Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Tanda Tanda Demam Denggi Yang Boleh Membawa Maut. Jangan Ambil Mudah!

demam denggi

Tahukah anda, sejumlah 32,435 kes demam denggi dengan 53 kematian dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak Januari  hingga 30 Jun 2018? Kes ini turun sebanyak 34.8% atau 17,291 kes daripada 49,726 kes dan 110 kematian bagi tempoh yang sama bagi tahun 2017. Namun begitu, virus denggi masih menjadi satu penyakit yang sering menjangkiti rakyat Malaysia.

Bagaimana Berlakunya Demam Denggi?

Highlighted


Demam denggi berlaku disebabkan jangkitan virus denggi yang dipanggil genus flavivirus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes betina. Nyamuk aedes ini lebih kepada bebelang hitam putih dikakinya. Ia sering mencari mangsa dan menggigit pada waktu pagi dan senja. Nyamuk ini sering membiak di kawasan air jernih yang bertakung, tidak kira di dalam atau di luar rumah.

Menutur Pegawai Kesihatan Daerah Gombak,  Dr Mohammad Nazarudin Bahari,

Virus denggi merangkumi empat serotip iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Semua serotip ini boleh menyebabkan demam denggi dan demam denggi berdarah. Semua jenis serotip ini juga boleh merangsang pembentukan antibodi (imuniti) yang berbeza-beza.

Sebagai contoh jangkitan Aedes dengan flavivirus DEN-2 akan menghasilkan antibodi DEN-2 saja. Kekebalan yang dihasilkan oleh antibodi ini tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ini bermakna mereka boleh dijangkiti lebih daripada sekali seumur hidup,

Pesakit yang terkena jangkitan kedua denggi boleh menyebabkan gejala simptom klinikal dan komplikasi yang lebih teruk berbanding kali pertama.

Demam denggi tetap berisiko kematian walaupun kali pertama dijangkiti. Komplikasi demam denggi boleh berlaku dengan cepat dan secara tiba-tiba. Ini biasanya berlaku terhadap pesakit yang mengalami demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.

ujarnya ketika menyampaikan Forum Denggi: Situasi Semasa dan Permasalahan Demam Denggi Dalam Kalangan Masyarakat di Sungai Buloh, Selangor.

Tanda-tanda Demam Denggi

Tanda-tanda demam denggi yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja; ibu bapa, anak-anak mahupun mereka yang pernah mengalami demam denggi. 
  1. Demam panas bersama tanda-tanda demam denggi lain seperti sakit kepala, sakit sendi dan pada bahagian belakang mata.
  2. Timbul ruam merah di kulit.
  3. Muntah berlarutan.
  4. Sakit perut.
  5. Sesak nafas.
  6. Pucat atau sejuk pada tangan, dan kaki.
  7. Cirit-birit.
  8. Pendarahan pada gusi, muntah darah dan batuk berdarah.
  9. Kanak-kanak dibawah usia 6 tahun mungkin mengalami sawan.

Rawatan yang Diperlukan

Menurut portal Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, masih tiada rawatan khas untuk demam denggi. Pesakit yang menunjukkan tanda-tanda demam denggi akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan untuk banyakkan minum air. Jika pesakit menunjukkan tanda-tanda demam denggi berdarah, pesakit akan dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan intensif.

Tak kurang juga ada sesetengah ibu bapa mengambil mudah tentang penyakit ini. Ramai yang beranggapan demam yang berlarutan merupakan demam biasa. Lebih teruk jika anak kita sudah menunjukkan tanda-tanda demam denggi yang sangat ketara, tapi ibu bapa masih mengabaikannya. Hakikatnya, demam denggi bukanlah demam biasa, ia boleh membawa maut!

Ibu bapa boleh mengikuti langkah-langkah dibawah untuk melindungi keluarga anda:

Kredit: mypositiveparenting

Dengvaxia – Vaksin Denggi

Pada 1 Disember 2017, kerajaan Filipina telah menggantung pengedaran dan penggunaan vaksin Dengvaxia selepas mendapati ia berpotensi memburukkan lagi penyakit demam denggi tersebut.

Dengvaxia merupakan vaksin denggi yang pertama di dunia. Ianya dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi. Walau bagaimanapun, vaksin ini tidak digunakan di Malaysia. Vaksin berkenaan tidak diedar atau digunakan di mana-mana fasiliti kesihatan, sama ada di sektor awam atau swasta di negara ini. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Dengvaxia tidak diluluskan sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan kementerian kerana ia berpotensi menyebabkan mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan denggi yang lebih serius.

Secara umumnyak, tiada rawatan khusus untuk merawat demam denggi ini. Apa yang anda boleh lakukan ialah dengan mencuba beberapa penawar tradisional seperti dibawah. Inshaallah, turun suhu badan anak anda yang dijangkiti demam denggi.

Penawar Untuk Merawat Demam Denggi

#1 Sup Ketam 

Ketam dikatakan mempunyai protein yang tinggi, yang dapat meningkatkan platelet dalam darah. Masak sup ketam yang kosong (tanpa perasa tambahan) untuk pesakit demam denggi.

#2 Jus Daun Betik 

Hasil kajian menunjukkan ekstrak daun betik dapat meningkatkan tahap platelet dalam pesakit yang menghidap demam denggi.

#3 Jus Jambu Batu Merah 

Jambut batu merah dipercayai kaya dengan Vitamin C yang dapat meningkatkan tahap imuniti terhadap bakteria di dalam badan kita, serta menyembuhkan luka.

#4 Jus Kurma atau Buah Kurma

Kurma terkenal sebagai makanan sunnah yang mempunyai banyak manfaat. Kurma yang tinggi dengan kandungan gula, zink dan vitamin dapat membantu pesakit demam denggi.

#5 Air Kelapa Muda 

Selain dapat menyejukkan badan, air kelapa muda juga dapat menambahkan mineral yang hilang dalam badan kerana demam denggi.

Cara yang terbaik untuk elakkan diri anda dan keluarga daripada penyakit denggi ialah dengan cuba untuk menghapuskan nyamuk aedes. Apa yang anda boleh lakukan ialah dengan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk di kawasan rumah. Cuci bekas-bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, atau letakkan bahan pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas tersebut. Dalam pada itu, segera bawa ahli keluarga anda berjumpa pakar jika mereka mengalami simptom-simptom demam denggi. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat bukan?

Lindungi si manja anda dengan mendapatkan ‘insect repellent‘ terbaik hanya di Motherhood.com.my!