Ibu, Bayi & Kanak Kanak

7 Tanggungjawab Suami Dalam Islam Yang Wajib Dilaksanakan

Sumber: pengantinbaru.com.my

Dalam Islam, tanggungjawab suami adalah perintah dari Allah yang wajib dilaksanakan sebaik mungkin. Pada tanggungjawab-tanggungjawab inilah, terletaknya hak seorang isteri dalam sebuah perkahwinan.

Dalam memikul dan melaksanakannya, para suami hendaklah memainkan pelbagai peranan.

Sebagai ketua keluarga, mereka hendaklah menjadi pencari nafkah, pelindung, pemimpin, dan pendidik untuk isteri dan anak-anak.

7 Tanggungjawab Suami Dalam Islam

“Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.” – Riwayat Ibn Majah

Untuk menjadi seorang suami dan bapa, para lelaki harus peka dan faham dengan jelas tentang tanggungjawab-tanggungjawab yang bakal anda pikul.

Sungguh, peranan sebagai seorang suami itu bukanlah ringan tetapi ia merupakan amanah yang berat dari Allah.

Namun dengan pengetahuan bersertakan kesediaan dan keikhlasan hati, insyaAllah anda akan merasakan nikmat dalam melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab ini:

#1. Memberi Nafkah Bulanan

Dalam Islam, tugas mencari dan memberi nafkah kepada keluarga terletak di atas bahu suami.

Setiap bulan, para suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Islam itu agama yang adil kerana nafkah yang wajib ini dilandaskan pada kemampuan suami.

Jika pendapatan anda hanya cukup-cukup makan sahaja, pemberian nafkah yang sedikit pun sudah memadai. Asalkan anda menjalankan tanggungjawab anda.

Namun sekiranya anda benar-benar tidak mampu, berbicaralah secara elok dengan isteri dan mintalah mereka halalkannya. Tetapi sebaiknya, gantilah nafkah itu apabila anda mampu kelak.

Sesungguhnya terdapat keberkatan pada nafkah yang diberikan kepada isteri dan keluarga. Meskipun isteri anda bekerja, nafkah ini tetap wajib diberi ya.

#2. Menyediakan Tempat Tinggal Dan Keperluan Isteri

Highlighted

Sumber: istockphoto

Dengan kudrat dan kemampuan yang ada, para suami haruslah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan isteri dan keluarga.

Sebagai contoh, anda mesti menyediakan tempat tinggal yang selamat dan selesa untuk isteri dan anak-anak.

Tempat tinggal ini haruslah tidak dikongsi dengan sesiapa sahaja termasuk ibu bapa anda dan isteri. Ini merupakan antara hak seorang isteri kepada suaminya.

Selain itu, keperluan lain seperti makan minum isteri, pakaian dan ubat-ubatan hendaklah juga disediakan. Para suami bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan keluarga pada setiap masa ya.

#3. Menggauli Isteri Dengan Baik

Antara salah satu nikmat berumah tangga yang dikurniakan Allah kepada suami dan isteri adalah nikmat jima’. Para suami wajib menggauli isteri dengan cara yang dibenarkan syarak.

Isteri anda mempunyai hak untuk disentuh ketika mereka berkeinginan terhadap anda. Jika tidak ditunaikan, hukumnya berdosa dan dikira anda menzalimi isteri.

Ingat ya, bukan isteri sahaja tau yang wajib penuhi keinginan anda.

Selain itu, para suami ditegah untuk menyuruh isteri memenuhi keinginannya melalui cara yang bertentangan dengan syarak.

Nikmat hubungan kelamin itu haruslah dipenuhi dan dinikmati dengan tertib dan penuh hormat pada pasangan.

Janganlah memaksa isteri anda untuk melakukan kaedah yang tidak disukainya. Sama-samalah belajar tentang kecenderungan pasangan anda dalam berhubungan intim. Senangilah mereka semampunya.

#4. Mendidik Isteri

Sebagai suami, anda juga wajib mendidik isteri dengan ilmu agama yang secukupnya. Bekalkanlah keluarga anda dengan ilmu yang bermanfaat untuk kegunaan di dunia dan akhirat.

Jika anda sibuk atau tidak mampu, bawalah isteri dan anak-anak ke majlis agama untuk mendidik jiwa mereka.

Anda juga boleh mengupah ustazah atau sesiapa yang mahir untuk mengajar anak-anak dan isteri membaca dan mentadabbur Al-Quran.

Bukan itu sahaja, para suami juga harus mendidik akhlak isteri dan anak-anak.

