Apabila menjadi seorang isteri, tanggungjawab para wanita sudah pun berbeza.
Dahulunya ketika masih bujang, anda tidak perlu mengambil kira pandangan orang lain untuk membuat keputusan.
Namun kini, para wanita mestilah mengambil kira pendapat dan mendapatkan izin suami terlebih dahulu.
Walaupun corak kehidupan anda telah pun berubah selepas berumah tangga, nikmat bahagia itu akan lebih dirasai dengan adanya pasangan untuk berkongsi suka dan duka.
Dengan termeterainya akad, para wanita mestilah melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab terhadap suaminya.
7 Tanggungjawab Seorang Isteri Kepada Suami
Tanggungjawab itu bukanlah bebanan tetapi tanda kasih dan sayang seorang isteri terhadap suaminya. Ia adalah peranan yang anda harus laksanakan dalam memastikan rumah tangga itu berfungsi dan sentiasa diberkati.
1. Taat Dan Patuh Kepada Suami
Seorang isteri yang bersolat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan dan memeliharakan kemaluan dan berlaku taat kepada suaminya pasti masuk syurga melalui mana-mana pintu yang dia suka daripada pintu-pintu syurga. (HR. Ahmad dan Tabarani)
Seorang isteri itu, apabila disuruh suaminya untuk melakukan sesuatu, hendaklah dia patuh dan taat.
Selagi perbuatan itu selari dengan syarak, anda hendaklah berusaha untuk melaksanakannya sebaik mungkin.
Ini adalah keistimewaan yang diletakkan kepada kaum lelaki sebagai pemimpin dan ia adalah perintah dari Allah.
Fahamilah wahai para isteri. Tanggungjawab seorang suami itu sesungguhnya amat berat. Mereka bukan sahaja harus menuntun anda malah anak-anak juga menuju syurga.
Dengan mempunyai seorang isteri yang taat kepadanya, bahtera rumah tangga itu akan lebih mudah untuk dikemudi.
Tetapi dalam mentaatinya, anda haruslah bijak dalam menilai suruhan dan permintaannya.
Janganlah disebabkan rasa cinta, anda mengetepikan hukum hakam Islam. Dalam melaksanakan apa yang dibenarkan syarak, janganlah risau untuk betulkan pasangan anda jika ia bertentangan ya?
2. Menjaga Kehormatan Diri
Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. (Surah al-Nisa’: 34)
Sebagai seorang isteri, segala yang dilakukan bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri tetapi banyak pihak lain yang akan turut terpengaruh.
Sebagai contoh, suami, keluarga mertua dan anak-anak anda. Apabila anda lakukan sesuatu yang tidak elok, maruah mereka akan turut terjejas. Ini bukan sahaja dari sudut pandang adat dan budaya kita tetapi yang lebih utama, agama kita.
Dalam Islam, seorang isteri itu wajib menjaga kehormatan dirinya terutama apabila suaminya tiada. Dari segi tingkah laku, tutur kata dan maruah diri; ini antara aspek-aspek yang harus dititikberatkan oleh para wanita.
Sememangnya, maruah anda tiada tolak bandingnya. Jangan lupa ya, orang lain akan menghormati anda sekiranya anda hormat diri sendiri terlebih dahulu. Sentiasalah berkata baik dan tunjukkan akhlak yang bagus kepada masyarakat.
3. Meminta Izin Suami
Mana-mana isteri yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya adalah dia dalam kemurkaan Allah Taala hinggalah dia balik ke rumah suaminya semula dan diredai suaminya. (HR. al-Khatib)
Dalam membuat sebarang keputusan, anda bukan sahaja harus mendapatkan pendapat suami malah izinnya juga. Sebagai contoh, sekiranya anda hendak ke pasar, mintalah izin suami terlebih dahulu.
Mungkin terdapat sebilangan kaum wanita yang rasa terbeban dengan cara sebegini. Sebelum mereka berkahwin, mereka merasa bebas untuk ke mana sahaja dengan pelbagai tujuan. Namun kini, gerak geri mereka terasa seakan dikawal.
Sebenarnya ini adalah tanda sayang dan prihatin seorang suami terhadap isterinya. Dalam perkongsian hidup bersama, sudah tentu para suami harus cakna dengan pasangannya. Apabila anda meminta izinnya, itu adalah satu penghormatan kepada mereka sebagai ketua keluarga. Bukankah mereka perlu mengetahui gerak geri ahlinya supaya tugasnya akan lebih mudah?
