menjaga ketika mereka sakit dan lain-lain.

Ini juga akan membuatkan anak-anak Mommy Daddy belajar untuk menghargai Mommy Daddy sebagai orang tua mereka. Percayalah bahawa cara ini adalah cara yang paling berkesan. Selain daripada mendapat keberkatan rezeki, kita juga akan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

#4. Menjaga Hubungan antara Keluarga dan Manusia

Yang keempat, menjaga hubungan silaturahim dengan ahli keluarga dan manusia juga sangat penting bagi mendapat rezeki yang berkat. Sebelum menolong orang lain, pastikan ahli keluarga sentiasa mendapat pertolongan dari Mommy Daddy . Dalam agama Islam sendiri amat menitikberatkan penjagaan hubungan sesama kita.

Rasullulah SAW bersabda:

“Sesiapa yang ingin dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, makan hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang).”

(Riwayat Bukhari)

#5. Membayar Zakat

Mommy Daddy tahu tak bahawa bayar zakat itu sangat penting? Setiap bulan Ramadhan, umat Islam wajib membayar zakat fitrah. Berdosa jika mengabaikan perintah Allah yang satu ini. Sekiranya ada perniagaan, Mommy Daddy perlu membayar zakat pendapatan. Kesannya, rezeki akan diberkati dan sentiasa dimurahkan rezeki.

#6. Melakukan Perkara Sunat

Selain itu, untuk mendapat rezeki yang berkat Mommy Daddy perlu melakukan banyak perkara sunat seperti solat dhuha dan tahajjud. Manfaatnya, bukan sahaja rezeki yang diperoleh menjadi berkat tetapi ia juga boleh memberi kebahagian dan pahala yang besar.

#7. Pekerjaan yang Halal Membawa kepada Rezeki Berkat

Kredit gambar: www.grassperson.com

Yang paling penting sekali adalah melakukan pekerjaan yang halal. Contoh pekerjaan yang halal adalah tidak terlibat dengan benda haram seperti arak, berjudi dan riba. Kalau pekerjaan Mommy Daddy terselit dengan benda yang haram, sudah diyakini bahawa rezeki yang diperoleh itu tidak berkat dan tidak halal. Pastikan selidik terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

Allah berfirman dalam surah Al-Mukminun ayat 51:

“Wahai Rasul-Rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh.”

#8. Bertanggungjawab

Selain itu, Mommy Daddy juga perlu menjalani tanggungjawab sebagai ibu bapa, anak dan umat Islam yang baik. Dalam pekerjaan juga perlu bertanggungjawab dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Kalau sentiasa mencuri tulang dan membuat kerja sambil lewa, ia akan menyebabkan gaji yang diterima tidak berkat.

Mommy Daddy juga tidak boleh melupakan tanggungjawab kepada anak-anak yang berada dirumah. Pastikan makan, pakai si anak terjaga dan pastikan juga mereka mendapat didikan agama yang cukup.

#9. Berdoa dan Bersyukur untuk Memohon Agar Rezeki Berkat

Cara yang terakhir adalah sentiasa berdoa dan bersyukur. Berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan rezeki yang berkat. Bersyukur atas apa yang telah diberikan olehNya.

Jalanilah pekerjaan dan amanah yang diberikan dengan baik, supaya mendapatkan kehidupan yang berkat dan ganjaran syurga dari Allah SWT. Semoga kita sentiasa dimurahkan dan dilimpahkan rezeki yang berkat dan halal di sisi Allah SWT.


Dapatkan pelbagai lagi panduan dan perkongsian menarik yang lain di SINI!