Sekiranya mereka melakukan perkara yang salah, tegur dan nasihatilah mereka dengan penuh kasih sayang. Tunjukkan mereka cara yang betul untuk melakukannya.

Peranan suami sebagai pendidik keluarga itu meliputi kesemua aspek jasmani dan rohani.

Dalam mendidik, lakukanlah dengan penuh kelembutan tetapi tegas ya. Mintalah pertolongan Allah untuk memudahkan niat dan usaha anda dalam membimbing keluarga.

#5. Menyantun dan Menghormati Isteri

Sumber: istockphoto

Tanggungjawab suami yang seterusnya adalah menyantun dan menghormati isteri sebaiknya. Dalam apa jua situasi, cubalah untuk memberikan layanan yang terbaik kepada isteri.

Dalam menjalani kehidupan berumah tangga, sudah tentu ada liku-likunya. Ketika menghadapinya, para suami hendaklah melayani isteri dengan sopan santun dan penuh hormat.

Janganlah kerana kedudukan anda sebagai suami, anda merasakan diri lebih mulia dan mereka tidak layak mendapat penghormatan yang sama.

Suami isteri itu, seharusnya berdiri seiring dengan saling mendampingi dan menyokong satu sama lain.

Apabila terjadi persengketaan, janganlah sesekali mengasari tubuh badan isteri dan keluarkan kata-kata yang kasar padanya. Sebagai pembimbing, cubalah untuk berbincang secara elok dengannya. Hormatilah dia dengan mengelak dari menyentuh sensitivitinya.

#6. Menggembirakan Hati dan Menjaga Perasaan Isteri

“Diriwatkan dari Aisyah R.A., bahawa pada suatu hari beliau pernah ditanya: Bagaimanakah sikap baginda Rasul S.A.W. ketika di dalam rumah? Maka Aisyah menjawab: Baginda Rasul adalah orang yang paling lemah lembut, sering tersenyum dan sering pula tertawa.” – Riwayat Ibnu Saad

Ramai para suami yang tidak faham secara menyeluruh tentang konsep pemberian nafkah batin kepada isteri. Mereka menyangka ia hanyalah hubungan kelamin sahaja tetapi sebenarnya ia lebih dari itu.

Menggembirakan hati isteri sebagai contohnya, adalah termasuk dalam nafkah batin yang harus diberikan oleh suami. Apa sahaja perbuatan atau kata-kata yang menyenangkan hati isteri, itu dikira sebagai nafkah batin juga.

Ini adalah antara tanggungjawab suami ya. Menjaga perasaan dan emosi isteri itu adalah salah satu tugas anda. Elakkanlah melakukan apa sahaja yang boleh mengguris dan melukakan hati isteri.

Anda bukan sahaja mendapat pahala dengan menghiburkan dan menyenanginya. Malah kegembiraan itu akan memberi kesan kepada perkahwinan dan institusi keluarga anda.

#7. Menjaga Maruah Dan Aib Isteri

Sememangnya manusia itu diciptakan dengan penuh cela. Begitu juga para isteri di luar sana. Wahai para suami, janganlah sesekali mengharapkan kesempurnaan pada pasangan anda tetapi sambutlah segala perbezaan dengan positif.

Ini bukan bermaksud anda harus menerima kesalahannya tetapi janganlah dicanang pada orang sekeliling walaupun kepada ibu bapa anda.

Maruah isteri anda merupakan maruah anda juga ya. Jika seorang isteri itu melakukan sesuatu yang tidak elok, si suami akan turut terpalit juga.

Gandingan suami isteri sememangnya begitu. Ditepuk air di dalam dulang, akan terperciklah ke muka sendiri.

Jagalah aib isteri anda sebaiknya. Orang lain tidak mengenali isteri anda seperti anda mengenalinya. Jika terbuka aibnya, mereka mungkin akan mencemuh dan hilang hormat padanya.

Walaupun situasi sudah berubah kelak, tidaklah semudah itu untuk manusia melupakan.

Apa sahaja yang berlaku dalam rumah tangga anda, selesaikanlah dengan elok secara berdua ya.

Sumber: istockphoto

InsyaAllah, apabila para suami memikul dan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya, rumah tangga anda akan dikurniakan sakinah, mawaddah dan rahmat dari Allah.

Begitu juga dengan si isteri. Anda harus peka dengan tanggungjawab anda sebagai seorang isteri dan juga ibu.

Semoga hubungan yang dibina berkekalan selamanya.