Selain itu, ini juga adalah antara hak suami kepada isterinya. Bahkan jika anda ingin berpuasa sunat sekalipun tetapi jika tidak diizinkan suami, anda tidak boleh meneruskan niat tersebut.
4. Menjaga Harta Benda Suami
Antara tanggungjawab isteri yang lain adalah menjaga harta benda suami. Sedikit ataupun banyak hartanya, tidaklah menjadi alasan untuk anda memperlekeh atau menggunakannya.
Terutamanya apabila ketiadaan suami, para isteri tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan harta suami untuk kegunaan diri sendiri mahupun orang lain. Walaupun untuk bersedekah, anda mestilah mendapatkan keizinannya terlebih dahulu.
Isteri yang bijak itu adalah wanita yang pandai menguruskan harta suaminya. Dengan harta yang ada, mereka mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan tidak boros serta membazir dalam berbelanja.
Jika ada lebihan pula, mereka menyimpan sebagai persediaan menghadapi sebarang masalah kewangan dan perancangan masa hadapan.
5. Memenuhi Keperluan Suami
Tanggungjawab para isteri yang seterusnya adalah memenuhi keperluan suami sama ada zahir mahupun batin. Sebagai contoh, jika para suami berkehendak terhadap anda, wajiblah para isteri untuk menunaikannya pada ketika itu juga.
Meskipun pada waktu itu anda sedang melakukan sesuatu pekerjaan, hendaklah anda berhenti dan memenuhi kebutuhan suami terlebih dahulu.
Apa sahaja yang dipinta oleh suami, berusahalah untuk memenuhinya dengan segera. Selagi anda mampu, berikanlah yang terbaik.
Keperluan batin suami wajib dijaga sebaik mungkin ya. Ini adalah antara tugas isteri dalam Islam yang para wanita wajib peka.
6. Berhias dan Berdandan Untuk Suami
Jangan lupa juga untuk memberikan layanan yang terbaik kepada suami. Antaranya adalah menghias diri secantiknya untuk tatapan suami.
Dalam berdandan, anda haruslah peka dengan pilihan dan kecenderungan suami. Kajilah terlebih dahulu tentang minat dan kesukaannya.
Bagaimanakah cara dandanan rambut yang disukainya? Apakah bau kegemarannya pada anda? Fesyen pakaian apakah yang menyenangkannya?
Fahamilah pilihan suami anda dan cuba untuk mempraktikkannya. Sudah tentu mereka akan senang dan gembira apabila anda mendampinginya sebegitu.
Ini tidaklah susah kerana para wanita itu sendiri sifatnya suka berhias. Berbincanglah dengan suami tentang keinginan anda untuk membeli barangan dan peralatan untuk mencapai objektif ini. Mereka sudah tentu dengan senang hatinya membantu anda.
7. Menjaga Kehormatan Dan Aib Suami
Antara yang boleh menjadi punca keretakan rumah tangga ialah lisan para isteri yang tidak menjaga kehormatan suami.
Tugas isteri itu adalah untuk menjaga kehormatan suaminya dengan menutup aibnya dan membicarakan perkara yang baik tentangnya. Terutama ketika ketiadaannya, berbicaralah dengan rasa hormat tentang suami anda di khalayak umum.
Jangan sesekali membuka aibnya meskipun hal itu mengganggu anda. Sekiranya orang luar cuba untuk memburukkan suami anda dengan aib yang ada pada dirinya, cubalah sebaik mungkin untuk menutupinya.
Maruah suami itu boleh mempengaruhi seluruh ahli keluarganya. Kadang-kadang, apabila seorang suami itu dipandang rendah oleh masyarakat, isteri dan anak-anaknya akan turut terkena tempias.
Jadi tunjukkanlah imej yang baik tentang suami anda. Jika mereka disanjungi ketika di rumah, insyaAllah masyarakat juga akan turut menghormatinya.
Dalam sesebuah perkahwinan itu, para suami dan isteri haruslah saling berkhidmat dan berkorban untuk satu sama lain.
Lakukanlah tugas bersama-sama dengan penuh kasih sayang dan laksanakan tanggungjawab masing-masing dengan ikhlas dan sebaiknya.
InsyaAllah, semoga Allah memberkati perkahwinan anda dengan sakinah, mawaddah dan rahmatNya.