Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Tanggungjawab Anak Kepada Ibu Bapa Dalam Islam

Kredit gambar: istockphoto

Ibu bapa merupakan sosok terpenting dalam kehidupan kita. Merekalah yang telah membesarkan, mendidik dan membimbing kita untuk menjadi insan yang berguna buat agama dan masyarakat.

Betapa pentingnya mereka berbanding insan lain dalam kehidupan kita, kehadiran dan ketiadaan mereka pasti dapat dirasakan.

10 Tanggungjawab Anak Kepada Ibu Bapa Dalam Islam

Dalam agama Islam, darjat ibu bapa begitu mulia sehinggakan Allah S.W.T. telah memerintahkan secara terperinci tentang adab dan cara anak menyantuni ibu bapa dalam Al-Quran:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”  – Surah Al-Isra’, ayat 23

Melalui perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, telah digariskan beberapa tanggungjawab anak kepada ibu bapa mereka.

Tanggungjawab ini dipecahkan kepada dua iaitu ketika ibu bapa masih hidup dan setelah mereka meninggal dunia.

Ketika Ibu Bapa Masih Hidup

#1. Berbuat baik dan tidak meninggikan suara kepada ibu bapa

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Ini berdasarkan kepada perintah Allah S.W.T. dalam Surah Al-Isra, ayat 23 yang telah dinyatakan di atas.

…. dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

#2. Menyantuni dan menolong mereka dari segi kemampuan semampunya

Pengutaraan tentang tanggungjawab anak yang ini adalah berdasarkan daripada hadis Rasulullah S.A.W.:

إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ، وَإِنَّ وَلَدَ الرَّجُلِ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang adalah berasal daripada usahanya dan sesungguhnya anak seseorang adalah berasal daripada usahanya.” – Riwayat al-Nasa’ie (4449)

Jika kita dikurniakan harta yang lebih, hendaklah kita mengutamakan pemberian sebahagiannya kepada mereka. Ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. yang lain:

إِذَا أَعْطَى اللهُ أَحَدَكُمْ خَيْرًا فَلْيَبْدَأْ بِنَفْسِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ

Maksudnya: “Apabila Allah S.W.T. memberikan seseorang kebaikan (kelebihan dari sudut harta) maka mulakanlah dengan dirinya dan juga ahli keluarganya.” – Riwayat Muslim (1822)

#3. Taat dan tidak menderhakai ibu bapa

Bukan itu sahaja, daripada ayat dalam Surah Al-Isra yang disebutkan di atas juga, dapat disimpulkan bahawa ia merupakan salah satu tanggungjawab anak untuk mentaati ibu bapa dan tidak sesekali menderhakai mereka.

#4. Mendoakan rahmat dan keampunan buat ibu bapa

Dari kecil lagi sejak memasuki sekolah, kita telah diajarkan untuk mendoakan ibu bapa kita setiap kali selepas solat. Ini sebenarnya merupakan salah satu perintah Allah kepada kita sebagai seorang anak dalam Al-Quran. Dalam Surah Al-Isra, ayat 24, telah dinyatakan:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Kredit gambar: istockphoto

Ketika Ibu Bapa Telah Meninggal Dunia

#5. Menunaikan hutang-hutang yang wajib kepada Allah S.W.T.

Adalah merupakan tanggungjawab seorang anak itu untuk menunaikan hutang-hutang yang wajib seperti nazar, haji dan puasa setelah ibu bapanya meninggal dunia.

Telah dinyatakan:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Telah datang kepada Nabi S.A.W. seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan.” – Riwayat al-Bukhari (1953)

#6. Melangsaikan hutang-hutang ibu bapa kepada manusia semampunya

Jika ibu bapa ada berhutang kepada manusia sebagai contohnya, kita sebagai anak hendaklah berusaha untuk melangsaikannya berpandukan kemampuan kita.

#7. Berdoa kepada ibu bapa yang telah meninggal

Dalam hadis Rasulullah S.A.W., telah dinyatakan:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.” – Riwayat Muslim (1631)

Semasa mereka hidup ataupun setelah meninggal, hendaklah kita sebagai anak sentiasa mendoakan rahmat, keampunan dan kebaikan buat mereka.

#8. Menziarahi dan menyantuni sahabat ibu bapa

Ketika mereka masih hidup, pastinya ada sahabat dan insan tertentu yang disayangi mereka. Setelah mereka meninggal, adalah elok untuk kita sebagai anak menyambung kembali tautan silaturahim itu.

Ziarahilah sahabat mereka dan santuni dengan sebaiknya.

Kredit gambar: istockphoto

#9. Bersedekah di atas nama ibu bapa

Ini berdasarkan oleh pertanyaan dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.:

إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَلَمْ تُوصِ، أَفَأَتَصَدَّقُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan belum sempat dia berwasiat. Maka bolehkah aku bersedekah untuknya? Baginda S.A.W. menjawab: Ya. – Riwayat al-Nasa’ie (3654)

#10. Memenuhi wasiat ibu bapa sebaiknya

Salah satu tanggungjawab anak adalah memenuhi dan menguruskan wasiat peninggalan ibu bapa mereka sebaiknya.

Bukanlah hanya mentaati mereka ketika masih hidup tetapi setelah meninggal juga.

Semoga sebagai anak, kita mampu untuk menunaikan tanggungjawab kita kepada orang tua kita sebaiknya. Baik ketika mereka masih hidup mahupun selepas mereka meninggal. Insya-Allah.


Dapatkan panduan yang berguna untuk keharmonian seisi keluarga yang lain di SINI.